'Akta Memperkaya Pemaju': Kemarahan terhadap URA semakin memuncak
Pelbagai persatuan penduduk dan pemilik hartanah di Lembah Klang mempertingkatkan bantahan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar.
Terkini
Pelbagai pertubuhan mewakili pemilik rumah, kumpulan pengguna dan Rukun Tetangga hari ini mengecam sikap Putrajaya yang mahu meneruskan penggubalan akta baharu yang bakal membenarkan pihak berkuasa merampas hartanah atas nama pembaharuan semula bandar.
Pada sebuah sidang media diadakan 14 kumpulan mewakili kawasan perumahan di samping wakil penduduk Lembah Klang, kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) berkata Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dicadangkan kerajan seharusnya dinamakan sebagai Akta Memperkaya Pemaju.
"Mereka (pemilik rumah) dibuli, diganggu dan ditekan untuk mendapatkan persetujuan mereka," kata penasihat LFL, N Surendran, dalam sidang media yang dihadiri pelbagai badan mewakili hampir 100 kumpulan kejiranan, melibatkan penduduk pangsapuri Petaling Jaya hingga kawasan flat Kampung Sungai Baru yang kini berdepan pengusiran paksa oleh pihak berkuasa.
Surendran, yang sebelum ini menggesa Putrajaya menarik balik rang undang-undang (RUU) URA yang giat dipromosikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, turut mengulangi pendiriannya bahawa akta yang sedang digubal itu tidak berperlembagaan.
"Kerajaan mendakwa bahawa ambang persetujuan penduduk sebanyak 80% adalah lebih tinggi berbanding Tokyo atau China dan sebagainya. Tetapi persoalannya ialah, bagaimana persetujuan itu dicapai? Bagaimana pemaju mendapat persetujuan pemilik rumah? Ambang itu sia-sia.
"Jika penduduk tiada peguam, sebaliknya pemaju ada peguam, maka sudah tentu mereka akan dibuli. Ini bukan persetujuan sebenar, ini persetujuan yang direka," katanya.
Cadangan memperkenalkan URA mencetuskan kontroversi kerana peratusan tahap persetujuan pemilik bangunan diturunkan daripada 100% kepada 80%
Kerajaan bagaimanapun mempertahankan URA dengan alasan ia boleh melancarkan pembangunan di Kuala Lumpur, dan bertegas akan meneruskan pembentangan RUU itu buat kali kedua.
Ia di sebalik kebimbangan yang semakin meningkat mengenai peruntukan kuasa yang bakal diwujudkan oleh undang-undang itu kepada menteri yang bertanggungjawab, yang dapat mengarahkan pengambilalihan secara paksa atas alasan sesuatu bangunan itu usang dan perlukan "pembaharuan semula".
'Siapa untung?'
Surendran berkata sebaik sahaja URA berkuat kuasa, kerajaan akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil alih kondominium, flat dan pangsapuri selagi ia menerima ambang persetujuan 75% daripada pemiliknya.
"Jika kita beri kuasa seperti ini kepada kerajaan, di manakah hak mempunyai harta seperti di bawah Fasal 13(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Siapa yang untung? Yang paling mendapat manfaat ialah pemaju."
Menurutnya, kira-kira 13% kawasan di Kuala Lumpur telah dikenal pasti untuk "pembaharuan semula" di bawah URA, di mana keuntungan yang dijangkakan mencecah RM350 bilion.
"Daripada angka ini, berapakah disalurkan kepada pemilik rumah biasa di flat, pangsapuri dan kondominium? Pemilik rumah hanya akan mendapat nilai pembangunan percuma yang minimum, manakala keuntungan besar-besaran RM350 bilion semuanya dikaut pemaju. Adakah itu adil?" soal beliau.
URA Singapura, Hong Kong bukan untuk pemaju swasta
Surendran mempersoalkan pemimpin kerajaan yang cuba berhujah bahawa negara seperti Singapura dan Hong Kong turut menggunakan undang-undang serupa.
"Tetapi URA mereka tidak seperti URA kita. URA mereka bukan didorong oleh pemaju. Jika kita lihat URA kita, semuanya diserahkan kepada pemaju.
"Pemaju yang mendapatkan persetujuan daripada penduduk yang tidak menerima nasihat undang-undang. Pemaju yang menggunakan Akta Pengambilan Tanah, yang merupakan undang-undang drastik yang dipakai ke atas mereka yang tidak bersetuju."
Katanya, ketika menteri sendiri terlibat dalam jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam pengagihan projek kepada pemaju, URA jelas tidak berdasarkan tender terbuka.
"Adakah itu masuk akal? Apakah ia sesuai dengan agenda anti-rasuah negara?"
Bangunan berusia 30 tahun
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim Loong, membidas ambang yang dicadangkan kerajaan, iaitu bangunan yang berusia lebih daripada 30 tahun boleh dirobohkan untuk tujuan pembangunan semula dengan hanya mendapatkan persetujuan 75% pemilik.
