- Iklan -
Berita

PN yakin sokongan pengundi India di Kuala Kubu Baharu menjelang hari mengundi

Komuniti itu merasakan dipinggirkan PH walaupun memberikan sokongan kuat kepada gabungan itu, kata seorang jurucakap.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi India membentuk 18% daripada pengundi di Kuala Kubu Baharu, menjadikan mereka 'kingmakers' pada pilihan raya kecil esok.
Pengundi India membentuk 18% daripada pengundi di Kuala Kubu Baharu, menjadikan mereka 'kingmakers' pada pilihan raya kecil esok.

Seorang pemimpin kaum India yang pro-Perikatan Nasional (PN) yakin rasa tidak puas hati pengundi India di Kuala Kubu Baharu dapat diterjemahkan kepada sokongan untuk gabungan itu pada pilihan raya kecil esok.

Suthan Mookaiah berkata beliau mendapati sentimen kaum India, yang diwakili 18% pengundi di kerusi, semakin tidak senang dengan pemimpin kerajaan.

Ia lebih-lebih lagi selepas seorang pemimpin kerajaan melabelkan mereka yang mempersoalkan kerajaan dalam isu kebajikan India sebagai “cakap orang mental”.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Usahawan dan Koperasi Ramanan Ramakrishnan berkata pihak yang menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminggirkan kaum India perlu membuat pemeriksaan kesihatan mental.

Suthan, yang merupakan ketua penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), berkata kenyataan itu ditambah dengan tindak tanduk kerajaan yang menurutnya tidak mengutamakan komuniti India berbanding Cina.

“Lebih buat mereka marah apabila pemimpin India Pakatan Harapan terutamanya dari DAP semuanya diam membisu selepas mereka dengar sekolah Tamil yang daif hanya menerima RM100,000 sedangkan Anthony Loke memberikan RM300,000 untuk sekolah swasta Cina yang sudah kaya raya," Suthan memberitahu MalaysiaNow, merujuk setiausaha agung DAP.

Suthan Mookaiah
Suthan Mookaiah

Suthan berkata perkembangan seperti itu menjadikan masyarakat India semakin menyebelahi PN.

Katanya, ia semakin ketara menjelang hari pengundian.

“Ceramah kelompok kami beberapa hari lepas dihadiri lebih 200 orang kaum India dari satu taman perumahan sahaja.”

MIPP sebelum ini mengumumkan akan membantu jentera PN pada PRK Kuala Kubu Baharu, di mana masyarakat India dianggap sebagai penentu (kingmaker) ketika undian kaum Melayu dan Cina masing-masing dilihat kekal bersama PN dan PH.

MalaysiaNow melaporkan sebelum ini, kemungkinan sokongan kaum India berpindah kepada PN semakin menjadi realiti, ditambah dengan usaha gigih bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, yang mengajak mereka menolak PH.

Suthan, yang juga jurucakap Jawatankuasa Masyarakat India yang ditubuhkan di bawah PN, berkata masalah yang dihadapi penduduk India di Kuala Kubu Baharu hanya melibatkan isu asas sahaja.

Ia termasuk hal seperti masalah perumahan, van jenazah dan masalah perparitan serta longkang.

Beliau memberikan contoh bagaimana pekerja di lima estet merayu bantuan perumahan selama beberapa dekat tetapi diendahkan kerajaan negeri.

“Tetapi melalui PRK ini, dalam beberapa hari mereka dapat peruntukan kerana tekanan daripada kami, melalui sokongan daripada beberapa parti pembangkang.”

Katanya, masyarakat India menmainkan peranan penting menyokong PH dan Anwar, tetapi dipinggirkan.

“Apa gunanya kami guling di jalanan untuk naikkan pemimpin PH, tetapi mereka leka dengan isu ekonomi, sosial, dan kebajikan rakyat?"