- Iklan -
Berita

Mengimbau peranan Modi dalam pembunuhan beramai-ramai umat Islam Gujarat pada 2002

Perdana Menteri India, Narendra Modi, ahli seumur hidup kumpulan pelampau RSS, mengarahkan polis membiarkan serangan terhadap umat Islam, mengakibatkan kematian dan kemusnahan paling dahsyat dalam sejarah India merdeka.

Genocide Watch
4 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri India, Narendra Modi, merupakan ahli seumur hidup Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), sebuah kumpulan pelampau Hindu separa tentera.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, merupakan ahli seumur hidup Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), sebuah kumpulan pelampau Hindu separa tentera.

Pada 2002, negeri Gujarat di India menyaksikan pembunuhan beramai-ramai anti-Islam yang meragut sekurang-kurangnya 1,000 nyawa, kebanyakannya penganut Islam. Ketua menteri Gujarat ketika itu ialah Narendra Modi, ahli seumur hidup kumpulan pelampau Hindu RSS. Beliau mengarahkan polis supaya tidak menyekat pembunuhan beramai-ramai tersebut.

Permulaan pembunuhan beramai-ramai Gujarat

Pada 27 Februari 2002, kereta api Sabarmati Express yang membawa peserta keagamaan kar sevak yang sedang pulang dari tapak Masjid Babri yang dimusnahkan, menjadi sasaran serangan. Seramai 59 orang terkorban dalam kebakaran yang berlaku di salah satu gerabak kereta api di stesen Godhra.

Punca kebakaran masih dipertikaikan. Pada 2008, Suruhanjaya Nanavati-Mehta yang dilantik kerajaan Gujarat membuat kesimpulan bahawa penduduk Islam tempatan bertanggungjawab membakar kereta api tersebut. Namun, Jawatankuasa Keadilan Bannerjee, yang ditubuhkan oleh menteri kereta api kerajaan India pada 2005, membuat kesimpulan bertentangan, iaitu kebakaran tersebut tidak disengajakan.

Lebih 1,000 orang terbunuh dalam serangan di Gujarat pada 2002, ketika perusuh, dengan galakan tersirat ketua menteri ketika itu Narendra Modi, menyasarkan kediaman dan perniagaan milik umat Islam.
Lebih 1,000 orang terbunuh dalam serangan di Gujarat pada 2002, ketika perusuh, dengan galakan tersirat ketua menteri ketika itu Narendra Modi, menyasarkan kediaman dan perniagaan milik umat Islam.

Kematian 59 penumpang beragama Hindu segera dieksploitasi oleh kumpulan pelampau Hindu seperti Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), Vishwa Hindu Parishad (VHP), dan Bajrang Dal yang menghasut sentimen penganut Hindu serta menggalakkan pembunuhan beramai-ramai dengan alasan mempertahankan diri daripada keganasan Islam. Perusuh Hindu bertindak tanpa kawalan polis negeri dengan galakan ketua menteri ketika itu, Modi, seterusnya melancarkan kempen balas dendam terhadap umat Islam.

Serangan balas bermula menjelang petang 27 Februari. Dengan memakai seragam RSS iaitu seluar pendek khaki dan balutan kepala berwarna safron, perusuh melakukan serangan secara tersusun.

Bersandarkan senarai alamat rumah dan perniagaan milik orang Islam, mereka tiba di kawasan kejiranan penduduk Islam dengan lori yang lengkap dengan senjata seperti pedang, batang paip logam, dan silinder gas. Perusuh menyerbu kompleks perumahan Ehsan Jafri, seorang bekas ahli parlimen India yang dihormati, sebelum membunuhnya dan 68 orang Islam lain yang berlindung di rumahnya.

Ehsan Jafri telah berusaha sedaya upaya menghubungi pesuruhjaya polis dan pejabat ketua menteri (Modi) tetapi gagal.

Rakaman rahsia wartawan penyiasat Ashish Khetan, yang merakam perbualan dengan tiga aktivis VHP - Mangilal Jain, Prahaladji Asori, dan Madanlal Raval - menggambarkan peristiwa sekitar pembunuhan Ehsan Jafri. Mereka mengesahkan kepada Khetan bahawa Ehsan telah membuat panggilan telefon dalam keadaan terdesak kepada pegawai polis dan pemimpin politik.

Menurut ketiga-tiga lelaki itu, polis bukan sahaja memberi mereka kebebasan tanpa had malah menggalakkan perusuh membunuh orang Islam. Mereka mendakwa KG Erdabahawa, inspektor polis yang bertanggungjawab di balai polis Meghaninagar, memberikan perusuh masa tiga hingga empat jam untuk melakukan pembunuhan. Namun, rakaman perbualan itu diabaikan oleh Pasukan Siasatan Khas Mahkamah Agung India.

Semasa serangan dan pembunuhan, sekurang-kurangnya 250 wanita dan gadis menjadi mangsa rogol beramai-ramai sebelum dibakar hingga mati. Seramai 5,000 orang membakar kediaman penduduk Islam di kawasan kejiranan Naroda Patia, Ahmedabad, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 65 orang. Sebelum dibakar dan ditetak hingga mati, wanita dan gadis dirogol beramai-ramai di khalayak ramai. Ahli keluarga lelaki mereka dipaksa menonton perbuatan tersebut sebelum turut dibunuh.

Hina Kausar dari Naroda Patiya sedang hamil ketika dirogol. Beberapa saksi dalam keterangan mereka berkata wanita itu dirogol dan diseksa, dan rahimnya dibedah dengan pedang untuk mengeluarkan janin, yang kemudian ditetak hingga berkeping-keping dan dibakar hidup-hidup bersama ibunya.

Bilkis Yakoob Rasool sedang hamil lima bulan ketika dirogol beramai-ramai. 14 ahli keluarganya, termasuk anak perempuan berusia tiga tahun, dibunuh di hadapan matanya.

Hari ini, kerajaan Gujarat memberikan pembebasan awal kepada kesemua 11 perogolnya yang disabitkan kesalahan.

Narendra Modi (kanan) mendakap mesra Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Narendra Modi (kanan) mendakap mesra Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Pada Januari 2004, sebuah kubur beramai-ramai ditemui di Ahmedabad oleh sekumpulan pakar perubatan dan forensik. 46 daripada 96 mayat adalah wanita. Kebanyakan mayat menunjukkan kesan disiksa, dikerat dan dibakar. Mayat wanita mempunyai kesan bakar akibat rokok di punggung dan payudara mereka. Objek tajam dimasukkan ke dalam alat kelamin mereka yang tercedera parah.

Wanita muda dan gadis yang dirogol dan dibunuh, serta ahli keluarga lelaki yang dipaksa menyaksikan perbuatan itu, mengalami trauma mental yang tidak dapat dipulihkan. Ibu bapa pula dipaksa melihat anak-anak mereka dibunuh.

Kanak-kanak yang terselamat, kebanyakannya yatim piatu, mengalami kecederaan parah dan trauma akibat keganasan tersebut. Mereka menyaksikan rogol, mutilasi, pembunuhan, dan pembakaran ahli keluarga.

Ahli keluarga yang masih hidup terpaksa bersendirian mencari dan mengenal pasti mayat orang tersayang, menambah lagi trauma mereka.

Polis negeri Gujarat hanya berdiam diri dan enggan membantu penduduk Islam yang melarikan diri daripada perusuh Hindu. NGO Islam terpaksa memikul tanggungjawab menyediakan bantuan dan pemulihan.

Komuniti Islam Gujarat mengalami kemusnahan kediaman, perniagaan, dan harta benda mereka secara terancang.

Ratusan gadis dan wanita Islam dirogol, dimutilasi, dan dibakar hingga mati di Gujarat. Ramai wanita yang ditemu bual di kem bantuan merupakan mangsa keganasan seksual, termasuk rogol, rogol berkumpulan, dan objek dimasukkan ke dalam badan mereka.

Undang-undang antarabangsa dalam kes-kes di Tribunal Jenayah Antarabangsa Rwanda dan mahkamah lain mendapati penggunaan keganasan seksual dalam pembunuhan beramai-ramai bertujuan mencegah kelahiran dengan mengenakan kecederaan fizikal dan mental yang serius terhadap wanita, serta dengan sengaja merendahkan dan menstigmakan mereka, menjadikan wanita tidak dapat secara sukarela menjalani kehidupan reproduktif.

Kerajaan negeri terpalit jenayah

Banyak serangan ke atas penduduk Islam berlaku di hadapan pondok dan balai polis. Bagaimanapun, polis dan tentera tidak tiba di kawasan kejadian sebelum 1 Mac, iaitu tiga hari selepas pembunuhan beramai-ramai bermula.

Kumpulan perusuh membawa senarai pengundi dan senarai semua perniagaan milik orang Islam. Menurut laporan majalah Outlook, usaha mengenal pasti lokasi sebenar perniagaan milik Islam bermula beberapa bulan sebelum serangan. Ahli politik tempatan dan negeri dilihat mengarah kumpulan perusuh yang ganas, mengawal polis, dan mengatur pengedaran senjata.

Menurut menteri dalam negeri Gujarat ketika itu, Haren Pandya, Modi mengadakan mesyuarat pada Februari 2002, selepas kebakaran kereta api Godhra.

Menurutnya, Modi mengarahkan pegawai polis supaya tidak mengganggu "tindak balas Hindu". Pandya kemudiannya dibunuh, menyebabkan beliau tidak dapat memberi keterangan di hadapan suruhanjaya siasatan.

Dakwaan serupa dibuat dalam afidavit difailkan di Mahkamah Agung India oleh bekas pegawai polis India, Sanjiv Bhatt. Menurut Sanjiv, semasa mesyuarat pada 27 Februari 2002, Modi meminta pegawai polis membiarkan penganut Hindu "melepaskan kemarahan mereka" terhadap orang Islam.

Artikel ini disunting berdasarkan  laporan disediakan Genocide Watch pada Ogos 2023, sebuah pertubuhan mencari keadilan untuk mangsa genosid dengan objektif mencegah genosid pada masa hadapan.