- Iklan -
Berita

Selepas Anwar dilabel 'pengintip' di Thailand, bekas presiden Indonesia pula 'malu' Asean libatkan Trump

Pendirian Susilo Bambang Yudhoyono ketika Anwar Ibrahim berdepan kritikan semakin lantang berkenaan pengurusan Asean, perjanjian dagang dengan AS.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, menganggap langkah Asean meraikan Donald Trump sebagai pendamai sesuatu yang menghina dan memalukan.
Bekas presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, menganggap langkah Asean meraikan Donald Trump sebagai pendamai sesuatu yang menghina dan memalukan.

Sebuah kenyataan oleh Susilo Bambang Yudhoyono, di mana bekas presiden Indonesia itu melahirkan rasa kecewa dengan pengiktirafan diberikan Asean kepada Donald Trump sebagai pendamai dalam konflik Thailand–Kemboja, mula tersebar secara meluas di Malaysia.

Ia ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang meraikan presiden AS itu bulan lalu cuba menepis kritikan yang semakin meningkat termasuk daripada seorang jeneral Thailand yang melabel beliau "musuh dalam selimut".

Yudhoyono, yang diangkat sebagai presiden Indonesia selepas pilihan raya bebas pertama negara itu, berkata Asean selama ini berjaya memastikan kedua-dua Thailand dan Kemboja mengekalkan gencatan senjata selama lebih sedekad, sambil menambah ia menunjukkan blok tersebut mempunyai pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah sesama negara anggota.

"Ini berbeza (sekarang) apabila terjadi konflik antara Kemboja dan Thailand, tiba-tiba Donald Trump yang menjadi orang tengah dan saya merasa malu dan dihina," kata Yudhoyono pada forum anjuran sebuah badan pemikir di Jakarta minggu lalu.

Kenyataan oleh Yudhoyono, yang terkenal dengan panggilan SBY, merancakkan lagi kemarahan terhadap Anwar, di mana orang ramai membantah keputusan menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik dengan Trump pada 26 Oktober lalu, ketika presiden AS itu hadir di Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.

Pendekatan Anwar memperlekeh Rangsi mungkin sukar digunakan dalam menjawab kritikan Yudhoyono, presiden Indonesia selama dua penggal antara 2004 dan 2014.

Pada hari sama, Anwar menjadi tuan rumah kepada majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata, di mana beliau memuji Trump sebagai pendamai yang berjaya menamatkan pertempuran di sempadan Thailand dan Kemboja.

Ia diikuti presiden AS itu yang mendakwa dirinya berjaya menamatkan "perang keenam" sejak kembali ke White House.

Pakar serantau bagaimanapun bersikap sinis terhadap sebarang percubaan untuk menggambarkan Trump sebagai pihak yang memainkan peranan penting dalam gencatan senjata itu, sebaliknya menganggap majlis itu dianjurkan secara tergesa-gesa sekadar untuk memuaskan ego Trump, malah perjanjian tersebut juga tidak langsung menangani isu utama pertikaian wilayah antara dua negara Asean tersebut.

Butiran diterbitkan White House serta penelitian pakar mengenai gencatan senjata dan perjanjian perdagangan yang ditandatangani Trump di Kuala Lumpur mendedahkan matlamat yang lebih besar daripada sekadar mengelakkan tarif perdagangan atau menamatkan pertempuran sempadan.

Antara yang menjadi punca utama kecaman orang ramai ialah AS berjaya mendapatkan bekalan nadir bumi dari Malaysia dan Thailand, langkah yang dilihat sebagai melemahkan China yang sebelum ini mengharamkan eksport mineral itu ke AS, iaitu sebahagian strategi Beijing memberikan tekanan kepada Washington dalam perang dagang antara kedua-dua kuasa besar itu.

Rangsi Kitiyanasap.
Rangsi Kitiyanasap.

Walaupun Rangsi tidak menyatakan kepada siapa Anwar menjadi pengintip, label itu dianggap sensitif bagi pemimpin Pakatan Harapan itu yang selama lebih dua dekad terpalit persepsi sebagai boneka AS.

Salah seorang pengkritik yang mendapat perhatian ialah seorang jeneral bersara Thailand, Rangsi Kitiyanasap.

Beliau menuduh Anwar sebagai "musuh dalam selimut" yang menyebabkan kerugian ekonomi kepada Thailand apabila membawa masuk Washington sebagai orang tengah dalam gencatan senjata itu.

