Jangan jadi proksi gangster global
Tindakan Donald Trump terhadap Venezuela menunjukkan bagaimana Amerika Syarikat akan sentiasa mencabuli negara lain demi hasil bumi.
Terkini
Dalam jangkamasa 2 jam 20 minit, Caracas diserang hendap. Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya Cilia Flores ditahan tentera Amerika serta diterbangkan ke New York.
Washington menyatakan operasi Absolute Resolve ini adalah kerana Maduro dan Venezuela terlibat dalam "narco-terrorism", atau bahasa mudahnya kartel dadah.
Isu geopolitik global adalah sesuatu yang kita semua mesti sedar. Ia tidak atas kertas hitam putih, ia ada dalam lipatan sejarah. Gagal baca sejarah maka kita akan ulang salah yang sama.
Pada 1970, Arab Saudi bersetuju untuk harga minyak dikira dengan dolar Amerika Syarikat. Negara pengeluar minyak juga, Opec, ikut cara sama. Ini menyebabkan matawang dunia menurut sistem fiat currency. Semua guna dolar AS, tidak lagi sistem Bretton Wood. Matawang dollar diapung tidak lagi bersandar emas.
Kesan mudahnya, AS kuasai dunia kerana semua yang hendak bergadang dengan minyak mesti guna dolar.
Sekarang, ekonomi AS tidak mampu bertahan. Inflasi dan peluang pekerjaan makin parah. Rizab minyak AS pula pada tahap paling rendah.
Perkumpulan BRICS mula berdagang sesama mereka. Terdapat gesaan juga untuk matawang yuan (China) dan matawang BRICS digunakan sesama mereka. Dasarnya, dunia mula pulau matawang AS.
Bila rizab minyak AS mula tunjuk lampu merah, maka AS terpaksa cari punca baru. Minyak ada pelbagai kualiti. Yang baik atau premium untuk dijual, maka mesti cari deposit minyak mentah untuk diproses atau disuling supaya boleh dijual pada harga tinggi.
Deposit atau tempat tinggal minyak mentah paling tinggi di dunia sekarang ini adalah di Orinoco Belt. Ya, di Venezuela.
Venezuela pula sejak zaman Presiden Hugo Chavez (1999-2013) mempunyai dasar anti-Amerika. Itu juga pegangan Nicolas Maduro. Malah AS juga kenakan pelbagai sekatan ke atas Venezuela, seperti juga ke atas Rusia dan Iran.
Malah, Maduro sedang dalam proses untuk membawa Venezuela ke sistem Cross Border Interbank Payment System (CIPS). Ia adalah sistem perbankan yang mana Venezuela akan berdagang minyak atau barangan lain dan jual belinya dalam yuan, bukan dolar.
Maka, sekarang jelas mengapa Caracas jadi sasaran. Dunia mesti tempelak perbuatan AS ini.
AS mesti patuh pada undang-undang dunia. Setiap negara ada hak berdagang dengan sesiapa sahaja asalkan ianya tidak melanggar undang-undang serta keamanan.
PBB ditubuh selepas perang dunia sebagai satu kesatuan di mana dunia ini aman. Tiada siapa ketuai dunia dan ia milik semua negara dan mempunyai set undang-undang yang mesti diikuti semua negara, kecil atau besar, kuat atau lemah, kaya atau miskin.
Tindakan AS mesti dikutuk. Tidak hanya sekadar lahir kerisauan atau nasihat atas kertas.
Malaysia juga mesti lantang bersuara. Tindakan mesti dikecam keras, bukan bantahan lemah. Jata negara atas kenyataan media mesti melambangkan keberanian kita bukan sebagai koloni mana-mana kuasa besar.
Malaysia juga memiliki pelbagai hasil mentah. Minyak dan nadir bumi. Adakah kita akan terima sahaja kalau suatu hari nanti AS serang Kuala Lumpur kerana kita hendak jual minyak atau nadir bumi ke negara lain dengan mata wang yuan atau mana-mana matawang BRICS?
Sedarkah kita kesan Perjanjian Anwar-Trump 2025 sekarang? Perjanjian ini mesti dibatalkan.
AS gangster global yang mesti dikutuk. Kalau tidak, sah kita proksi mereka.
Rafique Rashid ialah seorang peguam dan ketua penerangan Pejuang.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
