URA: Pemaju tunggu laba, rakyat disajikan jaminan menteri
Hak memiliki harta tidak boleh dirampas suka-suka, apatah lagi bila jaminan itu diberikan menteri sahaja dan bukan sebagai undang-undang bertulis.
Terkini
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberi jaminan pampasan kepada pemilik terbabit dalam projek pembaharuan kediaman di bawah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan jauh atasi nilai pasaran semasa.
Saya cabar menteri untuk tunjuk bahagian mana dalam peruntukan RUU URA yang beri jaminan itu.
Malah pampasan atau pampasan mencukupi yang diperuntukan bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan tidak wujud dalam RUU URA.
Kata-kata seorang menteri bukan undang-undang. Tidak boleh pakai dalam mahkamah kalau pemilik yang tidak puas hati tentang pampasan hendak ke mahkamah.
Begitu juga mengenai mekansime ke mahkamah. Kalau tanah atau kediaman rakyat diambil kerajaan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, kalau tidak puas hati dengan pampasan, ada peruntukan untuk failkan kes atau permohonan ke Mahkamah.
Di bawah URA, tiada perkara itu.
RUU URA hanya menyatakan akan ada tawaran faedah yang tidak kurang baiknya dari tawaran faedah yang ditawarkan sebelum projek pembaharuan. Lagi sekali, tidak seperti jaminan oleh menteri.
Pilihan pemaju pula oleh suatu jawatankuasa yang mana tidak dinyatakan apakah kriteria pemilihannya. Lagipun, apakah jaminan pelantikan-pelantikan ini akan telus dan adil? Tiada peruntukan dalam RUU URA untuk perkara ini.
Bagaimana pula dengan pemaju-pemaju yang dilantik oleh jawatankuasa dan kemudiannya projek pembaharuan terbengkalai?
Siapa yang tanggung kos? Apa akan jadi pada rakyat yang menunggu rumah atau kediaman baharu mereka dibawah projek pembaharuan ini?
RUU URA ini juga terbuka pada manipulasi oleh pemaju. Tiada langsung sebarang mekanisme pemantaun sekiranya pemilik asal tidak mendapat jaminan tawaran pampasan. Siapa yang akan jamin? Menteri juga?
Kawasan pembaharuan semula terlalu luas definisinya. Ia babitkan seluruh Semenanjung dan WP Labuan. Tanah rizab Melayu, tanah wakaf, tanah adat, tanah pertanian dan lain-lain jenis penggunaan terdedah kepada RUU URA ini.
RUU ini ancaman bukan pada orang Melayu sahaja tetapi lain-lain bangsa dan agama.
Maka, cukup sudah bohong kononnya yang lawan URA ini semai perkauman. Itu sempit pemikiran.
Pengusiran halus juga akan berlaku. Contohnya B40 kalau kediaman diubah ke kondominium, tiadakah caj penyelenggaraan atau "common facility charges" lain? Di mana jaminan di bawah URA?
Adakah semua ini akan ditanggung oleh pemaju-pemaju yang amat baik hati dan prihatin?!
Kalau dulu bangunan empat tingkat ada 95% orang Melayu, selepas URA, contohnya, bangunan jadi 20 tingkat dan bukan Melayu jadi 80%. Bukankah ini membawa perubahan struktur komposisi masayarakat?
Menteri sangat bangga dengan 1Razak Mansion dan Kampung Kerinchi. Mungkin menteri boleh bentang peratusan orang Melayu di situ sebelum dan selepas pembangunan. Wujud atau tidak gentrifikasi? Sudahkah lawat kawasan Bangsar South? Ya, nama masih Kampung Kerinchi, tapi masihkah kekal ciri-ciri itu?
Kerana itulah ramai pihak, bukan sahaja pembangkang, malah mereka dalam kerajaan juga, menggesa penangguhan RUU ini. Isu ambang persetujuan adalah isu penting. Hak rakyat serta pemilik untuk memberi persetujuan adalah hak yang dijamin perlembagaan.
Hak ini tidak boleh diambil atau dirampas suka-suka. Apatah lagi bila jaminan itu diberi oleh menteri sahaja tanpa betul-betul dimasuk sebagai undang-undang bertulis.
Seluruh rakyat perlu peka tentang RUU ini. Ini bukan hanya lawan politik tetapi ianya untuk halang penindasan sistematik oleh orang-orang kaya (pemaju) terhadap rakyat.
Pihak yang betul-betul untung dan sedang tunggu laba adalah pemaju-pemaju. Hampir 139 kawasan di Lembah Klang saja telah dijadikan sasaran mereka. Ini wang besar habuan mega bagi mereka.
Wakil rakyat dari kedua belah Dewan Rakyat ada tugas untuk pertahan rakyat. Ini tidak bermaksud rakyat mesti derita atau miskin atau tidak mahu pemodenan. Ini adalah hak rakyat untuk pertahan milik mereka dan kalau mahu apa milik rakyat mesti dibayar pampasan mencukupi.
Jangan biar kita di-pURA-pURA.
Rafique Rashid ialah seorang peguam dan ketua penerangan Pejuang.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