Menurutnya, rata-rata sesebuah bangunan mempunyai jangka hayat selama 70 tahun, malah Jabatan Kerja Raya juga menganggap ia boleh dilanjutkan sehingga 100 tahun.
"Oleh itu, mengapa pula 30 tahun? Jangka hayat manusia ialah 75 tahun. Umur bersara 55 hingga 60 tahun. Mengapa 30 tahun? Itu soalan yang kita perlu tanya menteri.
"Ibu saya berumur 90 tahun. Jika undang-undang ini diluluskan, dia perlu melalui tiga pusingan pembaharuan semula.
"Sebuah rumah ibarat istana, tiada siapa yang boleh merampasnya daripada kami. Kami yang membelinya, membayar pinjaman perumahan selama 35 tahun. Tetapi belum selesai bayar pinjaman, datang pula URA yang memberikan kerajaan kuasa untuk membangunkannya semula."
Chang berkata antara alasan kerajaan memperkenalkan URA ialah pembaharuan semula dapat menaik taraf kemudahan di kawasan kediaman yang telah usang.
"Tetapi kenapa mahu bina semula? Kan boleh naik taraf? Salah satu alasannya ialah sebab warga tua susah naik tangga. Eh, pasang lif sajalah! Apa susahnya nak pasang lif?"
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan lebih gemar merobohkan keseluruhan bangunan dan membina struktur baharu yang lebih besar.
"Siapa yang untung daripada semua ini? Kerajaan yang mewujudkan undang-undang ini bagi pihak pemaju swasta," katanya.
Chang menyelar menteri bertanggungjawab Nga kerana cuba memberi contoh 1Razak Mansion dan Kampung Kerinchi sebagai contoh skim pembaharuan semula yang berjaya.
Katanya, kedua-dua projek itu mendapat persetujuan 100% daripada pemilik hartanah yang terlibat.
"Beliau tidak sepatutnya cuba menumpang atas hasil usaha orang lain. Ia dilaksanakan di bawah pentadbiran terdahulu," tambahnya.
Chang turut memberi amaran bahawa URA akan memperuntukkan kuasa yang luas kepada Nga sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
"Yang paling berkuasa ialah menteri, malah kerajaan negeri pun mesti merujuknya.
"Mengapa kita perlu memberikan kuasa kepada seorang individu?" soalnya.
'Benarkan wakil rakyat mengundi secara bebas'
Minggu lalu, Surendran menyifatkan RUU yang dibentangkan adalah melanggar perlembagaan, sambil memberi amaran proses untuk mendapatkan persetujuan selama ini dicemari tindakan pemaju yang memaksa penduduk.
"Proses yang digunakan oleh pemaju untuk mendapatkan persetujuan ini juga sering dicemari kontroversi dalam banyak kes melibatkan pengambilan paksa, dengan penduduk mengadu tentang tekanan dan ugutan," katanya.
Dalam sidang media hari ini, Surendran menuntut kerajaan membenarkan ahli Parlimen mengundi secara bebas sekiranya RUU itu diteruskan.
"Sekurang-kurangnya, kerajaan harus memberikan kebebasan kepada ahli Parlimen untuk mengundi. Adakah kerajaan berani berbuat demikian?" soalnya sambil menambah kebimbangan wakil rakyat kerajaan terhadap akta lompat parti akan menyebabkan mereka mengundi meluluskan RUU itu.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan penduduk dan pemilik hartanah berkata mereka terkejut apabila RUU itu dibentangkan pada 21 Ogos lalu, iaitu kurang empat bulan selepas proses perundingan awam.
"Di sebalik harapan supaya sebahagian besar cadangan kami dapat dimasukkan sama ada ke dalam RUU ataupun perundangan subsidiari selepasnya, kami berasa amat kecewa.
"Kini jelas kepada rakyat mengenai tahap kecuaian, pengabaian dan salah guna kuasa dalam penggubalan undang-undang ini. Ia sama sekali gagal mengatur hubungan ekonomi/kontrak antara pemilik dan pemaju secara adil, saksama dan mampan, pada masa sama menghormati kepentingan awam," kata kenyataan itu, sambil menambah kandungan RUU yang ditunjukkan awal tahun ini adalah sama dengan draf yang dibentangkan minggu lepas.
"Draf sedemikian amat bermasalah, sehingga menafikan hak asasi pemilik untuk menaik taraf hartanah mereka, sebaliknya menyerahkan hak tersebut kepada pemaju atas nama ‘penswastaan’," kata kenyataan yang antara lain disokong oleh Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, KL Residents Action for Sustainable Development (KLRA+SD), Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Kenyataan itu turut ditandatangani sebilangan besar persatuan penduduk dan Rukun Tetangga di Lembah Klang, termasuk Jawatankuasa Bertindak Kampung Sungai Baru yang diketuai aktivis tanah Rafidah Ibrahim, yang kini berada di barisan hadapan memperjuangkan nasib pemilik tanah rezab Melayu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
"Sekiranya kerajaan tidak mampu melaksanakannya dengan betul, lebih baik tidak melaksanakannya langsung," tambah kenyataan itu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
