‘Gambar ngeri’ dan kelewatan 18 jam beritahu keluarga: Peguam tuntut kematian tahanan polis disiasat sebagai kes bunuh
Siasatan perlu dijalankan oleh pasukan bebas dari Bukit Aman tanpa melibatkan polis Cheras, kata peguam.
Terkini
Peguam mewakili keluarga seorang lelaki berusia 42 tahun yang ditahan polis bulan lalu dan meninggal dunia kira-kira 10 hari kemudian mempersoalkan sikap berdiam diri pihak berkuasa mengenai kematiannya, sambil menuntut siasatan kes bunuh dijalankan segera susulan pendedahan kecederaan teruk dialami mangsa.
Noorizwan Zulkefly dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 20 September, di mana beliau ditahan di lokap untuk 10 hari berikutnya.
Menurut adiknya, Nooranis, keluarga tidak dimaklumkan mengenai penahanan atau lokasi Noorizwan sepanjang tempoh abangnya berada dalam lokap.
Katanya, pihak keluarga hanya menerima panggilan daripada Bukit Aman kira-kira jam 8 malam pada 1 Oktober, memaklumkan bahawa Noorizwan meninggal dunia dalam tahanan polis pada jam 1.52 pagi hari yang sama, iaitu kira-kira 18 jam sebelumnya, dan mayatnya berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
“Walaupun abang saya salah, walaupun abang saya jahat, kenapa diperlakukan sebegini? Dia pun seorang manusia. Dia seorang ayah,” kata Nooranis dalam sidang media semalam anjuran kumpulan peguam Lawyers for Liberty, yang turut dihadiri ahli keluarga, saudara mara serta peguam N Surendran dan Wan Nabilah Dina Wan Zamri.
Nooranis berkata pihak polis sepatutnya boleh memaklumkan mereka dengan mudah, memandangkan rumah keluarganya hanya kira-kira lima minit dari IPD Cheras.
Pemeriksaan forensik kemudian mendedahkan Noorizwan mengalami kecederaan di seluruh tubuh, dengan kecederaan paling serius melibatkan bahagian kepala.
“Terdapat bengkak yang meluas di kepala, terutama pada bahagian selaput otak, maknanya lapisan antara otak dan tengkoraknya,” kata Wan Nabilah, memetik laporan pakar patologi forensik.
“Akibat bengkak pada kepalanya, berlaku pendarahan, menyebabkan kecederaan parah dan mungkin mengakibatkan kematiannya.”
‘Gambar ngeri’
Beliau berkata Noorizwan turut mengalami lebam dan koyakan tisu pada bahagian belakang badan, dada, lengan, kaki serta tapak kaki, selain sekurang-kurangnya enam tulang rusuk patah.
“Terdapat gambar-gambar yang agak ngeri menunjukkan bahagian tapak kaki arwah yang menunjukkan bengkak yang begitu teruk dan boleh berpunca daripada pukulan yang sangat-sangat teruk.
“Kami juga dimaklumkan bahawa sebab kematian dipercayai adalah ‘blunt force trauma’ atau dalam bahasa mudah, dia dipukul sehingga mati,” tambahnya.
Pada sidang media itu, Surendran menunjukkan gambar kecederaan dialami Noorizwan, seperti bengkak dan lebam yang teruk pada bahagian kepala, kaki dan tapak kaki, serta kecederaan di pergelangan tangan.
“Seorang manusia biasa yang sihat. Dan lihat apa yang berlaku kepada beliau selepas 10-12 hari di lokap polis. Persoalannya, siapa yang memukul?” soal beliau, sambil mempersoalkan masa lama yang diambil untuk memaklumkan keluarga Noorizwan mengenai keadaan serta kematiannya.
Beliau berkata Noorizwan pada setiap masa merupakan tahanan polis dari tarikh dia ditangkap sehingga dibawa ke HUKM.
Menurutnya, ketua polis negara dan kerajaan perlu tampil memberikan penjelasan kepada pihak keluarga serta orang ramai.
“Ini tidak boleh diterima di Malaysia pada tahun 2026. Ini adalah salah satu kematian dalam tahanan polis yang terburuk yang pernah saya lihat dalam bertahun-tahun,” katanya.
Surendran menggesa supaya siasatan insiden itu segera diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Jika ada bukti, dibawa ke mahkamah dan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu untuk kes bunuh.”
Beliau turut memberi amaran siasatan itu mesti dikendalikan oleh pasukan bebas peringkat tinggi dari Bukit Aman.
“Bukan IPD Cheras menyiasat tindakan yang dilakukan oleh IPD Cheras sendiri.”
Lihat lebih banyak liputan kami dalam hasil carian anda.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
