- Iklan -
Berita

Tuduh ke akhir hayat tapi masih tiada bukti, kata Mahathir di ulang tahun pertama pemergian Daim

Bekas perdana menteri itu percaya hubungan akrabnya dengan Daim Zainuddin adalah punca arwah menjadi sasaran Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Daim Zainuddin.
Daim Zainuddin.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Allahyarham Daim Zainuddin masih belum dapat dibuktikan, meskipun bekas menteri kewangan itu masih menjadi sasaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim genap setahun selepas meninggal dunia.

Mahathir berkata sehingga hari ini, tiada satu pun bukti dikemukakan bagi menyokong tuduhan rasuah dan "kekayaan haram" yang dilemparkan oleh Anwar terhadap Daim - tokoh perniagaan yang dua kali dibawa masuk ke dalam kerajaan Mahathir bagi mengemudi ekonomi negara setiap kali berdepan krisis.

"Kalau salah, tunjuklah. Sampai beliau dah meninggal pun, masih lagi kejar kononnya itu duit haram. Tunjukkanlah macam mana kata duit haram," kata Mahathir kepada MalaysiaNow sempena memperingati ulang tahun pertama kematian Daim.

Dr Mahathir Mohamad membawa masuk Daim Zainuddin ke dalam pentadbirannya, ketika arwah merupakan satu-satunya tokoh perniagaan Melayu pada 1980an.
Dr Mahathir Mohamad membawa masuk Daim Zainuddin ke dalam pentadbirannya, ketika arwah merupakan satu-satunya tokoh perniagaan Melayu pada 1980an.

Mahathir, yang bertanggungjawab membawa masuk Daim ke dalam politik sejurus selepas menjadi perdana menteri ke-4, berkata serangan Anwar jelas bermotifkan dendam politik.

Menurut Mahathir, Daim menjadi sasaran kerana hubungan rapat mereka sejak puluhan tahun lalu.

"Anwar pergi kacau Daim kononnya Daim buat salah apa semua, Daim tak mengaku salah. Dia kata tunjuklah yang dia salah buat apa, tunjuklah. Tapi tak tunjuk juga," tambahnya.

Daim, antara menteri kewangan Malaysia yang paling dikenali dan bertanggungjawab memastikan pemulihan ekonomi ketika krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu, meninggal dunia pada usia 86 tahun pada 13 November tahun lalu.

Beliau yang nama kelahirannya Che Abdul Daim Zainuddin, merupakan ahli perniagaan sebelum menyertai kerajaan sebagai menteri kewangan di bawah era pentadbiran Mahathir, yang menyaksikan pembangunan.

Walaupun uzur di akhir hayatnya, Daim menjadi sasaran serangan Anwar , yang menuduhnya mengumpul kekayaan, diikuti dengan siasatan SPRM.

Siasatan itu bagaimanapun bertukar menjadi kontroversi selepas Bloomberg memetik sumber yang mendedahkan Ketua Persuruhjaya SPRM, Azam Baki, diarahkan Anwar untuk menyasarkan Daim dan Mahathir.

SPRM akhirnya mendakwa Daim dan isterinya, Naimah Abdul Khalid, atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta, yang disifatkan pasangan itu sebagai sebahagian serangan politik Anwar. 

Susulan kematian Daim, pihak pendakwaan memohon agar tuduhan terhadapnya digugurkan.

Beberapa bulan selepas itu, Azam yang sekali lagi dilanjutkan tempoh perkhidmatan menerajui SPRM, mengumumkan siasatan akan diteruskan.

Daim dilihat sentiasa mendapat kepercayaan Mahathir, malah sering dihantar menjadi utusan kerajaan dalam rundingan melibatkan isu ekonomi yang rumit. Pelantikan Daim sebagai menteri kewangan pada 1984 ketika ekonomi Malaysia muncul sebagai pusat perindustrian serantau dibantu pelaburan asing secara besar-besaran.

Ketika kemerosotan ekonomi dunia pada pertengahan 1980-an, Daim dilihat sebagai orang yang mengemudi usaha pemulihan, yang seterusnya membuka jalan untuk kebangkitan Malaysia sebagai kuasa ekonomi Asia. 

TunMahathir08_Mnow_120824Mahathir menyifatkan siasatan SPRM terhadap Daim adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membina persepsi membanteras rasuah dengan membawa naratif "kekayaan luar biasa" individu yang tidak disenangi. 

Mahathir berkata kekayaan Daim adalah hasil usahanya sendiri sebagai seorang ahli perniagaan lama sebelum beliau dibawa masuk menceburi politik. 

"Tapi entah macam mana Anwar tuduh kononnya beliau bagi duit dekat saya. Tak ada satu seh pun. Saya tak minta duit daripada dia."

Mahathir mempersoalkan mengapa ramai ahli perniagaan Malaysia yang memperoleh kekayaan besar di luar negara tidak pernah dituduh mencuri dana.

"Orang di Malaysia ini yang berniaga di luar negara, mereka dapat untung banyak, besar berbilion-bilion.

"Mereka tak didera, tak dikejar, dituduh curi duit. Tapi Daim kononnya curi duit. Apa bukti yang dia curi duit?" soalnya.