- Iklan -
Berita

Tamparan kepada Anwar selepas PM Thailand tolak gencatan senjata, 'tak peduli' tarif Trump

Ia ketika kritikan semakin lantang terhadap Anwar Ibrahim kerana membenarkan Washington mencampuri urusan Asean.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

Thailand telah mengancam untuk membatalkan perjanjian gencatan senjata dengan Kemboja yang ditandatangani di Malaysia bulan lalu sambil disaksikan Donald Trump, dalam apa yang dilihat tamparan hebat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kini berdepan kritikan semakin meningkat terhadap prestasi beliau sebagai pengerusi Asean susulan langkah meraikan presiden AS itu sebagai pendamai.

AS telah meletakkan tawaran tarif yang lebih rendah sebagai syarat kedua-dua pihak mematuhi gencatan senjata itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata beliau "tidak lagi peduli" tentang ancaman Trump mengembalikan tarif lebih tinggi.

"Saya tidak akan lagi duduk di meja rundingan," kata Anutin, seperti dipetik akhbar Thai Enquirer.

"Mengenai rundingan perdagangan atau tarif, saya tidak peduli lagi. Jika tak boleh jual ke negara itu, kita cari negara lain. Sektor swasta mesti bekerjasama. Mana boleh kita letakkan masa depan negara kita kepada hanya satu negara? Sektor swasta memahami perkara ini dengan baik. Jika saluran ini ditutup, kita boleh cari negara lain. Jika tarif digunakan sebagai tekanan, biarlah — negara lain turut terjejas oleh tarif. Akhirnya, jika tarif meningkat kepada 100%, yang akan menderita ialah pembeli. Kita, sebagai pengeluar, mesti lebih bergantung pada produk kita sendiri dan mengukuhkan kemampuan untuk berdikari."

Pada Isnin, letupan periuk api mencederakan beberapa askar Thailand, disusuli pihak tentera Thailand mengumumkan untuk "menggantung semua perjanjian". 

Kemboja menafikan tuduhan periuk api dipasang oleh tenteranya. Sebaliknya, Perdana Menteri Hun Manet mendakwa tentera Thailand telah membunuh orang awam.

Nada Anutin bertentangan dengan naratif yang sering diberikan Anwar dan menterinya dalam mempertahankan langkah Putrajaya menandatangani apa yang dipanggil perjanjian timbal balik perdagangan dengan AS.

Pemimpin kerajaan kerap berhujah Malaysia merupakan "negara kecil", dalam menjawab gesaan agar menarik diri daripada perjanjian itu, yang dibidas pemimpin pembangkang, ahli ekonomi, dan pakar perdagangan sebagai berat sebelah untuk memenuhi kepentingan Washington di samping menggadaikan kedaulatan Malaysia.

Perjanjian gencatan senjata Thailand-Kemboja yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 26 Oktober disifatkan penyokong kerajaan sebagai bukti kecekapan diplomatik pentadbiran Anwar.

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa Washington sebenarnya hanya mementingkan butiran perdagangan yang dikepilkan bersama perjanjian tersebut, yang merangkumi tarif yang dikenakan Trump.

"Sudah dapat diramalkan bahawa perjanjian (gencatan senjata) itu akan gagal, kerana ia jelas dimuktamadkan untuk mengambil hati Presiden Trump dalam perkara yang tiada kaitan dengan konflik tersebut, iaitu perdagangan dan keinginan Trump diangkat sebagai pendamai," kata penganalisis Matthew Wheeler dari International Crisis Group yang berpangkalan di Belgium.

Kemarahan semakin meningkat di Thailand terhadap perjanjian gencatan senjata itu, yang melibatkan kebimbangan bahawa ia akan menyebabkan negara itu kehilangan hak ke atas rizab sumber nadir buminya yang besar.

Selain memastikan komitmen perdagangan dari Thailand dan Kemboja demi mendapatkan "tarif yang lebih rendah", AS juga berjaya mendapatkan sumber nadir bumi daripada Malaysia, langkah yang dilihat sebagai melemahkan China yang sebelum ini mengharamkan eksport mineral itu ke AS, iaitu sebahagian strategi Beijing memberikan tekanan kepada Washington dalam perang dagang antara kedua-dua kuasa besar itu.

Anwar baru-baru ini cuba memperlekehkan seorang jeneral Thailand yang mengecam perjanjian itu, di samping kenyataan bekas presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

Rangsi Kitiyansap berkata Anwar adalah dalang yang menyebabkan kerugian ekonomi kepada Thailand, dan menuduhnya mengambil kesempatan daripada konflik Thailand-Kemboja untuk menyelitkan syarat perdagangan yang memberikan kelebihan kepada AS.

"Anwar seorang pengintip. Dia benar-benar menyusahkan dan membawa malapetaka kepada kami. Kenapa mencampuri urusan kami?" kata Rangsi, jeneral bersara yang kini seorang ahli politik yang terkenal dengan kelantangannya dan kerap muncul di media utama Thailand.

Sementara itu, Yudhoyono, yang memerintah Indonesia selama sedekad dan pernah memegang kepengerusian Asean, berkata beliau malu apabila Trump dibenarkan mencuri tumpuan dalam urusan blok itu, sambil mengingatkan konflik lampau dalam kalangan negara anggota diselesaikan tanpa campur tangan asing.

"Tiba-tiba Donald Trump yang menjadi orang tengah dan saya berasa malu dan dihina," kata Yudhoyono.