'Turun Anwar' semakin rancak, dijangka perhimpunan terbesar bantah PM sejak era Najib
Pelbagai isu rakyat termasuk perarakan peguam di Putrajaya memberi suntikan semangat, di samping kekuatan jentera PAS.
Terkini
Persiapan menuju himpunan "Turun Anwar" semakin rancak menjelang 26 Julai, dengan penganjur menyasarkan kehadiran ratusan ribu peserta menyertai apa yang dilihat bakal menjadi protes terbesar menyasarkan seorang perdana menteri sejak siri demonstrasi anti-kerajaan era Najib Razak.
Perhimpunan itu dianjurkan di sebalik kritikan semakin meningkat terhadap pentadbiran Anwar, di mana kenaikan cukai dan harga barang, skandal rasuah, krisis kehakiman dan penarikan subsidi menjadi antara aduan utama.
Ia juga merupakan kali pertama kerajaan pimpinan Anwar berdepan mobilisasi pembangkang besar-besaran sejak pilihan raya umum pada 2022 yang menyaksikan Anwar menubuhkan kerajaan dengan kerjasama Barisan Nasional selepas tiada gabungan politik muncul dengan majoriti jelas.
Sebelum ini, pelbagai perhimpunan anti-kerajaan yang diadakan dilihat mewakili kumpulan tertentu seperti pelajar, peguam, aktivis hak dan pekerja.
Pada 14 Julai, Majlis Peguam menganjurkan perarakan beramai-ramai ke Pejabat Perdana Menteri menyatakan rasa tidak puas hati dengan campur tangan politik dalam pelantikan hakim kanan, termasuk untuk mengisi jawatan ketua hakim negara.
Perkembangan demikian dilihat memberikan nafas baru kepada perhimpunan esok, di mana penganjur yakin ia mendapat sokongan bukan sahaja dari penyokong Perikatan Nasional (PN) tetapi juga dari orang ramai yang tidak terlibat dengan politik.
"Buktinya, angka yang kami terima daripada Pemuda PN menunjukkan kehadiran sudah mencecah 130,000, melebihi sasaran awal," kata Hilman Idham, yang juga timbalan pengerusi Sekretariat Himpunan Turun Anwar yang menguruskan bantahan esok.
"Dengan kekuatan ini, ditambah dukungan pelbagai parti politik seperti Muda, NGO, kumpulan mahasiswa dan rakyat yang kecewa dengan kerajaan Madani, kami optimis sasaran 300,000 akan dicapai pada 26 Julai ini,” Hilman memberitahu MalaysiaNow.
Hilman, yang juga Adun Gombak Setia dan Ketua Pemuda Bersatu, menyifatkan perhimpunan esok sebagai manifestasi kemarahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan menunaikan janji reformasi dan mengurus tekanan kos sara hidup.
PAS dilihat antara yang paling ke depan dalam penganjuran perhimpunan, di mana kekuatan parti itu akan diserlahkan melalui mobilisasi ratusan juta ahli dan penyokong dari seluruh negara, seperti mana dilakukan dalam siri perhimpunan Bersih ketika PAS masih bersama PKR dan DAP.
PAS juga mengerahkan 800 petugas Jabatan Amal bagi mengawal keselamatan dan membantu peserta sepanjang program, termasuk ambulans dan kelengkapan lain.
Mobilisasi peringkat negeri dalam bentuk ceramah dan "flashmob" bermula sejak awal Julai di beberapa negeri.
Ia ditambah dengan kebanjiran pelbagai poster dan video di media sosial mengenai perhimpunan itu, yang turut memaksa penyokong kerajaan menjalankan kempen supaya orang ramai tidak hadir.
Himpunan Turun Anwar membawa lebih 15 tuntutan utama terhadap kerajaan Anwar, di mana desakan beliau meletak jawatan adalah yang paling utama.
Selain itu, bantahan juga menyasarkan Akta Pembaharuan Bandar, kenaikan cukai serta gesaan agar reformasi institusi dan ketelusan dalam tadbir urus syarikat berkait kerajaan (GLC) dilaksanakan segera.
Momentum perhimpunan itu dilihat semakin mendapat perhatian pemimpin kerajaan, dengan pelbagai amaran dan peringatan kepada penjawat awam supaya tidak menyertainya.
Pada Rabu, Anwar mengumumkan pemberian RM100 kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, di samping mengumumkan penurunan harga petrol dan pengekalan kadar tol.
"Ia sedikit pun tidak menjejaskan sambutan kepada perhimpunan setakat ini," kata Hilman yang menyifatkan pengumuman Anwar sebagai "umpan menggagalkan penyertaan rakyat" pada 26 Julai.
Lokasi perhimpunan
Peserta diminta berhimpun di empat lokasi utama sebelum berarak pada kira-kira jam 3 petang ke Dataran Merdeka, iaitu lokasi sama pelbagai demonstrasi reformasi dianjurkan Anwar selepas pemecatan beliau pada 1998.
Empat lokasi bekumpul ialah Masjid Negara, Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni.
"Peserta dijangka tiba di Dataran sekitar 3.30 atau 3.45 petang," kata
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi, yang juga sebahagian sekretariat penganjur.
Menurutnya, polis bersetuju memberikan kerjasama dalam memastikan perhimpunan berjalan lancar, di samping memberi jaminan tiada sekatan jalan raya terhadap peserta menuju Kuala Lumpur.
"Kami dimaklumkan ratusan bas dari setiap negeri akan tiba dari Kelantan, Terengganu dan Kedah. Mereka peserta paling ramai kerana rakyat tiga negeri ini paling terkesan dengan kepincangan pentadbiran Madani," tambah Khairul.
Peserta digalakkan berpakaian hitam sebagai simbol solidariti.
Selain itu, mereka dilarang daripada membawa kanak-kanak.
Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla yakin perarakan aman peguam pada 14 Julai lalu secara tidak langsung menyumbang kepada semangat rakyat untuk hadir di perhimpunan Turun Anwar.
"Ia membina keyakinan dalam kalangan rakyat bahawa mereka patut turun, mereka boleh turun, dan mereka berhak untuk terlibat," katanya kepada MalaysiaNow.
Menurutnya, suntikan semangat juga diberikan melalui keputusan Mahkamah Persekutuan, bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) tidak berperlembagaan kerana adalah tidak menjadi kesalahan untuk berhimpun walaupun tanpa memberikan notis kepada pihak keselamatan.
"Kalau 1,500 peguam daripada lebih 20,000 yang berdaftar sanggup turun untuk isu kebebasan kehakiman, itu sudah memberi gambaran besar kepada masyarakat.
"Rakyat boleh nampak bila isu yang dibangkitkan jelas dan berdasarkan fakta, himpunan bukan lagi satu bentuk penyelewengan. Ia satu tuntutan sah dalam kerangka perlembagaan," tambah Haniff.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
