- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Masih tiada dakwaan: Keluarga Noorizwan mohon pertemuan segera dengan peguam negara

Kematian Noorizwan Zulkefly merupakan kes terbaharu dalam siri insiden melibatkan polis yang masih menanti keadilan walaupun wujud bukti forensik.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Kematian Noorizwan Zulkefly mencetuskan kemarahan disebabkan kelewatan membawa pertuduhan (kiri). Sebelum ini, dua kes lain melibatkan polis melibatkan serangan terhadap pemandu Grab, Ong Ing Keong pada 2024 (kanan atas) dan insiden polis menembak mati tiga lelaki tidak bersenjata pada 2025.
Kematian Noorizwan Zulkefly mencetuskan kemarahan disebabkan kelewatan membawa pertuduhan (kiri). Sebelum ini, dua kes lain melibatkan polis melibatkan serangan terhadap pemandu Grab, Ong Ing Keong pada 2024 (kanan atas) dan insiden polis menembak mati tiga lelaki tidak bersenjata pada 2025.

Keluarga Noorizwan Zulkefly, lelaki berusia 42 tahun yang kematiannya dalam tahanan polis Cheras bulan lalu mencetuskan kemarahan awam, kini memohon pertemuan segera dengan peguam negara sambil melahirkan kebimbangan mengenai hala tuju siasatan polis meskipun selepas pendedahan mengenai kecederaan teruk yang dialaminya.

Dalam surat kepada Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, peguam Latheefa Koya mengingatkan bahawa tiada pegawai polis ditangkap atau didakwa sejak kematian Noorizwan lebih sebulan setengah lalu.

“Anak guam kami amat bimbang mengenai arah tuju penyiasatan polis atas perkara ini dan kami percaya bahawa pihak kamar mempunyai tanggungjawab dan kuasa pengawasan atas perkara ini.

“Dimaklumkan bahawa sehingga hari ini, belum ada sebarang tangkapan atau pertuduhan dibawa terhadap mana-mana anggota polis yang terlibat dalam kematian Noorizwan,” menurut surat itu.

Surat itu turut merujuk laporan bedah siasat daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mendapati kecederaan pada seluruh tubuh Noorizwan, termasuk pendarahan otak serta kecederaan serius pada bahagian kepala, kaki dan tapak kaki.

Pihak keluarga turut mempersoalkan mengapa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang berkait dengan kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan parah bagi mendapatkan pengakuan, dan bukannya Seksyen 302 yang berkaitan dengan jenayah bunuh.

Surat itu menyatakan bahawa perkara tersebut melibatkan kepentingan awam serta keselamatan tahanan di lokap polis di seluruh negara.

Ia merupakan satu lagi usaha keluarga menuntut keadilan bagi kematian Noorizwan, satu daripada kes berprofil tinggi sejak dua tahun lalu membabitkan dakwaan salah laku polis dan terpalit kontroversi disebabkan kelewatan membawa pertuduhan walaupun terdapat bukti.

Pada 2024, pihak berkuasa mengambil masa lebih lima bulan untuk mendakwa seorang pegawai polis yang menyerang seorang pemandu pekak e-hailing, Ong Ing Keong, walaupun kejadian itu jelas dirakam oleh kamera dashcam di samping beberapa dakwaan bahawa polis cuba menutup kes tersebut.

Kes itu mencetuskan bantahan serta perdebatan mengenai kedaulatan undang-undang.

Pegawai polis yang terbabit akhirnya didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyerang. Ong kemudiannya memfailkan saman terhadapnya, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, insiden polis menembak mati tiga lelaki pada November tahun lalu masih belum menyaksikan sebarang pertuduhan jenayah, walaupun kejadian itu dirakam dalam satu klip audio daripada panggilan telefon mangsa dan dianalisis secara forensik.

Rakaman perbualan itu menunjukkan percanggahan dengan dakwaan polis bahawa tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri.

Noorizwan ditangkap polis pada 20 September sebelum dibawa ke IPD Cheras, di mana dia ditahan di lokap selama 10 hari berikutnya.

Keluarganya berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai penahanan atau lokasi Noorizwan sepanjang dia berada dalam lokap.

Menurut adik mangsa, Nooranis, pihak keluarga hanya menerima panggilan daripada Bukit Aman kira-kira jam 8 malam pada 1 Oktober, memaklumkan bahawa Noorizwan meninggal dunia dalam tahanan polis pada jam 1.52 pagi hari yang sama, iaitu kira-kira 18 jam sebelumnya, dan mayatnya berada di HUKM.

Pemeriksaan forensik mendedahkan Noorizwan mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan kepalanya, termasuk kesan lebam serta tisu yang terkoyak pada bahagian belakang, dada, lengan, kaki dan tapak kakinya, selain sekurang-kurangnya enam tulang rusuk yang patah.

Kontroversi semakin memuncak selepas Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, mendakwa prosedur polis dipatuhi dan menyifatkan kes tersebut sebagai kematian mengejut sambil menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Fadil turut mencetuskan kemarahan keluarga mangsa apabila memperkecilkan kecederaan yang dialami dengan mendakwa ia perkara biasa, di mana kecederaan ringan pada seorang penagih dadah kelihatan lebih teruk selepas kematian.

Dalam pada itu, polis memulakan siasatan jenayah terhadap tiga peguam yang mewakili keluarga Noorizwan atas dakwaan mereka memberikan tekanan untuk memaksa HUKM mendedahkan gambar-gambar bedah siasat.