- Iklan -
Berita

Polis digesa siasat Nurul Izzah, PKR mengenai pendedahan 'projek Washington 2016'

Sayap Armada Bersatu dan beberapa aktivis merujuk desakan agar White House mengenakan tekanan terhadap kerajaan Najib Razak sedekad lalu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Wakil Armada, Muhammad Alif Abdullah, selepas membuat laporan polis terhadap PKR di luar balai polis Dang Wangi.
Wakil Armada, Muhammad Alif Abdullah, selepas membuat laporan polis terhadap PKR di luar balai polis Dang Wangi.

Polis digesa menyiasat sebuah pendedahan baru-baru ini mengenai penglibatan beberapa pemimpin PKR dan seorang perunding asing pada 2016 dalam usaha memujuk pentadbiran Amerika Syarikat supaya mengenakan tekanan politik ke atas kerajaan Malaysia pimpinan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Laporan yang dibuat oleh sayap pemuda Bersatu, Armada, bersama beberapa aktivis termasuk pemberi maklumat terkenal Albert Tei, adalah susulan pendedahan MalaysiaNow yang mendedahkan kandungan e-mel melibatkan pemimpin kanan PKR dan seorang peguam berpangkalan di Washington yang ditugaskan parti itu untuk melobi pentadbiran Presiden Barack Obama ketika itu.

Dalam laporannya, wakil Armada, Muhammad Alif Abdullah merujuk kepada e-mel antara pemimpin PKR dan Jared Genser, yang mengetuai firma perunding politik Perseus Strategies yang berpangkalan di Washington, di mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan antara mereka yang pernah mendapatkan khidmatnya.

Nurul Izzah Anwar terlibat dalam mendepani kempen yang dirancang oleh perunding AS Jared Genser dalam usaha mewujudkan tekanan kerajaan asing bagi pembebasan Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah Anwar terlibat dalam mendepani kempen yang dirancang oleh perunding AS Jared Genser dalam usaha mewujudkan tekanan kerajaan asing bagi pembebasan Anwar Ibrahim.

"Tujuan mereka termasuk mendapat pertolongan White House dan badan Kongres Amerika untuk menggunakan tekanan kepada kerajaan Malaysia. Saya amat memandang serius kerana kerajaan Amerika adalah penyokong utama rejim Zionis Israel," katanya sambil menamakan anak Anwar, Nurul Izzah dan Sivarasa Rasiah sebagai pemimpin PKR yang terlibat dalam kempen menekan kerajaan Malaysia.

Laporan itu ketika perdebatan mengenai sikap pilih kasih pihak berkuasa yang baru-baru ini memulakan siasatan terhadap keluarga Allahyarham Daim Zainuddin berhubung tuduhan konspirasi menggulingkan kerajaan.

Minggu lalu, polis berkata balu Daim, Na'imah Khalid disiasat susulan laporan polis oleh seorang bekas wartawan yang pernah dipecatnya daripada pasukan komunikasi keluar Daim.

Bekas wartawan itu mendakwa pendedahan Bloomberg bulan lalu mengenai kaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan "mafia korporat" mungkin hasil daripada perkhidmatan yang diterima Na'imah daripada sebuah firma perunding UK untuk menggulingkan kerajaan Anwar.

Pada Selasa, Anwar ketika ditanya mengenai laporan MalaysiaNow mengenai kandungan e-mel pemimpin partinya pada 2016, mendakwa seorang tokoh Zionis "terkemuka" terlibat dalam rancangan menggulingkan kerajaannya, tuduhan yang ditolak sebagai tidak masuk akal oleh Na'imah dan pasukan peguamnya.

Dalam laporan polisnya hari ini, Alif merujuk kepada e-mel daripada Genser kepada Nurul Izzah yang memintanya menyediakan senarai kenyataan oleh Najib
yang menonjolkan "pandangan sempit kaum Melayu, kebencian kaum, dan pandangan ultra-konservatif Islam".

“Nurul Izzah mencari maklumat, mencari data untuk diberikan kepada ejen tersebut supaya boleh menuduh Malaysia ini satu negara yang ekstremis.

"Jadi sebab itu kami bawa dalam Akta 124B dan juga 124C berkenaan aktiviti melakukan atau cubaan untuk menggugat kedaulatan dan demokrasi berparlimen," tambahnya, sambil menggesa pihak berkuasa menggunakan undang-undang sama yang digunakan dalam siasatan mereka terhadap Na'imah.