- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Bekas panglima ATM sertai bantahan terhadap perjanjian dagang Anwar-Trump, mahu menghadap raja-raja

Jeneral Bersara Borhan Ahmad mengingatkan kerajaan bahawa nyawa telah dikorbankan untuk melindungi kemerdekaan dan kedaulatan negara.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas panglima angkatan tentera Jeneral (B) Borhan Ahmad (dua dari kiri) dan veteran anggota tentera lain bersama Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Kuala Lumpur, 5 Dis, 2025.
Bekas panglima angkatan tentera Jeneral (B) Borhan Ahmad (dua dari kiri) dan veteran anggota tentera lain bersama Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Kuala Lumpur, 5 Dis, 2025.

Veteran tentera yang diketuai bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia hari ini menyertai bantahan yang semakin meningkat terhadap dasar Anwar Ibrahim yang dilihat semakin condong kepada Washington, sambil menyuarakan kebimbangan serupa oleh pakar bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) Malaysia-AS yang ditandatangani perdana menteri dengan Presiden Donald Trump pada Oktober lalu merupakan satu bentuk penyerahan kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.

Jeneral (Bersara) Borhan Ahmad, yang pernah menjawat sebagai panglima ATM ke-12 dari 1994 hingga 1995, berkata beliau dan beberapa veteran tentera merancang untuk membawa isu ini kepada perhatian Majlis Raja-Raja.

Selain ART, Borhan turut menyuarakan kebimbangan mengenai memorandum persefahaman pertahanan yang bertujuan meningkatkan kerjasama ketenteraan Malaysia dengan AS, dengan mengatakan kerajaan telah "menyerahkan kedaulatan dan integriti negara kepada kuasa asing".

"Ini tidak mencerminkan imej sebuah negara bangsa yang merdeka," kata Borhan pada sidang akhbar bersama Dr Mahathir Mohamad, tiga hari selepas bekas perdana menteri itu  membuat laporan polis menggesa Anwar disiasat kerana mensabotaj kepentingan negara dengan menandatangani perjanjian itu.

"Apakah kini kita sedang diperhambakan, dijajah semula, atau diperas ugut untuk menerima perjanjian yang berat sebelah ini?

"Apakah alasan kita tunduk kepada ancaman sekatan dan kenaikan tarif jika kita tidak bersetuju dengan peraturan perdagangan yang tidak munasabah ini?" soalnya.

Anwar dan barisan menterinya mempertahankan ART sebagai satu kejayaan, meskipun pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi menyifatkan perjanjian itu berat sebelah dan hanya mengutamakan kepentingan Washington.

Antara pengkritik termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, yang berkata pelbagai komitmen yang dikenakan ke atas Malaysia menunjukkan pihak yang sepatutnya terlibat dalam rundingan – dari Pejabat Perdana Menteri hingga ke Jabatan Peguam Negara – "langsung tidak berunding".

"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya, merujuk kepada hadiah sebatang pen Rumah Putih daripada Trump kepada Anwar, sejurus selepas menandatangani perjanjian itu pada 26 Oktober ketika presiden AS itu menghadiri Sidang Asean di Kuala Lumpur.

Anwar_Trump_graphic_MnowButiran perjanjian itu hanya diketahui umum selepas ia diterbitkan di laman rasmi White House beberapa jam selepas ditandatangani.

Apa yang menjadi titik kemarahan orang ramai ialah peruntukan yang mewajibkan Malaysia menjadi pemain langsung dalam sebarang konflik ekonomi melibatkan AS.

Ia menyatakan bahawa jika Washington mengenakan sekatan atau tarif ke atas mana-mana negara ketiga atas sebab keselamatan negara, Malaysia "hendaklah menerima pakai atau mengekalkan langkah dengan kesan sekatan yang setara", sekali gus menamatkan dasar luar Malaysia yang telah lama dipegang iaitu tidak berpihak dan mencerminkan sekatan AS terhadap negara lain.

'Jangan kembali jadi pengemis'

Borhan mengingatkan bahawa Asean sentiasa berpegang pada prinsip yang dinyatakan dalam Zopfan, atau Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali, deklarasi oleh blok itu pada 1971 bagi memastikan rantau tersebut bebas daripada campur tangan kuasa luar.

"Bagi mendokong prinsip ini, kita mesti kekal berkecuali dalam semua bentuk dan keadaan, serta tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar atau kuasa serantau," tambahnya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat turut disumbang oleh pengorbanan anggota tentera melalui "darah dan air mata".

Beliau memberi amaran bahawa pengorbanan itu akan sia-sia sekiranya Malaysia tunduk kepada tuntutan kuasa asing.

"Maka janganlah kita menggadaikan negara hingga menjadi pengemis semula," kata Borhan.