Syarikat Farhash terima lesen carigali mineral Sabah di kawasan tiga kali ganda keluasan KL
Lesen itu memberikan firma milik bekas ketua PKR Perak itu hak eksklusif menjalankan aktiviti carigali arang batu di sebuah kawasan seluas 70,000 hektar berhampiran sempadan Kalimantan.
Terkini
Sebuah syarikat milik bekas ahli politik kontroversi PKR yang kini seorang ahli perniagaan jutawan, Farhash Wafa Salvador, telah diberikan lesen mencari gali mineral di Sabah, menurut pendedahan MalaysiaNow.
Bumi Suria Sdn Bhd dianugerahkan lesen carigali untuk perlombongan arang batu oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), agensi pelesenan mineral negeri yang dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor, yang kini terpalit skandal rasuah melibatkan beberapa pemimpin kanan kerajaan.
Perincian dokumen dan surat antara SMM dan Bumi Suria mendapati Bumi Suria diberikan hak eksklusif untuk meneroka dan mencari mineral di kawasan seluas 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan - iaitu hampir tiga kali ganda daripada keluasan bandar raya Kuala Lumpur.
Bumi Suria dimiliki oleh Farhash bersama Aminuddin Mustapha, yang terkenal dalam kalangan ahli perniagaan dan politik sebagai "Amin Botak".
Semakan mendedahkan bahawa permohonan Bumi Suria mendapatkan lesen melombong disahkan secara bertulis pada 21 Mei tahun lalu, iaitu selang dua minggu selepas Farhash dan Amin mengambil alih syarikat tersebut.
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan kedua-dua individu didaftarkan sebagai pengarah dan pemegang saham pada 7 Mei 2024.
Sebelum kehadiran mereka, Bumi Suria dimaklumkan bahawa kelulusan permohonan lesen melombong di kawasan sama telah dibatalkan.
Pada Mac 2023, permohonan syarikat itu untuk melombong arang batu mendapat sokongan Hajiji, yang menyatakan persetujuannya dalam nota tulisan tangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SMM ketika itu, Jontih Enggihon.
Pada Jun 2023, lesen itu diluluskan dan Bumi Suria seterusnya menjalin usaha sama dengan PT Bayan Resources TBK, sebuah gergasi perlombongan dimiliki oleh "raja arang batu" dan hartawan Indonesia, Low Tuck Kwong.
Bayan Resources merupakan syarikat perlombongan arang batu terbesar di Indonesia, yang telah menyaksikan keuntungannya naik mendadak sejak tercetusnya perang di Ukraine, yang mengakibatkan permintaan sumber baru arang batu dan mineral lain beralih ke rantau ini.
Dibatalkan dan diluluskan semula
Pada awal 2024, Bumi Suria secara tiba-tiba dimaklumkan bahawa Hajiji telah bertindak membatalkan lesennya, tanpa sebarang penjelasan.
Lesen tersebut bagaimanapun dipulihkan lima bulan kemudian, pada 21 Mei 2024, selang dua minggu Farhash dan Amin menyertai Bumi Suria.
Dalam meluluskan semula lesennya, SMM memaklumkan Bumi Suria bahawa kawasan terlibat mungkin ada pertindihan dengan permohonan daripada sebuah lagi syarikat perlombongan, Pro Raptor Sdn Bhd.
Pada Jun, Farhash menulis kepada Jontih dengan menegaskan tidak timbul soal pertindihan dengan Pro Raptor, sambil berkata perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Hajiji dan dibawa ke mesyuarat lembaga SMM.
Susulan itu, mesyuarat lembaga pengarah SMM pada September memutuskan untuk menolak permohonan Pro Raptor, sebaliknya meluluskan permohonan Bumi Suria.
Mesyuarat yang sama turut memutuskan untuk meluluskan beberapa permohonan lesen prospektif lain, di samping menolak beberapa permohonan lain.
Antara yang diluluskan ialah Bayan Assets, sebuah syarikat milik penuh Bayan Resources yang diterajui taikun jutawan Malaysia berpangkalan di Indonesia, Lim Chai Hock.
Manakala antara syarikat yang permohonannya ditolak ialah Zoop Technology, yang memohon menjalankan aktiviti perlombongan di kawasan seluas 10,000 hektar.
Zoop Technology dipercayai syarikat milik Albert Tei, ahli perniagaan yang bertanggungjawab mendedahkan rakaman audio dan video yang menunjukkan kelakuan rasuah di peringkat tertinggi dalam pemberian lesen perlombongan.
Sejak akhir tahun lalu, portal berita Malaysiakini menyiarkan siri rakaman video diperolehi daripada Tei, yang antara lain menunjukkan beberapa Adun Sabah membincangkan rasuah berjumlah sehingga jutaan ringgit.
Bimbang akan keselamatan dirinya, Tei kemudian meminta perlindungan supaya dapat melaporkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Rayuan Tei kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk diberikan perlindungan sebagai pemberi maklumat bagaimanapun ditolak oleh perdana menteri, tindakan yang mengundang kritikan dari aktivis anti-rasuah.
Ia diikuti dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mendakwa video-video dirakam Tei belum cukup sebagai bukti. Susulan itu, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata klip rakaman Tei yang lengkap dan tidak disunting diserahkan kepada SPRM supaya tiada alasan untuk tidak memulakan siasatan.
Bulan lalu, selepas pelbagai tekanan terhadap Azam, SPRM membawa pertuduhan mahkamah ke atas dua Adun Sabah - Yusof Yacob dan Andi Muhammad Suryady Bandy, di samping Tei sendiri - tindakan yang dikritik pelbagai pihak sebagai pendakwaan terpilih kerana masih gagal menangkap "jerung" sebenar yang dikenal pasti dalam video-video yang didedahkan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
