Masalahnya ialah orang politik macam kamu menangguk di air keruh, peguam selar kempen bendera Akmal
Ia susulan ketua Pemuda Umno itu yang dilihat terpanggil untuk menegur partinya sendiri atas kesilapan Jalur Gemilang.
Terkini
Seorang peguam hak asasi menganggap Akmal Saleh terpaksa menonjolkan dirinya adil dalam siri kenyataannya membidas pihak yang tersilap memaparkan Jalur Gemilang, selepas ketua Pemuda Umno itu menggesa tindakan tegas terhadap partinya sendiri kerana berkongsi sebuah imej bendera kebangsaan yang tidak betul.
Zaid Malek dari kumpulan peguam Lawyers for Liberty berkata apa yang menjadi masalah bukanlah siri kesilapan paparan bendera sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
"Masalahnya ialah tingkah laku opang politik yang menangguk di air keruh dan tidak bertanggungjawab seperti Akmal yang mengambil kesempatan daripada kesilapan yang tidak disengajakan demi keuntungan politik," kata Zaid, yang sebelum ini menawarkan untuk berdebat dengan Akmal mengenai isu itu.
Katanya, Akmal merasakan dirinya terpanggil untuk turut menyelar partinya sendiri selepas melancarkan serangan terbuka terhadap pihak lain atas kesilapan sama.
"Seandainya Akmal bertindak dengan cara yang sopan dan munasabah ke atas kesilapan bendera oleh orang lain, dia tidak akan tersepit dalam kedudukan kekok untuk menggesa polis bertindak terhadap ahli sayap pemudanya sendiri. Sudahkah Akmal mengambil iktibar?" tambahnya.
Sebelum ini, Akmal, yang gemar mengeluarkan kenyataan anti-DAP dalam apa yang dilihat sebagai strategi untuk menggambarkan Umno masih relevan dalam kalangan penyokong tegarnya, menggesa tindakan terhadap seorang peniaga berusia 59 tahun di Pulau Pinang selepas klip video yang menunjukkan bendera Malaysia digantung terbalik di luar kedainya.
Ia muncul di tengah-tengah kekecohan mengenai bendera dipasang terbalik oleh seorang pekerja OKU di sebuah sekolah di Port Dickson.
Semalam, Pemuda Umno Terengganu pula dilaporkan memuat naik gambar Jalur Gemilang yang salah di Facebook. Bagaimanapun, ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera, telah memohon maaf.
Akmal sebelum ini dikritik Zaid kerana ancamannya berkunjung ke premis peniaga di Pulau Pinang untuk mengajar cara betul mengibarkan bendera Malaysia, sekiranya pihak berkuasa gagal mengambil tindakan.
Zaid berkata tindakan seharusnya diambil pihak berkuasa terhadap Akmal kerana perbuatan buli, sambil menawarkan untuk "mendidik" ahli politik itu.
"Saya akan berada di premis kedai di Pulau Pinang pada Khamis ini untuk bertemu Akmal dan mendidiknya bahawa tindakannya itu salah, dan menasihatinya supaya mematuhi undang-undang negara, termasuk dengan tidak melakukan jenayah ugutan atau pencerobohan.
"Saya akan menasihatinya untuk tidak menyalakan api kebencian dalam masyarakat atau mengganggu orang awam biasa melalui ancaman keadilan jalanan. Saya akan melakukan semua ini dengan cara aman. Jika perlu, saya akan hadir seorang diri untuk menentang Akmal dan kumpulannya," kata Zaid.
Zaid berkata Akmal melalui kempen benderanya telah mempamerkan kejahilannya tentang undang-undang.
"Adalah perkara asas dalam undang-undang bahawa seseorang hanya boleh dianggap bersalah sekiranya wujud 'niat' untuk melakukan kesalahan itu. Ini dipanggil 'mens rea' dalam terma undang-undang," katanya.
Beliau berkata kedua-dua Pemuda Umno Terengganu dan pemilik kedai di Pulau Pinang tidak mempunyai niat menghina bendera kebangsaan.
"Kekecohan yang dicipta Akmal tidak masuk akal dan tidak mempunyai asas undang-undang,” kata Zaid.
Sebaliknya, Zaid berkata polis sepatutnya melawan jenayah sebenar dan bukannya menyiasat "setiap kesilapan kecil berkait bendera di negara ini".
"Kesilapan boleh berlaku, dan setiap kesilapan bukanlah kes polis.
"Tiada sesiapa patut dikenakan tindakan jenayah atas kesilapan kecil."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
