- Iklan -
Berita

'Tamatkan perjanjian': Anwar berdepan tekanan selepas mahkamah putuskan tarif Trump tidak sah

Putrajaya digesa memaklumkan Washington bahawa perjanjian dagang yang ditandatangani Oktober lalu terbatal.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berjoget bersama Donald Trump mengikut rentak tarian tradisi yang meraikan presiden Amerika Syarikat itu di KLIA, 26 Oktober 2025.
Anwar Ibrahim berjoget bersama Donald Trump mengikut rentak tarian tradisi yang meraikan presiden Amerika Syarikat itu di KLIA, 26 Oktober 2025.

Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat hari ini bahawa langkah Presiden Donald Trump mengenakan tarif adalah tidak sah bakal mengalihkan tumpuan kepada pemimpin di beberapa negara yang akur dengan tuntutan Washington dengan menandatangani perjanjian dagang yang mengandungi pelbagai syarat kontroversi, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Peguam Rafique Rashid berkata keputusan mahkamah tertinggi AS itu bermakna Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang ditandatangani Anwar tahun lalu dan dibidas pelbagai pihak, juga dianggap tidak sah.

Beliau berkata pentadbiran Anwar kini wajib bertindak dengan mengambil langkah yang perlu.

Rafique Rashid.
Rafique Rashid.

Ini termasuk menolak perjanjian yang ditandatangani Anwar dengan Trump pada Oktober lalu melalui undian sebuah usul di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Rafique berkata Kementerian Perdagangan dan Industri, yang sejak empat bulan lalu tegas mempertahankan perjanjian itu di sebalik kritikan pakar yang menganggapnya berat sebelah dengan klausa yang menjadikan Malaysia sebuah negara suruhan AS, mesti memaklumkan rakan sejawatnya di Washington untuk menamatkan perjanjian tersebut.

"Sekaligus terbukti gesaan pelbagai kritik bahawa perjanjian ini berat sebelah dan gugat kedaulatan negara," kata Rafique.

Anwar sebelum ini berulang kali menolak bantahan ahli politik pembangkang, pakar ekonomi dan undang-undang mengenai perjanjian itu.

Kerajaan mempertahankan perjanjian tersebut sebagai kaedah memujuk Washington mengurangkan tarif perdagangan Trump, daripada 25% yang diumumkan tahun lalu kepada 19%, susulan persetujuan Malaysia untuk memberikan pelbagai konsesi.

Butiran perjanjian AS-Malaysia itu hanya diketahui umum selepas ia diterbitkan di laman web rasmi White House beberapa jam selepas ditandatangani Anwar dan Trump ketika hadir di Sidang Kemuncak Asean pada 26 Oktober.

Pelbagai pihak menyifatkan perjanjian itu sebagai sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, di mana seorang pakar ekonomi tempatan menggelarnya "langkah ke belakang yang mengejutkan" yang menyerahkan autonomi perdagangan Malaysia "sebagai pertukaran mendapatkan konsesi yang tidak seberapa".

Mereka berkata ia sarat dengan klausa yang mewajibkan Malaysia patuh kepada kepentingan geopolitik AS, di samping syarat yang berat sebelah dan menguntungkan ekonomi Washington.

Perjanjian tersebut mencetuskan lebih 300 laporan polis di seluruh negara, termasuk yang difailkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 2 Disember, yang menggesa pihak berkuasa menyiasat Anwar dan semua yang terlibat dalam rundingan sehingga menyebabkan sabotaj ekonomi dan menjejaskan kedaulatan negara.

Donald Trump menghadiahkan Anwar Ibrahim sebatang pen sebaik sahaja perdana menteri menandatangani perjanjian perdagangan yang mengikat Malaysia supaya komited menyokong kepentingan AS.
Donald Trump menghadiahkan Anwar Ibrahim sebatang pen sebaik sahaja perdana menteri menandatangani perjanjian perdagangan yang mengikat Malaysia supaya komited menyokong kepentingan AS.

Antara mereka yang membantah keras perjanjian itu termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, yang berkata pelbagai komitmen dikenakan ke atas Malaysia menunjukkan pihak yang sepatutnya terlibat dalam rundingan – dari Pejabat Perdana Menteri hingga Jabatan Peguam Negara – "langsung tidak berunding".

"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya, merujuk kepada hadiah pen Rumah Putih daripada Trump kepada Anwar, sejurus selepas menandatangani perjanjian itu.

Dalam keputusan majoriti 6-3 hari ini, Mahkamah Agung AS mendapati Trump telah melanggar undang-undang persekutuan apabila secara unilateral mengenakan tarif di seluruh dunia, seiring dengan dasar yang dilaungkannya sewaktu kempen pemilihan presiden 2024.

Kes yang dibicarakan mahkamah itu berkisar cukai import diumumkan Trump tahun lalu ke atas barangan dari hampir setiap negara yang menjadi rakan dagangnya.

Pada April tahun lalu, Trump menggunakan kuasa ekonomi daruratnya di bawah sebuah akta 1977 untuk mengenakan cukai duti ke atas puluhan negara lain, meluaskan perang dagangnya dengan China.

Selepas pengumuman tersebut, Trump menawarkan akan menurunkan kadar tarif sekiranya negara-negara terbabit bersetuju menandatangani perjanjian dagang yang berat sebelah dan menguntungkan Washington, sama seperti yang ditandatangani Anwar.

Trump kepada hakim: 'Memalukan' dan 'bodoh'

Dalam keputusan Mahkamah Agung AS hari ini, panel hakim memberi amaran bahawa kuasa darurat ekonomi tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk berbohong, sambil menambah ia boleh diperalatkan untuk merampas kuasa cabang legislatif, Kongres AS.

Sebuah sepanduk mengutuk Donald Trump dinaikkan semasa perhimpunan pada 3 Oktober 2025 di Kuala Lumpur membantah jemputan kepada presiden AS itu.
Sebuah sepanduk mengutuk Donald Trump dinaikkan semasa perhimpunan pada 3 Oktober 2025 di Kuala Lumpur membantah jemputan kepada presiden AS itu.

Menurut CNN, belum pernah presiden AS sebelum ini menggunakan kuasa darurat dengan kerap seperti dilakukan Trump, yang menggunakannya lapan kali dalam 100 hari pertamanya.

Keputusan hari ini dialu-alukan sektor perniagaan dan kerajaan-kerajaan negeri di AS yang menentang tarif Trump, dan boleh mewajibkan pentadbiran persekutuan membayar balik tarif yang dikenakan yang boleh mencecah berbilion dolar.

Bagaimanapun, dalam reaksinya, Trump mengecam hakim dengan panggilan "bodoh" dan berkata beliau berasa "malu kerana (mereka) tidak mempunyai keberanian untuk melakukan apa yang baik untuk negara kita".

Trump juga berikrar akan melawan tuntutan bayaran balik dan menjangkakan perkara itu akan tersangkut di mahkamah selama bertahun-tahun.

Beliau kemudian mengumumkan tarif baharu sebanyak 10% sebagai ganti kepada tarif yang dibatalkan oleh mahkamah hari ini.