Soalan RM1 trilion hantui Anwar selepas rundingan tarif berdepan kecaman pakar ekonomi
Kerajaan terpaksa bersikap defensif di sebalik kritikan semakin lantang terhadap komitmen Malaysia kepada Washington yang memakan belanja mencecah AS$240 bilion.
Terkini
Kebolehan pentadbiran Anwar Ibrahim mengemudi negara dalam berdepan cabaran ekonomi global di sebalik ancaman tarif oleh Presiden Donald Trump kini semakin dipersoalkan, ketika Putrajaya melancarkan kempen media yang mendakwa "kejayaan rundingan" apabila Washington mengumumkan tarif import 19% ke atas Malaysia.
Di tengah-tengah kritikan yang semakin memuncak oleh pakar ekonomi, tokoh politik dan penganalisis ialah pelbagai tawaran kepada Amerika Syarikat dalam bentuk pembelian dan pelaburan oleh Malaysia bernilai sehingga lebih satu trilion ringgit tidak seimbang dengan kos sebenar yang ditanggung akibat kadar 19% tarif yang dikenakan terhadap eksport Malaysia.
Mereka memberitahu MalaysiaNow bahawa walaupun kerajaan cuba menonjolkan seolah-olah ia berjaya mencapai penyelesaian yang menguntungkan Malaysia hasil rundingan beberapa bulan dengan Washington, hakikatnya tiada pulangan jelas yang boleh dinilai dari sudut ekonomi, terutama apabila dibandingkan dengan jumlah komitmen pelaburan diumumkan.
Apa yang disebut sebagai "pengurangan tarif" itu datang bersama komitmen pelaburan besar daripada Malaysia, termasuk pembelian pesawat Boeing serta perolehan teknologi dan kerjasama infrastruktur melibatkan syarikat utama negara seperti Petronas, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan beberapa pemain industri semikonduktor.
Malaysia turut bersetuju menghapuskan cukai import ke atas majoriti 11,000 produk AS, di samping membekalkan unsur nadir bumi.
"Untuk itu kita hanya dapat pengurangan tarif AS sebanyak 6% sahaja (daripada 25% kepada 19%). Ini bukan perjanjian yang baik," kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul Aziz terus mengalu-alukan tarif 19% itu.
Beliau mengakui keseluruhan komitmen di pihak Malaysia mencecah lebih AS$240 bilion, atau bersamaan dengan lebih RM1 trilion.
Bagaimanapun, ia membangkitkan soal keadilan pertukaran antara kedua-dua negara, terutamanya apabila pulangan diperoleh hanyalah pengurangan tarif sebanyak 6%, iaitu daripada ancaman asal Trump untuk mengenakan 25%.
Pakar ekonomi Carmelo Ferlito mempersoalkan naratif yang mengatakan Malaysia mendapat manfaat besar apabila tarif 25% yang diancam Trump dikurangkan kepada 19%.
Ferlito yang mengetuai badan pemikir Centre for Market Education mengingatkan bahawa kadar tarif ke atas barangan Malaysia sebelum ini hanyalah sekitar 2% hingga 3%.
"Tarif itu sebenarnya tidak pernah pun 25%. Itu hanyalah ancaman yang digunakan oleh Trump untuk memulakan rundingan, strategi bagus oleh orang bisnes," katanya kepada MalaysiaNow.
"Maka tarif tidak dikurangkan, sebaliknya dinaikkan."
Menurutnya, dakwaan Putrajaya mengenai "kejayaan rundingan" sekiranya dinilai berdasarkan fakta, akan menyerlahkan kebimbangan mengenai komitmen besar yang perlu dipenuhi Malaysia.
'Jelas tidak menguntungkan'
Ferlito berkata dengan mengambil kira nilai keseluruhan dagangan luar negara sebanyak AS$681 bilion (RM2.87 trilion) pada tahun lepas, komitmen daripada Malaysia untuk membelanjakan AS$240 bilion (RM1.14 trilion) dalam pelaburan dan pembelian barangan AS bakal mencapai 35% daripada jumlah itu.
Katanya, jumlah eksport Malaysia ke AS pada tahun lepas mencecah RM198.6 bilion, manakala jumlah import dari AS sebanyak RM126.2 bilion, iaitu kelebihan perdagangan RM72.3 bilion (AS$17.2 bilion).
Beliau kemudian membandingkannya dengan nilai keseluruhan komitmen ekonomi dari Malaysia kepada AS, termasuk pembelian pesawat Boeing, pelaburan teknologi dan kerjasama dengan syarikat seperti Petronas, Tenaga Nasional dan Telekom yang mencecah AS$240 bilion.
