Amaran peguam kepada kerajaan: URA langgar perlembagaan
Putrajaya diseru tidak meneruskan RUU Akta Pembaharuan Bandar yang disifatkan 'ancaman terbesar semenjak merdeka' terhadap hak rakyat memiliki harta.
Terkini
Sekumpulan peguam hak asasi menyifatkan cadangan kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Bandar (URA) sebagai "ancaman terbesar semenjak merdeka" terhadap hak rakyat memiliki harta, dan memberi amaran rang undang-undang (RUU) yang sudah dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah tidak berpelembagaan.
Malah, Lawyers for Liberty (LFL), antara kumpulan yang lantang membantah URA yang kini giat dipromosikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berkata cadangan akta itu "sama sekali tidak dapat diperbetulkan".
"RUU yang tidak berperlembagaan ini tidak boleh diteruskan ke bacaan kedua seperti yang dijadualkan pada 27 Ogos," kata Penasihat LFL, N Surendran.
Menurutnya, masalah utama dalam URA ialah klausa 21 yang terkandung dalam RUU yang memberikan kuasa kepada menteri dan pihak berkuasa mengisytiharkan mana-mana bangunan atau kawasan perumahan sebagai “kawasan pembaharuan bandar”.
"Sebaik sahaja ia diisytiharkan, rumah, kondominium atau mana-mana bangunan di kawasan tersebut akan tertakluk kepada pengambilan wajib di bawah Akta Pengambilan Tanah bagi tujuan 'pembaharuan bandar'."
Surendran berkata ia bermakna pihak berkuasa boleh mengambil alih kediaman seseorang tanpa persetujuan pemilik dengan hanya bersandarkan persetujuan 75% hingga 80% pemilik lain.
Cadangan memperkenalkan URA mencetuskan kontroversi kerana peratusan tahap persetujuan pemilik bangunan diturunkan daripada 100% kepada 80%
Kerajaan bagaimanapun mempertahankan URA dengan alasan ia boleh melancarkan pembangunan di Kuala Lumpur.
Difahamkan sebanyak 30 kawasan dikenal pasti untuk pembaharuan semula.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan URA dan berkata kerajaan akan mencadangkan tiga tahap peratusan persetujuan mengikut usia bangunan.
"Kalau bangunan itu kurang 30 tahun (memerlukan) 80% pemilik menyatakan persetujuan, baru dimulakan rundingan.
"Bagi bangunan melebihi 30 tahun, 75% (pemilik) perlu bersetuju dan bagi rumah yang terbiar dan terbengkalai, 51% iaitu majoriti mudah diperlukan," Anwar memberitahu Dewan Rakyat pada Februari lalu.
'Tiada jalan keluar'
Surendran memberi amaran tidak ada "jalan keluar" bagi menghalang pengambilan secara paksa, dan pihak berkuasa boleh menggunakan alasan sesebuah kawasan itu usang dan perlu dibangunkan semula.
Ini menjadikan RUU itu bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin pemilikan harta, tambahnya.
"Ini adalah salah satu hak paling penting dan asas bagi rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Namun demikian, melalui kuasa di bawah klausa 21 untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan pembaharuan bandar, hak suci di bawah Perkara 13 menjadi ilusi atau bayangan semata-mata," kata Surendran.
Katanya, di bawah URA, pihak berkuasa diberi kuasa mutlak merampas mana-mana harta berdasarkan penilaian subjektif.
"Ia adalah kuasa yang tidak terkawal dan tidak berhad. Mengikut Perkara 8 Perlembagaan dan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan, sebarang undang-undang yang menjadikan hak perlembagaan seperti Perkara 13 sebagai ilusi atau tidak bermakna adalah batal, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
"Parlimen tidak boleh meluluskan dengan sengaja sesuatu RUU yang tidak berperlembagaan."
Surendran berkata sekiranya URA memberi kuasa kepada kerajaan merampas rumah pemilik walaupun tanpa persetujuan, ia boleh mengakibatkan satu perempat daripada penduduk pangsapuri kehilangan rumah mereka.
Keadaan ini menjadikan URA "tidak seimbang" dan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
"Dan mana-mana rakyat Malaysia yang waras pasti akan bersetuju, ia juga salah dari mana-mana sudut kerana meletakkan hak pemilikan harta dalam bahaya yang serius," tambah Surendran.
Surendran turut merujuk proses mendapatkan persetujuan untuk pengambil alihan sesuatu kawasan, yang dibimbangi akan dilakukan dengan cara tekanan dan ancaman.
"Proses yang digunakan oleh pemaju untuk mendapatkan persetujuan ini juga sering dicemari kontroversi dalam banyak kes melibatkan pengambilan paksa, dengan penduduk mengadu tentang tekanan dan ugutan.
"Akta Pengambilan Tanah yang dibenci ramai itu sendiri mempunyai sejarah panjang menyebabkan ketidakadilan dan kehilangan harta yang tidak adil. Hal ini dapat dilihat dalam kontroversi berpanjangan mengenai pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur," kata Surendran yang juga peguam penasihat kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang kini berdepan pengusiran oleh pemaju dengan sokongan kerajaan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
