- Iklan -
Berita

Nekad tidak berganjak, bantahan penduduk Kg Sungai Baru masuk fasa baharu dengan kempen 'berani mati'

Selepas pelbagai rayuan kepada Putrajaya tidak diendahkan, penduduk berkata mereka rela berkorban mempertahankan tanah warisan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Kampung Sungai Baru berikrar tidak akan berganjak dari kediaman mereka dalam kempen baharu melawan pengusiran oleh pemaju dan kerajaan.
Penduduk Kampung Sungai Baru berikrar tidak akan berganjak dari kediaman mereka dalam kempen baharu melawan pengusiran oleh pemaju dan kerajaan.

Selepas pelbagai bantahan dan protes tidak diendahkan kerajaan, penduduk Kampung Sungai Baru di tengah-tengah bandar raya berazam akan melawan apa-apa tindakan pengusiran dan perobohan dengan tidak berganjak dari kediaman mereka.

Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru yang menjadi jurucakap penduduk yang terkesan dengan tindakan merobohkan kediaman mereka berkata, pihak berkuasa telah mengabaikan proses undang-undang yang masih berterusan, sambil mempersoalkan keengganan kerajaan untuk campur tangan bagi mencari penyelesaian.

Menurutnya, penduduk Kampung Sungai Baru yang telah uzur dan tua bakal bakal hilang tempat kediaman sekiranya perobohan tidak dilawan. 

"Situasi kini dalam keadaan kritikal di mana jentolak-jentolak telah memasuki kawasan kampung dan sedang menjalankan kerja-kerja perobohan," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan mengumumkan pelancaran "Protes Tidak Berganjak".

"Ini berlaku walaupun cabaran undang-undang masih berterusan. Kerajaan Madani masih gagal untuk mencampur tangan hal ini untuk memberi jalan penyelesaian bagi masalah yang telah lama dihadapi penduduk-penduduk akibat tindakan Kerajaan yang mengambil tanah tersebut secara paksa."

Butiran lanjut mengenai kempen baharu itu akan diumumkan dalam sidang media khas oleh jawatankuasa itu esok.

MalaysiaNow difahamkan pelbagai NGO dan pertubuhan kini berganding bahu dengan penduduk dan aktivis tanah, di mana mereka nekad tidak berganjak dari kediaman mereka walaupun berdepan jentolak pemaju.

"Ia merupakan kempen berani mati dan kita akan pertahankan tanah warisan ini hingga ke akhir hayat," kata seorang penduduk kepada MalaysiaNow.

Kerja perobohan giat dijalankan di Kampung Sungai Baru, walaupun mendapat tentangan sekumpulan pemilik flat di sebalik pertikaian mengenai kadar pampasan dan status tanah tersebut sebagai Malay Agriculture Settlement seperti mana di Kampung Baru yang berhampiran.
Kerja perobohan giat dijalankan di Kampung Sungai Baru, walaupun mendapat tentangan sekumpulan pemilik flat di sebalik pertikaian mengenai kadar pampasan dan status tanah tersebut sebagai Malay Agriculture Settlement seperti mana di Kampung Baru yang berhampiran.

Kampung Sungai Baru menjadi perhatian selepas berlaku tarik tali antara pemaju dan penduduk yang enggan berpindah.

Mereka enggan menerima pampasan daripada pemaju dan membantah tindakan kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT) untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.

Penduduk sebelum ini menampilkan dokumen dikeluarkan Residen Selangor pada 1932 yang jelas mengenal pasti Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada Tanah Pertanian Melayu, atau MAS, status di bawah pentadbiran kolonial British yang memberikannya perlindungan dan syarat ketat daripada sebarang pengambil alihan tanah.

Penduduk turut mempersoalkan jumlah pampasan yang ditawarkan kerana jauh lebih rendah dari harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.

Awal bulan lalu, peguam mewakili penduduk, N Surendran, menggesa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kesilapannya dalam langkah mengambil alih tanah menggunakan APT, sebaliknya menggunakan kuasanya untuk memberikan "tawaran baru dan lebih adil".

Surendran berkata Kampung Sungai Baru masih merupakan Tanah Rizab Melayu kerana status itu tidak dibatalkan sama ada melalui persetujuan dua pertiga Parlimen ataupun dokumen pembatalan yang dikemukakan kepada pejabat tanah.

Penduduk Kampung Sungai Baru ditemani aktivis dan peguam di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk menyerahkan permohonan menyiasat status tanah.
Penduduk Kampung Sungai Baru ditemani aktivis dan peguam di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan untuk menyerahkan permohonan menyiasat status tanah.

Antara penyelesaian dicadangkan Surendran termasuk penduduk diberikan rumah ganti yang lebih baik dan pampasan pada nilai pasaran yang bersesuaian dengan lokasi kawasan itu, di samping membawa masuk agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk melibatkan penduduk dalam sebarang rancangan pembangunan.

PKNS merupakan pemegang asal hak milik induk (master title) untuk rumah hak milik strata di kawasan flat Kampung Sungai Baru sebelum ia dipindahkan kepada pemaju sekarang.