"Anwar seorang pengintip," kata Rangsi dalam sebuah temubual seperti dilaporkan Thai PBS World.

"Dia benar-benar menyusahkan dan membawa malapetaka kepada kami. Kenapa mencampuri urusan kami?" kata Rangsi, yang kini seorang ahli politik yang terkenal dengan kelantangannya dan kerap muncul di media utama Thailand.

Walaupun Rangsi tidak menyatakan kepada siapa Anwar menjadi pengintip, label itu dianggap sensitif bagi pemimpin Pakatan Harapan itu yang selama lebih dua dekad terpalit persepsi sebagai boneka AS.

Temubual Rangsi itu menjadi tular di media sosial Malaysia.

Dalam reaksinya, Anwar tidak menjawab tuduhan Rangsi, sebaliknya mempersoalkan kredibiliti Rangsi dan menyifatkannya seorang ahli politik yang "tidak pernah menang pilihan raya".

Yudhoyono: Kenapa libatkan AS dalam urusan Asean?

Pendekatan Anwar memperlekeh Rangsi mungkin sukar digunakan terhadap Yudhoyono, presiden Indonesia selama dua penggal antara 2004 dan 2014.

Memetik portal berita Indonesia Kompas, Yudhoyono yang pernah menjadi pengerusi Asean pada 2011 berkata beliau kecewa melihat peranan pemimpin Asean sendiri yang semakin lemah dalam menyelesaikan konflik serantau, sambil menambah blok itu kini tidak lagi "sekohesif dulu".

"Dulu juga ada konflik antara Kemboja dan Thailand. Saya masih bicara sebagai Asean, Kita diminta menjadi orang tengah dan kita lakukan. Ia berjaya dan bertahan selama 13 tahun," katanya.

Yudhoyono berkata beliau tidak nampak sebarang alasan untuk menjemput kuasa asing terlibat dalam konflik di Asean.

"Kan masih ada Indonesia, kenapa? Masih ada pemimpin Asean. Kita boleh. Kalau sayalah, Trump lebih baik menjadi peacemaker yang menghentikan perang dunia ketiga, atau menghentikan konflik di Asia, Eropah dan Timur Tengah. Level beliau di situ," Tambahnya. 

Anwar_Trump_graphic_MnowPerjanjian gencatan senjata Thailand-Kemboja itu menyusuli perjanjian perdagangan yang ditandatangani Anwar bersama Trump, sebuah dokumen yang disifatkan pakar sebagai menggadaikan kedaulatan negara di sebalik syarat mewajibkan Malaysia patuh kepada dasar perdagangan dan dasar luar AS dalam sebarang perjanjian dua hala masa depan dengan negara lain.

Selain perlu membekalkan sumber mineral tanpa had, menamatkan pelbagai sekatan terhadap produk AS, dan menerima piawaian pengguna AS bagi barangan makanan serta perubatan, perjanjian itu turut menetapkan bahawa Malaysia perlu bertindak selari dengan apa-apa sekatan atau tarif yang dikenakan Washington atas mana-mana negara ketiga atas alasan keselamatan negara.

Kemarahan awam terhadap perjanjian itu dizahirkan dengan pelbagai sindiran dan jenaka di media sosial yang menggambarkan Anwar sebagai boneka AS, label yang pernah diberikan oleh Dr Mahathir Mohamad ketika krisis mata wang Asia pada lewat 1990-an.

Sejak tercetus kempen genosida Israel di Gaza, Anwar dilihat bersungguh-sungguh cuba mengubah imej tersebut khususnya di kalangan umat Islam, yang kebanyakannya masih tidak menyokong pentadbirannya. 

Antara lain, Anwar cuba menampilkan dirinya sebagai pemimpin yang lantang mengkritik kuasa Barat kerana membantu Israel, di samping mengerah penjawat awam menghadiri perhimpunan solidariti Palestin anjuran kerajaan.

Bagaimanapun, rata-rata pemerhati dan pembangkang menganggap retorik pro-Palestin itu sekadar lakonan.

Sambutan meriah diberikan Anwar kepada Trump pada 26 Oktober, di mana beliau berjoget bersama pemimpin AS yang dianggap presiden paling rapat dengan negara Zionis Israel, dilihat sebagai petanda bahawa perdana menteri sudah berputus asa dalam usaha meraih sokongan orang Melayu kepada kerajaan.