Mana Jalur Gemilang? Menjelang Merdeka ke-68, bendera Malaysia kurang kelihatan di sebalik keluhan rakyat
Suasana sambutan 31 Ogos tidak dirasai dengan kurangnya kibaran bendera Malaysia berbanding tahun sebelum ini.
Terkini
Kurang 24 jam sambutan Hari Kemerdekaan - yang biasanya diraikan dengan perarakan dan pertunjukan patriotisme oleh penjawat awam, pelajar sekolah dan syarikat swasta - ketiadaan lambakan bendera kebangsaan di bangunan kediaman dan premis perniagaan menjadikan perayaan kali ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.
Pemerhatian MalaysiaNow di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan beberapa pusat komersil dan perniagaan mendapati bilangan premis yang mengibarkan Jalur Gemilang amat sedikit, dengan pemilik dan penduduk turut mendapati ketiadaan demam bendera yang biasanya berlaku sepanjang bulan Ogos dan September setiap tahun.
Malah di Putrajaya, di mana sambutan rasmi diadakan untuk tahun ketiga berturut-turut, bendera kebangsaan rata-rata hanya tersergam di bangunan awam dan kompleks kerajaan, dan bukan premis persendirian atau bangunan kediaman.
Sejak kebelakangan ini, Jalur Gemilang menjadi fokus perang budaya, menyaksikan ahli politik kedua-dua belah pihak berlumba-lumba menjadi jaguh patriotisme, yang menurut pengkritik sekadar simbol tanpa pengisian yang sebenar.
Beberapa gambar tular menunjukkan bendera yang dikibarkan secara tidak betul, termasuk imej cacat Jalur Gemilang yang dinaikkan di media sosial, mencetuskan pelbagai protes dan ancaman oleh kumpulan yang didalangi ahli politik.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang menganjurkan siri bantahan terhadap KK Mart tahun lalu selepas menuduh rangkaian runcit itu menghina agama kerana menjual stoking tertera kalimah Allah, sekali lagi muncul dengan protes menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa sengaja tidak menghormati bendera kebangsaan.
Pada 14 Ogos, Akmal mengumpulkan ratusan penyokong Umno di luar sebuah kedai di Pulau Pinang, dalam apa yang disifatkan kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) sebagai tindakan membuli untuk meraih keuntungan politik.
LFL, yang berkata pemilik kedai tidak boleh dipersalahkan atas kesilapan yang tidak disengajakan dalam mengibarkan bendera, turut mencabar Akmal untuk berdebat semasa protes itu.
Pemimpin Umno itu bagaimanapun tidak menyahut cabaran itu, sebaliknya penyokongnya mengherdik peguam LFL yang menaikkan sepanduk membantah Akmal.
Kempen Pemuda Umno supaya "pesalah bendera" dihukum dilihat sebagai cara parti itu meraih semula sokongan Melayu, susulan kekalahan besar pada pilihan raya umum lalu.
Walaupun gesaan seperti itu mendapat sokongan seorang pemimpin Pemuda Bersatu yang turut menyertai protes itu, ia dipersoalkan pejuang veteran hak Melayu, Ibrahim Ali, yang menyifatkan kempen Pemuda Umno sebagai sia-sia.
Sementara itu, bekas menteri Rafizi Ramli pula berkata kekecohan isu bendera telah mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat, seterusnya menyebabkan orang ramai tidak mahu mengibarkan bendera kerana bimbang sebarang kesilapan akan menjadikan mereka sasaran.
Alasan tidak kibar bendera
Seorang pemilik gerai makan di Ukay Perdana bagaimanapun berkata terdapat banyak sebab lain mengapa Jalur Gemilang kurang dikibarkan menjelang Hari Kemerdekaan tahun ini.
"Taktau lah sama ada sebab takut, tapi mungkin sifat kebangsaan itu dah hilang. Mungkin marah kepada kerajaan," kata Diya kepada MalaysiaNow ketika ditanya mengapa bendera Malaysia tidak dikibarkan di premisnya sempena sambutan Merdeka.
Jalur Gemilang kerap menjadi bahan politik, termasuk lebih dua dekad lalu apabila pentadbiran Dr Mahathir Mohamad melancarkan kempen mengibarkan bendera Malaysia sebagai tanda solidariti rakyat yang membantah ucapan naib presiden Amerika Syarikat, Al Gore, di mana beliau secara terbuka menyokong gerakan reformasi Anwar Ibrahim ketika menghadiri sidang kemuncak Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 1998 di Kuala Lumpur.
Bagi peniaga Emy, 43, kekurangan bendera pada tahun ini mungkin merupakan luahan kemarahan orang ramai terhadap pentadbiran Anwar.
"Mungkin juga sebab isu 'Anwar turun', mungkin," katanya merujuk kepada perhimpunan di Dataran Merdeka pada bulan lalu yang menuntut peletakan jawatan perdana menteri.
Bagaimanapun, Emy berkata bendera merupakan lambang negara dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan prestasi pemimpin kerajaan.
Sementara itu, ramai peniaga ditemui MalaysiaNow di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur berpandangan kurangnya kibaran bendera ada kaitan dengan kesempitan ekonomi yang dihadapi rakyat.
"Orang tak ada business, sangat sedih. Semua orang susah. Dulu kerajaan lain, sekarang kerajaan ini, taktaulah. Lawan di Parlimen sahaja, tak jaga rakyat," kata penjual karpet Hassan Omar yang menjalankan perniagaannya selama lebih 40 tahun di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Menurut Hassan, kedainya kini mengalami kerugian kerana kekurangan pelanggan, sambil berkata orang ramai menghadapi kesempitan kewangan disebabkan pelbagai cukai yang dikenakan.
"Sekarang macam-macam cukai, cukai ini, cukai itu. Kalau tak ada (bayar), mereka paksa. Bukan macam dulu. Dulu gembira. Tahun ini, semua sedih.
"Saya tengok di Parlimen, semua gaduh satu sama lain. Tak ada peduli rakyat, tak ada buat kerja. Sendiri ada bodyguard, rakyat mati pun takpa lah. Mahu undi mereka pun malas," kata lelaki berusia 68 tahun itu, yang merupakan pengundi berdaftar di Segambut dan bapa kepada 10 anak.
Seorang lagi peniaga, Ramli, 47, berkata sebelum ini pihak berkuasa mengedarkan bendera percuma kepada pemilik kedai.
"Mungkin tahun ini tiada bajet," kata Ramli yang menyewa ruang dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Kamarudin Yahya, 62, yang menjual pakaian tradisi, turut bersetuju yang sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini kurang meriah.
"Penduduk Malaysia sendiri merasakan ekonomi menurun, dan secara tak langsung semangat pun kurang," katanya.
Menurutnya, kerajaan juga dilihat mengabaikan keluhan orang ramai, termasuk dalam isu kematian pelajar Sabah, Zara Qairina Mahathir, yang mencetuskan bantahan besar-besaran menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meletak jawatan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
