Lencana RM8.4 juta tambah tekanan ke atas Fadhlina lepaskan jawatan
Perbelanjaan besar itu dilihat sia-sia dan hanya menguntungkan sesetengah pihak tanpa pulangan kepada sistem pendidikan negara.
Terkini
Langkah pentadbiran Anwar Ibrahim membelanjakan RM8.4 juta bagi membeli pin Jalur Gemilang untuk 5.14 juta pelajar sekolah seluruh negara mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuk ibu bapa yang rata-rata berkata mereka tidak memahami bagaimana kerajaan menetapkan keutamaan dalam perbelanjaan sektor pendidikan.
Selain menganggap ia satu pembaziran, harga pin yang ditawarkan kepada Kementerian Pendidikan juga didapati jauh lebih tinggi berbanding jika ia dibeli dari pelbagai pembekal dan penjual lain, meskipun bukan secara pukal.
Di sebalik pelbagai kritikan terhadap Fadhlina Sidek susulan cara pihak berkuasa menangani kematian pelajar Sabah Zara Qairina Mahathir, menteri pendidikan itu menambahkan kemarahan awam apabila mendedahkan kerajaan membelanjakan RM8.4 juta untuk pembelian pin bendera Jalur Gemilang itu.
Menurutnya, sejumlah 91 syarikat terlibat dalam pembekalan lencana itu.
Setiap daripada 5.14 juta pelajar diberikan dua lencana, bermakna sebanyak 10.28 juta keping lencana dibeli dengan harga RM8.4 juta, iaitu kira-kira 82 sen seunit.
"Tapi di Shopee/Lazada, lencana spesifikasi sama boleh dibeli serendah RM0.49-RM0.58 seunit (harga runcit, bukan harga borong besar-besaran)," tulis pengkritik terkenal Lim Sian See susulan jawapan Fadhlina di Dewan Rakyat.
"Kalau beli pada harga runcit RM0.58, kos untuk 10.28 juta lencana cuma sekitar RM5.96 juta - iaitu RM2.44 juta lebih murah daripada harga kerajaan. Kalau ikut harga RM0.49, penjimatan mencecah RM3.39 juta."
Carian di beberapa portal beli belah mendapati dakwaan itu ada kebenaran, di mana lencana pin dengan ukuran sama, iaitu kira-kira 2cm X 5cm, boleh dibeli pada harga 70 sen.
Perbualan MalaysiaNow dengan ibu bapa dan guru di beberapa sekolah mendapati ramai menyatakan tidak pernah bersetuju dengan keputusan itu sejak awal.
Sementara kerajaan mendakwa lencana bendera Malaysia itu bertujuan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid, persoalan yang lebih lantang diutarakan adalah siapa yang mendapat durian runtuh daripada pembelian yang kosnya dapat mendanai pembinaan bangunan, kemudahan serta pembaikan puluhan sekolah yang uzur.
Walaupun Kementerian Pendidikan menguatkuasakan garis panduan pemakaian lencana pada 21 April lalu, tindakan disiplin tidak akan diambil terhadap pelajar yang tidak memakainya.
Lebih tiga bulan selepas lencana itu diedarkan, pemerhatian MalaysiaNow di lebih 10 sekolah di Lembah Klang mendapati majoriti pelajar tidak memakai lencana tersebut.
Sebelum ini, pelbagai pertubuhan telah mempersoalkan pemberian tender kepada pembekal dan menuntut KPM membuktikan ketelusan mengenai identiti pembekal.
Aktivis pendidikan Pertubuhan Bertindak Pendidikan Ibu Bapa Negeri Melaka (Magpie) berkata Fadhlina membuktikan beliau tidak layak kekal sebagai menteri pendidikan, sambil menambah kos RM8.4 juta adalah bukti kukuh kegagalan beliau.
“Yang kita rasa sangat tak munasabah sebab harga yang kerajaan dapat adalah lebih kurang sama dengan harga pasaran, malah ada jual jauh lebih murah," kata Pengerusi Magpie, Mak Chee Kim.
"Dalam pembelian pukal pada skala jutaan unit, harga sepatutnya boleh turun sehingga RM0.30 sekeping."
Mak berkata, dana sebesar itu sepatutnya lebih wajar digunakan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah seperti tandas, bilik darjah atau kemudahan asas yang masih uzur di banyak kawasan terutama luar bandar.
Beliau turut mempersoalkan KPM yang memperkenalkan lencana itu kepada pelajar tanpa rundingan dengan semua pihak berkepentingan.
"Kerajaan sepatutnya mengambil masa berbincang dengan ibu bapa guru dan pihak sekolah sebelum membuat keputusan," ujarnya.
Mak mempersoalkan alasan pemakaian lencana itu boleh meningkatkan semangat patriotisme pelajar.
"Kalau benar untuk patriotisme, apa kajiannya? Apa bukti impaknya? Adakah kementerian pernah jalankan penilaian keberkesanan?"
Menurut Mak, dengan kelemahan Fadhlina mengurus isu kematian Zara, rakyat telah hilang keyakinan dengan beliau.
"Bagi kami, cukup sudah. menteri pendidikan ini sepatutnya letak jawatan," tambahnya.
Seorang bapa bapa kepada tiga anak yang menuntut di sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah melahirkan rasa kecewa dengan kos pin Jalur Gemilang itu.
Yusof Suffian, 46, berkata dana itu sepatutnya disalurkan untuk program yang benar-benar memberi manfaat kepada murid dan sekolah.
Beliau yang bekerja sebagai pemandu e-hailing memberikan contoh keadaan tandas di sekolah anaknya walaupun kerajaan sebelum ini membuat pengumuman penambahbaikan tandas.
"Tapi kalau saya pergi ke sekolah anak saya, tak nampak sangatlah ada penambahbaikan itu. Sebab saya rasa semua orang pun tahu hal ini biasanya kalau sekolah yang betul-betul ada 'bajet turun' ialah sekolah yang selalu menteri atau pengarah turun padang.
"Tapi kalau yang lain, masih sama seperti biasa. Sebab itu saya kecewa kerana banyak yang boleh dibuat dengan dana tersebut," katanya kepada MalaysiaNow.
Menurutnya, kualiti Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga sepatutnya diutamakan berbanding dengan pengedaran lencana.
"Kualiti menu yang lebih berkhasiat dan pilihan makanan yang lebih baik itu patut jadi keutamaan."
Katanya sekiranya patriotisme menjadi keutamaan, sekolah boleh melakukan lawatan ke tempat bersejarah di samping aktiviti lain.
"Tapi apa yang kita nampak sekarang dana yang patut disalur pada program yang betul, tapi boleh pulak kerajaan luluskan dana ini untuk program yang tak nampak pun manfaat," katanya.
Yusoff berkata persepsi ramai ialah program lencana itu untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu.
"Apakah kerajaan mahu kayakan kroni? Nampak seperti itulah."
Nurin Nazir, ibu kepada dua anak di sekolah rendah dan menengah, berkata isu lencana sekolah membangkitkan persoalan mengenai tujuan sebenar kerajaan.
"Patriotisme bukan diukur pada pin yang dipakai, tapi pada pemahaman dan rasa tanggungjawab terhadap negara," katanya.
Menurutnya, dasar KPM juga tidak jelas kerana ada pelajar di sekolah anaknya tidak memakai pin bendera itu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
