- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Di sebalik perjanjian Anwar-Trump, Mahathir gesa rakyat pertahan kedaulatan sebagai azam tahun baru

Seruan pemimpin berusia seabad itu ketika polis masih belum mengumumkan siasatan melibatkan pihak yang merundingkan perjanjian AS-Malaysia.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dalam perutusan Tahun Baru 2026, Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat Malaysia tentant ancaman penjajahan semula.
Dalam perutusan Tahun Baru 2026, Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat Malaysia tentant ancaman penjajahan semula.

Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia mengenai ancaman terhadap kedaulatan negara dalam perutusan menandakan penghujung tahun 2025 yang menyaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan kritikan atas tindakan memeterai perjanjian dagang yang rata-rata mewajibkan Malaysia mengikut telunjuk Washington.

Bekas perdana menteri berusia 100 tahun itu yang kerap membangkitkan sejarah perjuangan kemerdekaan menentang penjajahan British yang dilaluinya, berkata adalah amalan biasa untuk mengulangi azam tahun baru yang sama walaupun tidak berjaya dicapai.

"Azam ini sama seperti perjuangan dan tiada perjuangan yang lebih mulia selain untuk negara.

"Banyak yang kita perjuangkan pada tahun lalu tetapi yang paling utama ialah mempertahankan kedaulatan dan kebebasan negara kita daripada dijajah semula," katanya dalam perutusan tahun baru.

Kenyataan itu ditujukan kepada apa yang dipanggil sebagai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang ditandatangani Anwar pada 26 Oktober.

Pemimpin kerajaan mempertahankan perjanjian itu sebagai cara meyakinkan AS supaya menurunkan kadar tarif perdagangan Trump.

Bagaimanapun, dokumen perjanjian itu didapati sarat dengan klausa yang mewajibkan Malaysia patuh kepada kepentingan geopolitik AS, di samping syarat yang berat sebelah dan menguntungkan ekonomi Washington.

Pelbagai pihak menyifatkan perjanjian itu sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, di mana seorang pakar ekonomi tempatan menggelarnya "langkah ke belakang yang mengejutkan" yang menyerahkan autonomi perdagangan Malaysia "sebagai pertukaran mendapatkan konsesi yang tak seberapa".

Perjanjian tersebut mencetuskan lebih daripada 300 laporan polis di seluruh negara, termasuk yang difailkan oleh Mahathir sendiri pada 2 Disember yang menggesa pihak berkuasa menyiasat Anwar dan semua yang terlibat dalam rundingan sehingga menyebabkan sabotaj ekonomi dan menjejaskan kedaulatan negara.

Difahamkan polis masih belum melancarkan sebarang siasatan.

Mahathir dalam laporannya merujuk klausa yang mewajibkan Malaysia mematuhi sebarang sekatan unilateral oleh AS terhadap negara lain, serta mewajibkan data rentas sempadan didedahkan "yang berpotensi mencampuri dasar pengawalseliaan negara".

Beliau turut menyenaraikan 14 implikasi negatif yang bakal dihadapi Malaysia, termasuk berkaitan kuasa kawal selia industri halal, pemerkasaan ekonomi Bumiputera, strategi nasional dalam sektor berteknologi tinggi, dan eksport mineral kritikal seperti unsur nadir bumi.

"Kesemua perkara ini menimbulkan kebimbangan serius kepada saya kerana pada hemat saya, ia melenyapkan kuasa Malaysia untuk menentukan dasar luar, dasar ekonomi serta penggunaan sumber strategik negara secara bebas dan berdaulat," kata Mahathir, tokoh yang bertanggungjawab memacu pertumbuhan pesat ekonomi sepanjang era 80-an dan 90-an, yang menyaksikan kemuncak pengaliran masuk pelaburan asing meskipun dasar nasionalis beliau yang tidak disenangi negara maju.

Butiran perjanjian AS-Malaysia itu hanya diketahui umum selepas ia diterbitkan di laman web rasmi White House beberapa jam selepas ditandatangani Anwar dan Trump ketika hadir di Sidang Kemuncak Asean pada 26 Oktober.

Antara mereka yang membantah keras perjanjian termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, yang berkata pelbagai komitmen dikenakan ke atas Malaysia menunjukkan pihak yang sepatutnya terlibat dalam rundingan – dari Pejabat Perdana Menteri hingga ke Jabatan Peguam Negara – "langsung tidak berunding".

"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya, merujuk kepada hadiah pen Rumah Putih daripada Trump kepada Anwar, sejurus selepas menandatangani perjanjian itu.