'Boleh dapat lubuk emas' – Anwar dipuji dalam e-mel 2012 babitkan pesalah seks terkemuka Epstein
E-mel itu sebahagian daripada pendedahan berjuta-juta helaian komunikasi berkait Jeffrey Epstein, di mana Anwar Ibrahim digambarkan sebagai orang yang boleh memberikan pulangan sekiranya menjadi perdana menteri.
Terkini
Persoalan timbul selepas komunikasi e-mel pada 2012 membabitkan penjenayah seks terkenal Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein, menunjukkan nama Anwar Ibrahim disebut sebagai orang yang boleh membuka "lubuk emas" kepada bank pelaburan AS, JP Morgan, sekiranya mengambil alih kuasa di Malaysia.
E-mel itu merupakan salah satu daripada jutaan salinan fail yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman AS bagi memenuhi perintah mendedahkan semua urusan komunikasi berkaitan siasatan dan pendakwaan Epstein, hartawan yang menjadi tumpuan skandal pemerdagangan seks yang turut memalitkan pemimpin politik dan ahli perniagaan terkemuka di AS.
Dalam salah satu salinan e-mel yang diterbitkan White House, di mana semua identiti pengirim selain Epstein dihitamkan, seorang individu yang mendakwa rapat dengan Anwar mencadangkan pertemuan antara beliau dan seorang bernama "Jes".
Jes dipercayai merujuk kepada Jes Staley, eksekutif kanan yang terpaksa meletak jawatan dari JP Morgan susulan pendedahan mengenai persahabatannya dengan Epstein.
"Perlukah kita atur pertemuan tertutup Jes dengan Anwar Ibrahim?" tanya individu itu dalam e-mel kepada Epstein bertarikh 21 Februari 2012, empat tahun selepas hartawan itu mengaku bersalah terbabit dalam skandal seks melibatkan gadis semuda 14 tahun.
"Jika dilantik perdana menteri Malaysia, dia akan membersihkannya dan ia boleh menjadi lombong emas untuk JPM [JP Morgan]. Saya mengenali Anwar dengan baik, sentiasa mengikutinya selama bertahun-tahun walaupun semua orang berkata dia tidak ada harapan dan tidak akan dapat kembali. Kini nampak berbeza," menurut e-mel tersebut.
Epstein menyambut baik cadangan itu dan bertanya sama ada Anwar boleh bertemu di Eropah atau AS. Individu itu kemudian memberitahu Anwar mungkin akan melawat Eropah pada bulan berikutnya.
Sambil berkata akan menyemak sama ada Anwar ada rancangan melawat AS, dia menulis: "Ada kemungkinan bulan Mei di Malaysia tetapi ia bergantung bila pilihan raya akan diadakan."
Epstein kemudian mencadangkan agar Anwar bertemu dengannya di Paris bersama penerbit filem Woody Allen: "Kamu beritahunya Woody Allen bersama saya di Paris, dan banyak negara menawarkan wang kepadanya untuk membuat filem di negara mereka," katanya, sambil memberikan contoh beberapa filem terbitannya seperti Midnight in Paris dan Vicky Cristina Barcelona.
MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan destinasi luar negara Anwar dalam tempoh tersebut, atau sama ada pertemuan sedemikian berlaku.
Pada 2008, Epstein disabitkan kesalahan membabitkan kanak-kanak untuk tujuan pelacuran, dan menjalani hukuman penjara 13 bulan.
Kematiannya pada 2019, ketika menunggu perbicaraan di sebuah penjara New York atas tuduhan baharu menjalankan sindiket melacur gadis bawah umur, masih dibelenggu misteri.
Amaran Mahathir
Carian mendapati kira-kira dua minggu selepas e-mel pada Februari 2012 itu, Dr Mahathir Mohamad dalam satu kiriman blog menuduh Anwar sebagai "alat" AS, sambil memberi amaran pemimpin PKR itu akan menurut apa sahaja arahan lobi Zionis sekiranya menjadi perdana menteri.
"Malaysia merdeka. Tetapi apabila kuasa asing dapat menukar kerajaan Malaysia dengan pelbagai cara yang haram, apakah Malaysia akan terus merdeka?" soal Mahathir dalam catatan blog bertarikh 6 Mac 2012.
Kenyataan Mahathir itu hanya dua bulan selepas Washington mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhary Mohd Azlan.
"Keputusan itu mencerminkan kebebasan badan kehakiman Malaysia dan membuka ruang kepada semua rakyat Malaysia untuk menumpukan perhatian terhadap masa depan," menurut seorang jurucakap Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.
Dua tahun selepas itu, Anwar disabitkan dengan tuduhan yang sama.
Bersatu: 'Anwar perlu beri penjelasan'
Seorang pemimpin Bersatu menggesa perdana menteri tampil memberikan penjelasan mengenai e-mel tersebut.
"Sebagai perdana menteri, Anwar Ibrahim mesti tampil dan memberikan penjelasan penuh bagi melindungi maruah dan integriti institusi kepimpinan negara," kata jurucakap Pemuda Bersatu, Na’im Brundage.
Katanya, adalah membimbangkan Anwar disebut-sebut sebagai individu yang boleh mewujudkan "lubuk emas" untuk JP Morgan.
"Perkara ini menimbulkan persoalan serius yang wajar dijelaskan secara terbuka sehingga mengelak sebarang persepsi negatif yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat," tambahnya.
Pendedahan terkini itu muncul ketika Anwar berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk membatalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia-AS yang ditandatanganinya pada Oktober lalu, dokumen yang dikritik pakar sebagai berat sebelah dan menjadikan Malaysia negara suruhan AS.
Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan mempertahankan perjanjian itu sebagai kaedah memujuk Presiden Donald Trump mengurangkan tarif perdagangan.
Bagaimanapun, pelbagai klausa dalam dokumen tersebut memaksa Malaysia bertindak seiring kepentingan geopolitik AS, selain pelbagai syarat lain yang hanya menguntungkan ekonomi AS.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