"Ini bermakna komitmen Malaysia terhadap AS adalah kira-kira 13 kali ganda jumlah lebihan dagangan Malaysia berbanding AS," kata Ferlito.
Hasil rundingan tarif dengan AS jelas tidak menguntungkan Malaysia, tambahnya.
Beliau mengingatkan, apa-apa keputusan yang dicapai akhirnya terpulang kepada syarikat-syarikat yang terbabit secara langsung.
"Perdagangan bukan antara kerajaan, tetapi antara syarikat. Oleh itu, perjanjian itu perlu berdepan komitmen sama terhadap perjanjian itu oleh syarikat.
"Perdagangan melibatkan syarikat bertindak kepada logik ekonomi dan bukannya geopolitik," katanya.
Ferlito bagaimanapun beranggapan langkah Malaysia memotong atau menghapuskan tarif ke atas sebahagian besar produk buatan AS bukan menjadi masalah kerana akhirnya akan menguntungkan pengguna di samping meningkatkan persaingan.
Bagaimanapun, sekali lagi beliau mengingatkan manfaat sebenar hanya akan dinikmati jika perniagaan tempatan bersedia bersaing secara adil dan efisien dalam sistem pasaran terbuka.
Ferlito berkata tumpuan kerajaan sepatutnya lebih kepada agenda perubahan domestik berbanding rundingan antarabangsa yang penuh persepsi.
'Gimik persepsi'
Senada dengan Ferlito ialah penganalisis ekonomi Geoffrey Williams, yang turut mempersoalkan dakwaan "kejayaan" rundingan tarif Malaysia-AS.
Katanya, naratif yang dibawa kerajaan merupakan gimik persepsi yang kelihatan gah, tetapi hakikatnya tiada manfaat sebenar.
Memberi contoh pembelian Boeing, Williams berkata permintaan tinggi terhadap pesawat itu di peringkat global berkemungkinan menyebabkan kelewatan penghantaran.
"Kemungkinan besar penghantarannya hanya berlaku selepas tempoh pentadbiran Presiden Trump berakhir. Ketika itu, perjanjian ini berisiko digugurkan,” katanya, sambil menambah bahawa sementara tempahan Malaysia lebih kecil berbanding negara lain, masih tidak jelas sama ada ia merupakan merupakan penggantian pesawat sedia ada, peralihan daripada Airbus kepada Boeing atau pelaburan baharu secara bersih.
Williams bersetuju pengurangan tarif sebanyak 6% adalah terlalu kecil, malah tidak meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih baik berbanding negara Asean lain, katanya.
"Malaysia masih kekal pada tahap yang sama seperti kebanyakan negara serantau, malah jauh ketinggalan berbanding negara seperti Singapura, Korea Selatan, Jepun dan anggota Kesatuan Eropah (EU) yang menikmati akses pasaran Amerika Syarikat tanpa perlu membuat komitmen berskala besar," katanya.
Bagi Williams, jika apa yang digambarkan sebagai pencapaian hanyalah urusan sedia ada yang dihias semula dengan retorik diplomatik, Malaysia sebenarnya sedang membayar harga yang terlalu mahal untuk sesuatu yang tidak pun wujud secara nyata.
"Realitinya, kita tidak menerima pengurangan tarif yang besar. Jika dinilai secara objektif, ini lebih kepada permainan persepsi bukan satu pencapaian ekonomi sebenar."
Pandangan serupa diutarakan bekas menteri Zaid Ibrahim, yang menyifatkan pentadbiran Anwar mudah diperdaya.
"Trump akan berkuasa untuk kurang daripada empat tahun lagi. Dasar gila untuk melindungi (ekonomi Amerika), seperti juag semua hal berkait Trump, mungkin akan berakhir dengan huru hara, sama ada di peti undi atau di mahkamah.
"Maka mengapa kita begitu mudah tertipu? Mengapa pemimpin kita terus panik hanya kerana sedikit tekanan oleh seorang presiden asing yang tak menentu?"
Zaid berkata dalam tempoh empat tahun akan datang, Malaysia sekadar menjimat AS$10.4 bilion, atau AS$2.6 bilion setahun, berdasarkan nilai eksport semasa Malaysia sebanyak AS$43 bilion setahun.
"Sebaliknya, kita komited membeli AS$240 bilion barangan AS. Itu samalah tukar RM24 untuk jimat RM1. Bagaimana ia boleh dianggap dasar ekonomi yang mantap?” soalnya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
