Thursday, October 21, 2021

Bekas KP Ikim kata Jakim jauh tersasar daripada objektif halal

Syed Ali Tawfik Al-Attas mengatakan peraturan itu bertentangan dengan fatwa dikeluarkan menteri agama yang umat Islam diharuskan ucap ucapan Krismas.

Other News

Bekas ketua badan pemikir Islam terkemuka negara memberi gambaran larangan memaparkan tulisan Krismas dan perayaan agama lain di dalam kedai yang diiktiraf halal sebagai “tidak logik”, dengan mengatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jauh tersasar selepas kerajaan terdahulu gagal menunaikan janji untuk melakukan perubahan terhadap agensi itu.

“Mereka semakin jauh dan jauh dalam melakukan kesilapan tanpa berani mengakuinya,” kata Syed Ali Tawfik Al-Attas, bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

“Di manakah perubahan yang sangat dinanti-nanti rakyat Malaysia apabila kerajaan baru memerintah?” tanyanya, merujuk kepada kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan.

“Kita belum lagi memulakan perubahan, kita belum lagi mula berkata apa-apa. Apa yang terjadi dengan perubahan Jakim. Sepatutnya ada perubahan dalam Jakim.”

Minggu lepas, MalaysiaNow melaporkan mengenai keengganan sebuah kedai untuk menulis “Merry Christmas” di atas sebiji kek kerana ia boleh melanggar syarat ditetapkan oleh bahagian pensijilan halal Jakim.

Kedai kek itu memohon maaf kepada pelanggan dan menggantikan ucapan itu dengan “Selamat Bercuti”.

Syed Ali mengatakan tiada logik kepada tindakan tersebut.

“Pertama sekali, ia adalah kedai kek, apa yang dihasilkan hanya melibatkan barangan makanan, dan menyajikannya. Sama ada anda nak letak ucapan ‘Merry Christmas’ atau apa-apa sekali pun, bahan-bahan yang digunakan akan beritahu anda halal atau tidak.”



Beliau berkata jika kejadian itu melibatkan dirinya, dia tidak akan menerima alasan diberikan oleh kedai kek itu.

“Jika ia melibatkan saya, dan kedai itu mengubah tanpa izin apabila diminta meletakkan ucapan ‘Merry Christmas’ di atas sebiji kek dan mereka tukar menjadi ‘Selamat Bercuti’, saya akan saman kedai itu serta tidak akan bayar kepada mereka.

Syed Ali mengatakan tiada logik kepada tindakan tersebut.

“Malah sekarang jabatan hal ehwal agama juga layak diheret ke mahkamah.

“Apa semua ini?” soalnya.

Jakim sebelum ini mengatakan ucapan melibatkan perayaan dibenarkan selagi ia tidak dipamerkan di dalam premis yang memiliki logo halal.

Tetapi Syed Ali berkata prinsip Islam adalah mengenai “tindakan bergantung pada niat seseorang”.

“Dalam kes ini, saya tak rasa niat premis itu adalah untuk menghina umat Islam, atau menimbulkan kegelisahan dalam kalangan umat Islam atau mengganggu keimanan mereka. Jika itu seperti dikatakan, betapa lemah dan jahilnya kita?” katanya.

Beliau mengatakan apa yang berlaku sekadar menunjukkan kejahilan dalam kalangan umat Islam, sama seperti apa yang berlaku kepada orang Kristian ketika “zaman gelap” di Eropah.

“Kita kembali ke abad ke-19 di Eropah, di mana semua orang menunggu pihak gereja mengeluarkan arahan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, apa yang boleh kita baca dan apa yang boleh kita ucapkan,” kata Syed Ali.

Katanya peraturan itu juga bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan pada 2018 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang merupakan bekas mufti bagi menolak dakwaan sesetengah pendakwah bahawa orang Islam dilarang mengucapkan “Merry Christmas”.

Fatwa Zulkifli

Syed Ali mengatakan fatwa dikeluarkan Zulkifli yang ditulis ketika menjawat mufti Wilayah Persekutuan dijelas dengan sempurna.

“Dalam penjelasan itu, beliau mengatakan hukum ucap ‘Merry Christmas’ kepada rakan-rakan adalah harus selagi niat kamu bukan untuk menyebarkan agama atau menjadi sebahagian daripadanya, yang mana setiap orang Islam dalam ucapan kepada kawan-kawan mereka tidak ada niat dalam melakukannya, dan sekadar bersikap mesra,” katanya.

Syed Ali mengatakan Jakim jauh tersasar daripada objektif asalnya dalam penyediaan makanan halal apabila mereka turut meminta premis perniagaan perlu diiktiraf halal.

“Status halal dan haram yang dimiliki Jakim sebelum ini, melibatkan produk makanan, solekan, kosmetik, farmaseutikal, walaupun ia sering dipertikaikan, tetapi keutamaan adalah produk makanan.

“Dan tiba-tiba, kami turut memasukkan premis perniagaan juga? Ia tidak masuk akal.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles