- Iklan -
Berita

Wartawan veteran jelaskan mengapa 'sahabat baik' seperti Daim jadi sasaran Anwar

Selepas penampilan balu Daim Zainuddin dalam podcast baru-baru ini, A Kadir Jasin merumuskan naratif yang menjadi formula politik Anwar Ibrahim.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Daim Zainuddin ketika berkempen untuk Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Port Dickson, 2018.
Daim Zainuddin ketika berkempen untuk Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Port Dickson, 2018.

Penampilan balu Allahyarham Daim Zainuddin dalam podcast Keluar Sekejap baru-baru ini terus mendapat pelbagai reaksi, termasuk seorang wartawan veteran yang menyifatkan beberapa pendedahan dalam episod itu sebagai "membuka kotak pandora" mengenai hubungan lampau bekas menteri kewangan itu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

A Kadir Jasin berkata pendedahan oleh Na'imah Abdul Khalid mengesahkan anggapan bahawa arwah suaminya mempunyai hubungan baik dengan Anwar, walaupun perdana menteri baru-baru ini dilihat sentiasa menyasarkan Daim, yang akhirnya membawa kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ke akhir hayatnya.

"Dua sahabat yang sangat akrab. Kalau bercakap, hang dan aku saja. 

"Daim hang kena tulunggg aku! Itulah permintaan Anwar sepanjang masa,” kata Kadir, yang juga bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times.

Menurutnya, Anwar sedar akan kedudukan Daim dalam politik dan sebagai pelaksana utama kepada pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

"Rasanya benar tesis bekas setiausaha akhbar Almarhum, Abdul Rashid Yusof, iaitu Anwar tidak pernah bermusuh dengan Daim dan Daim sentiasa bersimpati dengan Anwar," katanya.

Sebagai bukti, Kadir berkata Daim memperbaharui lesen peguamnya yang sudah lama luput semata-mata untuk membolehkan beliau bertemu Anwar di penjara.

Daim pernah mengaku bertemu Anwar di penjara sebanyak enam kali sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang menjatuhkan pentadbiran Najib Razak pada 2018.

"Yang dibenarkan jumpa hanya ahli keluarga atau peguam. Maka, untuk atasi masalah ini saya jadi peguam balik. Dengan cara itu saya dapat masuk di (Penjara) Sungai Buloh dan jumpa Anwar.

"Saya jumpa dan berbincang dalam enam kali. Selepas itu saya tidak dibenarkan. Bila tidak dibenarkan saya tulis surat kepada PM (Najib).

"Saya tanya mengapa tidak boleh berjumpa kerana saya peguam. Mereka ada laporan tertentu maka saya tidak dibenarkan masuk," Daim dilaporkan sebagai berkata pada 2018.

A Kadir Jasin.
A Kadir Jasin.

Kadir berkata, meskipun dengan hubungan akrab kedua-dua mereka, timbul persoalan mengapa Anwar menyasarkan Daim sebagai musuh utama.

Menurut Kadir, ia menepati cara Anwar beroperasi sejak zaman pelajar lagi, di mana kewujudan musuh dan naratif konfrontasi menggerakkan penyokongnya.

"Pertama, politik Anwar, sejak zaman protes kampus, memerlukan musuh, demon, dajal, Firaun dan pelbagai lagi musuh imaginari. 

"Tanpa musuh dan konfrontasi, tiadalah Anwar. Bagi setiap generasi yang beliau rekrut ke dalam gelanggang politik beliau, akan dicampakkan musuh-musuh durjana, seperti pemerintah Rom silam mencampakkan orang Kristian untuk dibaham oleh singa lapar.

"Siapakah yang lebih baik untuk diseret, diarak dan dicampakkan ke dalam gelanggang beliau kalau bukan Dr Mahathir dan Daim?" tulis Kadir dalam sebuah catatan.

Daim, antara menteri kewangan Malaysia yang paling dikenali dan bertanggungjawab memastikan pemulihan ekonomi ketika krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu, meninggal dunia pada usia 86 tahun pada 13 November tahun lalu.

Beliau yang merupakan satu-satunya tokoh perniagaan Melayu yang terlibat dalam pelbagai industri ketika tidak diceburi anak tempatan, dipelawa menyertai kerajaan sebagai menteri kewangan di bawah era pentadbiran Mahathir.

Walaupun uzur di akhir hayatnya, Daim menjadi sasaran serangan Anwar, yang menuduhnya mengumpul kekayaan.

Ini diikuti dengan pelbagai pengumuman menyasarkan Daim oleh Azam Baki, ketua pesuruhjaya SPRM terpalit kontroversi yang kontraknya dilanjut tiga kali oleh pentadbiran Anwar.

Sementara itu, Kadir turut berkongsi pengalamannya berurusan dengan Daim.

Antaranya, Kadir menganggap Daim seorang yang menitik beratkan masa.

"Wajib tepat waktu. Kalau lambat kena tinggal. Dalam kapal terbang, lepas mendengar orang bersembang, beliau akan baca surat akhbar. Akhbar-akhbar utama sentiasa ada di dalam kapal terbang. 

"Masuk waktu solat,  Almarhum akan solat. Kalau penerbangan panjang, Almarhum akan baca Quran."

keluarsekejap_naimahKatanya, Daim mewakafkan  masjid, sekolah agama, pondok dan pesantren di dalam dan luar negara, membiayai pendidikan dan menaja pelajar melalui dua yayasan beliau - Yayasan Pok Rafeah dan Yayasan Haji Zainuddin.

Minggu lalu, podcast Keluar Sekejap yang dihoskan bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, menyaksikan Na'imah menjawab pelbagai soalan menyebulungi arwah suaminya, termasuk tuduhan mengumpul harta secara haram yang kerap dilemparkan oleh Anwar terhadap musuh politiknya.

Na'imah antara lain membutirkan perjalanan hidup Daim daripada seorang anak kampung Kedah yang lulus sebagai peguam di London pada usia muda, dan bagaimana beliau menceburi pelbagai bidang perniagaan yang ketika itu dimonopoli orang asing.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.