Friday, June 18, 2021

‘Merry Christmas’, kedai kek dan Islam ala Malaysia

Tetapi masalah ini tidak bermula disebabkan kerajaan sekarang dan tidak juga berakhir sewaktu mereka yang melaungkan slogan reformasi memimpin.

Other News

Bagi sesetengah umat Islam, membaca kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung larangan terhadap produk yang mempunyai logo halal tidak ubah seperti melihat serangan pengganas di Barat.

Mereka berharap dan berdoa, “Tolonglah, harap-harap penyerangannya bukan orang Islam lagi.”

Tetapi doa seperti ini tidak selalu dimakbulkan, dan hasilnya ialah satu pusingan lagi kegilaan media antarabangsa tentang “militan Islam”, “kata-kata hikmah” daripada Muslim yang suka mengkritik dan ayat-ayat yang biasa didengar seperti “Islam adalah kedamaian” daripada golongan apologis.

Sebagai seorang wartawan beragama Islam, saya langsung tidak merasa bangga apabila mendedahkan syarat tidak masuk akal dikenakan Jakim, melarang pengunaan ucapan “Merry Christmas” di kedai dan pada produk memiliki jaminan halal.

Mungkin terdapat pelbagai sebab di sebalik keraguan ini: Ia mungkin disebabkan seorang pegawai yang tidak berfikir atau salah faham daripada pemilik kedai.

Lebih-lebih lagi apabila membuat laporan mendedahkan kejahilan mengenai Islam dan faham pelbagai budaya pada malam menjelang perayaan utama yang mungkin bukanlah masa sesuai.

Tetapi kami tidak diberikan banyak pilihan, dan apa yang berlaku hanya mengiakan ketakutan kami.

Walaupun menafikan larangan ucapan Krismas pada kek, Jakim sebenarnya mengesahkan ucapan sama tidak dibenarkan pada produk dan premis yang memiliki logo halal.

Dengan melakukan itu, jabatan kerajaan dengan dana besar yang memiliki kuasa tunggal untuk menentukan apa yang halal menunjukkan kejahilan mengenai isu ini dan tentang Islam itu sendiri.

Janganlah kita membuang masa menjelaskan kepada mereka mengapa masyarakat yang berfikir memberi reaksi sedemikan rupa.

Selama beberapa dekad, konsep pendidikan Islam kita selama ini tidak menekankan falsafah dan pemikiran kritikal.

Kandungan sukatan mata pelajaran Islam kita sama sahaja, sama ada di dalam kelas agama sekolah rendah atau kelas agama untuk golongan dewasa yang ingin kembali ke jalan benar selepas bertahun-tahun leka berhibur.

Kita terlalu obses dengan sebutan perkataan Arab secara tepat dan cara betul berwuduk.

Adakah kontroversi kek memperlihatkan kualiti ilmuan Islam di Malaysia? Sekarang tahun 2020, dan kita masih terperangkap dengan cemuhan mengenai ucapan Krismas.

Di beberapa negara Islam terbesar di dunia seperti Indonesia, Iran dan Mesir, para pemimpinnya langsung tidak kisah memberi perutusan sambutan Krismas.

Malah mereka langsung tidak ragu-ragu untuk menghadiri acara anjuran gereja dan memuji Jesus Christ.

Semalam, presiden Iran, negara yang sering digambarkan sebagai kota raya radikal Islam, bertindak berani dengan memberikan penghormatan kepada Jesus Christ “sebagai perutusan kebaikan, altruisme, kebebasan dan penyelamat”.

Sementara itu, Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tidak mempercayai teori separuh masak mengenai “Merry Christmas”, dan mereka sendiri menggunakan ekspresi yang tepat dalam ucapan semalam.

Jesus seperti kebanyakan figura lain, sama-sama dimiliki orang Islam dan Kristian. Namanya juga merupakan salah satu yang kerap disebut dalam al-Quran, manakala ibunya Mary mempunyai satu surah khas untuknya.

Walaupun berbeza konsep dalam Islam dan Kristian, beliau masih merupakan satu simbol yang dipuja oleh penganut kedua-dua agama ini.

Kontroversi kedai kek hanya sebahagian kecil daripada apa yang merunsingkan dalam perbahasan umat Islam Malaysia.

Semua ini berlaku meskipun lebih daripada RM1 bilion diperuntukkan untuk pembangunan dan mempromosi Islam, disalurkan kepada Jakim.

Masalah ini bukan berpunca daripada kerajaan Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (PH), bukan juga Barisan Nasional.

Ia adalah hasil bertahun-tahun jenis fahaman Islam yang dipupuk di mana orang ramai memandang kepada mereka yang bertutur dengan lancar dan memetik ayat-ayat al-Quran sebagai rujukan.

Dan di sebalik semua kritikan mereka terhadap peruntukan belanjawan Jakim, tidak ada seorangpun pemimpin PH berusaha untuk menyelesaikannya dengan membuat cadangan mengurangkan peruntukan menerusi satu reformasi pentadbiran Islam di peringkat persekutuan ketika 22 bulan memerintah.

Sebaliknya, di bawah PH, jakim menerima tambahan sebanyak dua kali belanjawan daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion pada 2019 dan kemudiannya menjadi RM1.3 bilion pada 2020.

Kita juga melihat tiada sebarang reformasi dalam pentadbiran Islam di bawah kerajaan persekutuan semasa zaman Mujahid Yusof Rawa, bekas menteri agama yang pernah menerima pujian kerana dilihat liberal.

Ini menunjukkan politik akan menjadi keutamaan tidak kira siapa yang berkuasa dalam isu Islam.

Apa yang membezakannya sama ada seseorang itu hipokrit bermulut manis untuk menarik perhatian ramai, atau orang jujur yang tidak kisah dicemuh kerana kebodohannya.

Dalam pada itu, masih belum dapat dilihat sama ada peraturan Jakim menyebabkan kedai-kedai kek yang menjana pendapatan ketika musim-musim masyarakat perayaan berbilang kaum di Malaysia akan berfikir dua kali bagi mendapatkan sijil halal.

Abdar Rahman Koya adalah pengarang MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles