- Iklan -
Berita

Di sebalik kekangan dana sektor kesihatan, puluhan lawatan luar negara dilakukan Anwar, menteri dan pegawai

Lawatan ke 50 bandar raya seluruh dunia itu berkemungkinan menelan belanja ratusan juta ringgit, sekali gus melanggar arahan jimat cermat sektor awam.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Antara lawatan rasmi di luar negara yang menunjukkan (dari kiri atas): delegasi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di New York; Setiausaha Agung Kementerian Belia dan Sukan, Rahimi Ismail di Bali, Indonesia; Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad di Shanghai; dan Timbalan Menteri Perpaduan Nasional, R Yuneswaran di Chennai, India.
Antara lawatan rasmi di luar negara yang menunjukkan (dari kiri atas): delegasi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di New York; Setiausaha Agung Kementerian Belia dan Sukan, Rahimi Ismail di Bali, Indonesia; Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad di Shanghai; dan Timbalan Menteri Perpaduan Nasional, R Yuneswaran di Chennai, India.

Sebuah portal kesihatan awam mempersoalkan tindakan kerajaan memotong peruntukan sehingga memberi kesan besar kepada hospital kerajaan dan perkhidmatan perubatan seluruh negara, apabila mendapati puluhan perjalanan luar negara melibatkan sekurang-kurangnya 50 bandar raya dilakukan dalam tempoh kurang dua bulan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pelbagai kementerian, sekali gus melanggar arahan jimat cermat seperti yang diumumkan beliau dalam menghadapi kos yang melambung tinggi akibat konflik di Timur Tengah.

Carian oleh CodeBlue, portal yang berkait dengan badan pendesak kesihatan awam Galen Centre for Health & Social Policy, mendapati sekurang-kurangnya 50 perjalanan ke luar negara dilakukan oleh 20 kementerian dan dua badan berkanun, yang menyaksikan menteri, ahli politik dan penjawat awam kanan melawat 24 negara di Asia, Eropah, Amerika Utara dan Australasia antara 1 Mei hingga 19 Jun.

Menurut laporan itu, perjalanan tersebut berlaku di sebalik pemotongan dana yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), yang mengakibatkan pembekuan pengambilan staf, proses tuntutan kerja lebih masa yang ketat, dan sekatan ke atas penggunaan ubat-ubatan serta ujian makmal.

"Walaupun pembiayaan tidak boleh dipindahkan dari satu kementerian ke kementerian lain, sekiranya perjalanan luar negara untuk tugas rasmi dikurangkan atau dihapuskan terus, ia mungkin membolehkan Perbendaharaan mengelakkan pemotongan bajet KKM," tambahnya.

Antara mereka yang melakukan perjalanan luar negara termasuk Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, yang terbang ke Geneva bulan lalu untuk menghadiri Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79.

Analisis rombongan luar negara berdasarkan ratusan catatan Facebook oleh kementerian dan menteri, di samping catatan di halaman rasmi melibatkan perdana menteri dan ketua setiausaha negara.

Senarai yang disediakan itu kemungkinan tidak lengkap, disebabkan sembilan kementerian atau jabatan kerajaan yang tidak memuat naik hantaran media sosial berkait delegasi luar negara, termasuk kementerian yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan dua menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Hasan (hal ehwal agama) dan Hannah Yeoh (Wilayah Persekutuan).

"Tujuan perjalanan kebanyakannya untuk menghadiri persidangan atau mesyuarat antarabangsa, selain lawatan rasmi," kata laporan itu, sambil menambah bahawa senarai lawatan yang dikumpul tidak termasuk perjalanan ke Mekah atau bagi mengiringi kerabat diraja.

Sambil berkata kerajaan tidak diwajibkan untuk mendedahkan kos perjalanan, laporan itu menjelaskan bahawa tambang untuk penerbangan Business Class – iaitu jenis tiket yang biasa digunakan oleh menteri dan penjawat awam kanan – menelan belanja "empat hingga lima kali ganda berbanding tiket penerbangan yang sama untuk kelas Ekonomi".

"Tidak jelas sama ada delegasi kerajaan menginap di hotel lima bintang semasa perjalanan rasmi ke luar negara," kata laporan itu.

Mendahului senarai tersebut ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta menteri pertahanan, timbalannya dan pegawai lain, yang melakukan perjalanan ke lapan negara termasuk Perancis, Itali, Belanda, Turki, Indonesia dan Singapura.

Sementara perdana menteri sendiri melakukan lawatan ke Jepun, Filipina dan yang terbaru ke Rusia dan Turkmenistan, antara perjalanan yang diumumkan kepada awam.

Selain itu, pegawai dari Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar telah menghadiri mesyuarat di New York, Wellington dan Hiroshima. Begitu juga pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang terbang ke Rusia, Filipina dan Indonesia untuk menghadiri mesyuarat.

Anwar pertama kali mengumumkan langkah jimat cermat pada awal Mac, beberapa hari selepas AS-Israel melancarkan perang terhadap Iran, yang menyebabkan kenaikan mendadak harga minyak global.

Antara langkah yang diumumkan termasuk pemotongan perbelanjaan dan arahan mengehadkan perjalanan ke luar negara oleh menteri dan jabatan kerajaan kepada acara wajib sahaja, larangan lawatan sambil belajar, memilih jenis penginapan yang lebih murah, dan memastikan saiz delegasi yang kecil.

Susulan itu, kerajaan turut mengumumkan pembatalan sambutan rasmi, termasuk rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Kursus latihan juga perlu diadakan di bangunan kerajaan dan bukan di hotel.

Sejak mengambil alih kuasa pada 2022, siri lawatan rasmi luar negara di bawah pentadbiran Anwar sering mencetuskan kritikan, termasuk dakwaan ia tidak membawa sebarang faedah ekonomi selain daripada "pelaburan berpotensi", frasa yang digunakan perdana menteri dan sering dijadikan bahan sindiran di media sosial.

Dalam tempoh kurang dua tahun selepas berkuasa, Anwar telah melakukan 39 lawatan ke luar negara dengan kos RM13.7 juta, menimbulkan persoalan tentang hasil ekonomi serta kritikan mengenai kos terlibat.

Kritikan terus meningkat ekoran pengakuan Anwar bahawa beberapa syarikat swasta menaja lawatan yang melibatkan pemimpin kerajaan.