- Iklan -
Berita

Ikim tampil pertahan Malaysia Madani dibawa Anwar

Ia berlaku ketika kritikan semakin memuncak terhadap penggunaan slogan itu bagi meraih sokongan politik ke atas perdana menteri.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Ikim Mohamed Azam Mohamed Adil menggesa rakyat Malaysia untuk menerima konsep Malaysia Madani yang dibawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Facebook
Ketua Pengarah Ikim Mohamed Azam Mohamed Adil menggesa rakyat Malaysia untuk menerima konsep Malaysia Madani yang dibawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Facebook

Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mempertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim daripada pengkritik jenama "Malaysia Madani" yang diperkenalkan beliau, dengan menyeru rakyat untuk menerima slogan itu.

“Ayuhlah kita bersama-sama pimpinan kerajaan hari ini untuk memahami dasar dan falsafah Malaysia Madani yang sebenar serta bersatu hati ke arah mencapai masyarakat majmuk Malaysia Madani yang harmoni dan bersatu padu,” kata Ketua Pengarah Ikim Mohamed Azam Mohamed Adil.

Sejak dilantik menerajui negara hujung tahun lalu, Anwar sedang giat mempromosikan "Malaysia Madani" di seluruh negara, dilihat sebagai cubaan untuk menyatukan pelbagai gabungan politik yang membentuk kerajaannya di bawah satu jenama, sama seperti usaha perdana menteri terdahulu.

Pengkritik bagaimanapun berkata "Malaysia Madani" lebih kepada laungan politik, dengan ada yang melihatnya sebagai usaha untuk menarik sokongan umat Islam dalam berdepan cabaran sengit daripada PAS dan Bersatu.

Langkah terbaru kerajaan campuran menggunakan istilah itu sebagai sebahagian daripada tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut mendapat kritikan, dengan seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mencadangkan negeri di bawah pentadbiran gabungan itu menggunakan tema berbeza. 

Menurut Ikim, istilah itu digunakan dalam tamadun Islam awal, sambil menambah ia berasal dari Madinah, di mana kerajaan Islam pertama ditubuhkan oleh Nabi Muhammad.

“Malaysia Madani merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat,” kata Ikim, sebuah institut yang ditubuhkan pada 1992 oleh kerajaan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad untuk bertindak sebagai pusat memperjelaskan idea dan ajaran Islam yang sebenar.

“Oleh yang demikian, dakwaan yang mempersoalkan falsafah gagasan Malaysia Madani ini perlu diperbetulkan semula dan dihayati bersama,” kata Azam.