Laporan Bloomberg dedah peranan Putrajaya beri nyawa kepada firma lelaki Bangladesh terpalit tuduhan pemerdagangan manusia
Ia susulan siasatan 10 bulan membongkar sisi gelap proses pengambilan pekerja asing yang memusnahkan kehidupan ribuan keluarga miskin.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa memainkan "peranan penting" bersama sebuah syarikat milik seorang lelaki Bangladesh yang diberi lampu hijau merekrut berjuta-juta pekerja asing, menimbulkan persoalan mengenai kewujudan kartel pemerdagangan manusia yang mengaut untung besar daripada keluarga miskin, kebanyakannya hilang wang simpanan seumur hidup demi melangsaikan "yuran sindiket" selepas dijanjikan pekerjaan yang tidak pernah wujud, menurut laporan Bloomberg baru-baru ini.
Siasatan selama 10 bulan akhbar kewangan itu membabitkan dakwaan rasuah di peringkat tinggi dalam proses pengambilan pekerja asing melibatkan Bestinet, syarikat yang diasaskan oleh Aminul Islam, lelaki keturunan Bangladesh yang kini warganegara Malaysia.
Dokumen yang dilihat Bloomberg menyatakan bahawa syarikat-syarikat diasaskan Amin, yang kini bergelar Datuk Seri, telah mengaut keuntungan lebih daripada AS$100 juta (RM400 juta) dalam tempoh 10 tahun yang lalu, iaitu sejak Bestinet pertama kali dianugerahkan kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit untuk menguruskan visa pekerja asing di Malaysia.
Laporan itu memetik mereka yang mengenali Amin sebagai berkata beliau menjalinkan hubungan dengan Zahid serta "melantik beberapa bekas pegawai kanan kerajaan ke dalam lembaga pengarah syarikat-syarikatnya".
Bestinet menjadi tumpuan pada 2015, apabila Kementerian Dalam Negeri di bawah Zahid melantiknya mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
Ia kemudian terpalit kontroversi termasuk mengenai kenaikan mendadak yuran sehingga lebih 1,500%.
Keputusan menganugerahkan jawatan itu kepada Bestinet dibuat walaupun Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebelum itu menyifatkan sistem pengambilan pekerja secara dalam talian yang ditawarkan Amin tidak berupaya melindungi pekerja asing pendatang daripada yuran yang tinggi, menurut Bloomberg.
Antara yang mencetuskan kemarahan mengenai kontrak tersebut adalah semua arahan pengambilan pekerja hanya akan melibatkan 10 daripada lebih 1,000 agensi Bangladesh, syarat yang dipaksa ke atas kerajaan Bangladesh.
Zahid ketika itu mengumumkan Malaysia akan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh. Namun, pengkritik berkata ramai yang tiba di negara ini mendapati mereka ditipu, sehingga terpaksa bersembunyi atau menghilangkan diri kerana bimbang status mereka sebagai pendatang tanpa izin.
Selepas perubahan kerajaan pada 2018, Bestinet digantung atas dakwaan eksploitasi pekerja asing dari Nepal. Walau bagaimanapun, pada 2019, menteri sumber manusia ketika itu, M Kulasegaran, mengumumkan kontrak Bestinet akan diteruskan selepas menolak tuduhan terhadapnya.
Tiba sebagai pekerja, pulang sebagai jenazah
Bloomberg mengimbas kisah menyayat hati melibatkan seorang pekerja asing, Shofiqul Islam.
Shofiqul merupakan petani Bangladesh yang meminjam untuk membayar yuran pengambilan pekerja sebanyak AS$4,400 (RM17,600) selepas dijanjikan pekerjaan dalam sektor pembinaan.
Harapannya cuma supaya dapat pulang ke kampung halamannya dengan masa depan yang lebih baik untuk dua anaknya yang masih kecil.
"Yuran AS$4,400 yang dibayar Shofiqul bersamaan dengan seorang rakyat Amerika membayar AS$140,000 untuk mendapatkan pekerjaan," kata laporan Bloomberg dalam membuat perbandingan nilai yang dibayar Shofiqul.
Setibanya di KLIA, wakil majikannya, Petrazehra Bhd, menjemputnya dan menghantarnya ke sebuah bangunan usang, sebelum menghilangkan diri.
Menurut Bloomberg, Petrazehra ialah syarikat milik seorang bernama Muhaimin Mohd Fadhilah. Walaupun tiada pendapatan direkodkan dalam tempoh dua tahun sebelumnya, ia menerima kelulusan merekrut 1,500 warga Bangladesh.
Muhaimin tidak menjawab pertanyaan Bloomberg.
Beberapa bulan selepas tiba di Malaysia, Shofiqul kekal menganggur, sementara keluarganya dibebani hutang, manakala tempoh visanya telah tamat. Dia juga tidak boleh mencari pekerjaan lain kerana akan melanggar peraturan Malaysia yang melarang pekerja asing sepertinya daripada bertukar majikan sehingga mereka selesai melangsaikan hutang.
"Pilihan yang ada ialah menunggu majikannya, Petrazehra Bhd, untuk menyediakan pekerjaan itu, atau menghilangkan diri menjalani kehidupan sebagai pekerja tanpa izin di Malaysia," tambah laporan itu.
Dalam keadaan terdesak itu, Shofiqul jatuh sakit dan meninggal dunia pada awal 2024, jenazahnya dihantar pulang ke kampungnya.
Selepas hilang semua wangnya, isteri dan dua anak perempuannya terpaksa berpindah, dan sehingga kini bergelut membayar hutang yuran pengambilan pekerja.
'Semua orang dapat bahagiannya'
Bloomberg berkata nasib Shofiqul merupakan sesuatu yang dialami beribu-ribu pekerja asing lain.
Ia memetik pegawai kanan kerajaan semasa dan terdahulu yang berkata keuntungan lumayan membawa masuk pekerja asing berkemahiran rendah menggalakkan beberapa syarikat "mengambil pekerja secara berlebihan atau menjanjikan pekerjaan palsu".
"Yuran pengambilan pekerja mendanai sistem ini. Semua orang mendapat bahagiannya, dan pekerja pula membayar."
Daripada disiasat SPRM kepada 'NFA'
Tidak lama sebelum mengambil alih kerajaan dengan slogan reformasi dan janji menghapuskan rasuah, Anwar menggesa siasatan terhadap Bestinet dan proses pengambilan pekerja asing.
"Pernah saya suarakan di Parlimen sebagai perhambaan moden di mana pekerja diperas sementara pedagang dan ejen bertindak sebagai penindas yang mengaut keuntungan besar," katanya pada Jun 2022.
Pada bulan berikutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap Bestinet.
Lebih dua tahun kemudian, pada September 2024, SPRM mengisytiharkan "NFA" atau tiada tindakan lanjut terhadap Bestinet, tidak lama selepas syarikat itu diberikan lanjutan enam tahun oleh pentadbiran Anwar.
Bloomberg memetik dua sumber yang mengatakan keputusan itu adalah hasil daripada Amin "memanfaatkan rangkaiannya".
"Dia hadir di SPRM untuk bercakap dengan ketuanya, Azam Baki," kata laporan itu, memetik dua orang yang tidak mahu dinamakan kerana bimbang dikenakan tindakan.
"Siasatan suruhanjaya itu digugurkan," tambah laporan itu, yang turut menyatakan penafian Amin bahawa beliau bertemu Azam.
Laporan itu memetik sumber bahawa Amin "meminta pegawai tertinggi untuk melobi Anwar bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Bestinet".
"Zahid... secara peribadi mendesak perdana menteri... Pada akhir mesyuarat Kabinet pada awal 2024, Anwar membuat pengumuman yang mengejutkan: Bestinet akan diberikan lanjutan."
Lanjutan itu menyaksikan kerajaan akan membayar lebih tinggi bagi setiap ePass (permit kerja dalam talian sementara), daripada RM100 sebelum ini kepada RM215, yang berpotensi memberikan syarikat itu sekurang-kurangnya RM3.2 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang.
Perjanjian tersebut dikritik oleh badan pemantau Parlimen, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Menurut Bloomberg, Anwar, Zahid, Amin dan Kementerian Dalam Negeri tidak memberi respons kepada pertanyaan mengenai dakwaan yang dilaporkan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
