- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Selepas Mahathir gesa siasat Anwar sabotaj, KPN 'langsung tak ada bunyi', kata peguam

Rafique Rashid mempersoalkan sama ada pegawai atasan polis memahami kewujudan perjanjian timbal balik dan MoU ketenteraan yang mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Rafique Rashid mempersoalkan ketiadaan apa-apa tindakan susulan dari polis selepas laporan Dr Mahathir Mohamad berkenaan unsur sabotaj melibatkan Anwar Ibrahim.
Rafique Rashid mempersoalkan ketiadaan apa-apa tindakan susulan dari polis selepas laporan Dr Mahathir Mohamad berkenaan unsur sabotaj melibatkan Anwar Ibrahim.

Peguam kepada Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan ketiadaan sebarang tindakan susulan oleh polis selepas lebih seminggu laporan polis bekas pemimpin itu menggesa siasatan dilakukan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beberapa pihak lain berkenaan perjanjian kontroversi yang ditandatanganinya dengan Presiden Donald Trump pada Oktober lalu.

Rafique Rashid berkata meskipun lebih 140 laporan serupa difailkan di seluruh negara, tiada satu pun kertas siasatan dibuka setakat ini walaupun Bukit Aman sebelum ini berjanji merakamkan percakapan Mahathir.

"Dah masuk 8 hari, sehingga sekarang kita belum dengar apa-apa langsung," kata Rafique di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

"Kalau seorang saja buat laporan, tak apalah, kita boleh terima. Tapi ini laporan-laporan meliputi segenap lapisan masyarakat seluruh negara."

Rafique mempersoalkan sama ada Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail sedar akan kewujudan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, di samping sebuah memorandum pertahanan pada 30 Oktober bagi menjalinkan kerjasama ketenteraan yang lebih rapat dengan Washington.

"Paling mengecewakan adalah kita tak tahu apa status siasatan untuk kesemua laporan polis ini," kata Rafique.

Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat polis Putrajaya ditemani peguamnya Rafique Rashid, 2 Disember 2025.
Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat polis Putrajaya ditemani peguamnya Rafique Rashid, 2 Disember 2025.

Mahathir dalam laporannya menggesa Anwar disiasat atas perbuatan sabotaj ekonomi dan menjejaskan kedaulatan negara berhubung perjanjian ART yang mengundang kemarahan awam dan pakar ekonomi.

"Saya percaya tindakan tersebut telah dilakukan tanpa mengambil kira sepenuhnya kepentingan negara dan merupakan suatu tindakan yang pada pandangan saya boleh dianggap sebagai tindakan oleh seseorang yang tidak mengendahkan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, serta berpotensi mengheret negara ke dalam keadaan di mana Malaysia digadaikan kepada pengaruh kuasa asing," kata Mahathir dalam laporan yang difailkan di Putrajaya pada 2 Disember.

Beliau turut menggesa polis menyiasat pegawai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), peguam negara, dan semua yang terlibat dalam penyediaan dan rundingan perjanjian itu.

Mahathir menyenaraikan sekurang-kurangnya empat klausa dalam perjanjian itu yang menurutnya menyerahkan kedaulatan dan kebebasan perdagangan Malaysia kepada kuasa asing, dan 14 implikasi negatif yang bakal dihadapi Malaysia, termasuk berkaitan kuasa kawal selia industri halal, pemerkasaan ekonomi Bumiputera, strategi nasional dalam sektor berteknologi tinggi, dan eksport mineral kritikal seperti unsur nadir bumi.

Perjanjian yang dipertahankan Anwar dan pemimpin kerajaan itu mencetuskan kemarahan orang ramai di samping pelbagai kritikan daripada pakar dan ahli politik mengenai klausa yang dilihat terlalu memihak kepada kepentingan Washington.

Donald Trump menghadiahkan Anwar Ibrahim sebatang pen sebaik sahaja perdana menteri menandatangani perjanjian perdagangan yang mengikat Malaysia supaya komited menyokong kepentingan AS.
Donald Trump menghadiahkan Anwar Ibrahim sebatang pen sebaik sahaja perdana menteri menandatangani perjanjian perdagangan yang mengikat Malaysia supaya komited menyokong kepentingan AS.

Mereka termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, yang berkata pelbagai komitmen yang dikenakan ke atas Malaysia menunjukkan pihak yang sepatutnya terlibat dalam rundingan – dari Pejabat Perdana Menteri hingga ke Jabatan Peguam Negara – "langsung tidak berunding".

"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya, merujuk kepada hadiah sebatang pen Rumah Putih daripada Trump kepada Anwar, sejurus selepas menandatangani perjanjian itu pada 26 Oktober ketika presiden AS itu menghadiri Sidang Asean di Kuala Lumpur.

Rafique berkata sikap polis berhubung laporan terhadap Anwar jelas berlawanan dengan tindakan pantas melibatkan pengkritik kerajaan.

"Tak sempat laporan polis itu 24 jam, dah ditangkap, direman. Padahal ini, rakyat Malaysia ke depan nak selamatkan negara. Langsung tak ada bunyi dari polis."

Rafique berkata terdapat kegusaran dalam kalangan rakyat mengenai perjanjian ART.

"Sehingga hari ini, kita pun tidak ada kepastian sama ada Majlis Raja-Raja mahupun raja-raja Melayu mahupun Yang di-Pertuan Agong dimaklumkan ataupun tidak."

Di samping itu, beliau turut mempersoalkan sama ada kesan daripada memorandum persefahaman ditandatangani Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dan rakan sejawatnya dari AS, Pete Hegseth, pernah dibincangkan oleh Kabinet.

"Memorandum tersebut, Majlis Raja-Raja tahu atau pun tidak tentang perjanjian pertahanan ini? 

"Adakah mereka memberikan taklimat kepada raja-raja tentang apa yang akan berlaku dalam masa terdekat atau mungkin 5, 10, 15 tahun ke hadapan tentang isu-isu yang timbul ini?"