- Iklan -
Berita

Tommy Thomas kecam Anwar meterai perjanjian dagang 'terburuk sejak Merdeka'

Bekas peguam negara itu berkata perdana menteri menandatangani perjanjian tersebut tanpa soal dan tanpa rundingan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas.
Bekas peguam negara Tommy Thomas.

Bekas peguam negara Tommy Thomas melancarkan serangan tajam terhadap apa yang disebut sebagai perjanjian perdagangan "timbal balik" antara Amerika Syarikat dan Malaysia yang ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim, walaupun Putrajaya terus mempertahankan perjanjian itu yang dikecam pemimpin pembangkang sebagai menggadaikan kedaulatan Malaysia.

"Tidak pernah di bawah empayar British, mana-mana kuasa penjajah atau imperialis melakukan kawalan dan pengaruh langsung seperti ini terhadap ekonomi Malaya. Kita akan menjadi lebih teruk selepas 68 tahun Merdeka. Perjanjian perdagangan AS jauh lebih jahat dan berbahaya: ia adalah neo-imperialisme yang paling teruk. Tidak terfikir Malaysia secara bebas dan sukarela bersetuju," tulis Thomas dalam rencana yang diterbitkan portal berita Malaysiakini.

Thomas berkata pelbagai syarat yang dikenakan ke atas Malaysia menunjukkan pasukan yang sepatutnya terlibat dalam rundingan – dari Pejabat Perdana Menteri hingga ke Jabatan Peguam Negara – "langsung tidak berunding".

"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya, merujuk kepada hadiah sebatang pen Rumah Putih daripada Donald Trump kepada Anwar, sejurus selepas menandatangani perjanjian itu pada 26 Oktober ketika presiden AS itu menghadiri Sidang Asean di Kuala Lumpur.

"Sehingga pentadbiran Anwar Ibrahim pada 2022, setiap perdana menteri sentiasa memastikan tidak terlalu rapat dengan AS." - Tommy Thomas

Menurut Thomas, perjanjian tersebut "tidak syak lagi merupakan perjanjian paling buruk pernah dimeterai oleh Malaya/Malaysia sejak Merdeka".

"Dan ini sama ada dari perspektif perundangan, politik, ekonomi mahupun geo-strategik."

Donald Trump menghadiahkan Anwar Ibrahim sebatang pen sebaik sahaja perdana menteri menandatangani perjanjian perdagangan yang mengikat Malaysia supaya komited menyokong kepentingan AS.
Donald Trump menghadiahkan Anwar Ibrahim sebatang pen sebaik sahaja perdana menteri menandatangani perjanjian perdagangan yang mengikat Malaysia supaya komited menyokong kepentingan AS.

Beliau berkata sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 dan kemudiannya pembentukan Malaysia, setiap perdana menteri telah berjaya mengelak Malaysia daripada menjadi sekutu Washington.

Sebagai contoh, Tunku Abdul Rahman secara konsisten menolak Presiden AS Dwight Eisenhower dan John Kennedy dalam usaha mereka mendapatkan sekutu serantau semasa Perang Vietnam.

"Walaupun Presiden Lyndon Johnson melawat Kuala Lumpur pada 1965, Tunku enggan menyokong AS dalam Perang Vietnam.

"Sehingga pentadbiran Anwar Ibrahim pada 2022, setiap perdana menteri sentiasa memastikan tidak terlalu rapat dengan AS," kata Thomas.

Thomas berkata peralihan mendadak pendirian Malaysia untuk menyokong Washington berpunca daripada kegagalan Anwar untuk berurusan dengan Trump sebagai ketua kerajaan yang setaraf.

"Anwar kagum dengan Trump," katanya, sambil menambah bahawa perdana menteri itu juga terdesak untuk meraikan Trump "dengan menggunakan alasan Sidang Kemuncak Asean".

Thomas, yang berkhidmat sebagai peguam negara selaku penasihat perudangan tertinggi kerajaan semasa pentadbiran kedua Dr Mahathir Mohamad 2018-2020, menyenaraikan 19 frasa dalam perjanjian itu yang menunjukkan AS mendominasi Malaysia.

Sambil menggesa Putrajaya membatalkan perjanjian itu "secepat mungkin", beliau berkata terdapat dua klausa yang boleh dijadikan jalan keluar, salah satunya dengan tidak memberikan notis bertulis dalam tempoh 60 hari, yang akan menghalang perjanjian itu daripada berkuat kuasa.

Thomas berkata Anwar masih boleh "menyelamatkan air mukanya" dengan membawa perjanjian itu ke Dewan Rakyat untuk diundi oleh ahli Parlimen.

Katanya, ini memberikan Anwar alasan untuk membatalkan perjanjian itu tanpa menimbulkan kemarahan "wiranya, Trump".

"Walau apa pun, Malaysia perlu membatalkan perjanjian ini secepat mungkin. Ia adalah malapetaka dan penghinaan terhadap maruah kita sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka," tambahnya.

Tindakan Anwar menandatangani perjanjian itu mencetuskan semula tuduhan bahawa pengerusi Pakatan Harapan itu cenderung kepada dasar AS dan Barat, antara alasan Mahathir pada 1998 untuk memecat Anwar daripada kerajaan ketika kemuncak krisis kewangan Asia.

Antara yang menjadi titik kemarahan orang ramai ialah peruntukan yang mewajibkan Malaysia menjadi pemain langsung dalam sebarang konflik ekonomi melibatkan AS.

Menurut peruntukan itu, sekiranya Washington mengenakan sekatan atau tarif ke atas mana-mana negara ketiga atas alasan keselamatan negara, Malaysia "hendaklah mengambil atau memastikan tindakan yang mempunyai kesan sama", seterusnya menamatkan dasar Malaysia untuk tidak bersekutu.