Selepas dedah isu Farhash-Sabah, polis siasat MalaysiaNow atas 'kebocoran dokumen sulit'
Ia susulan laporan polis difailkan Sabah Mineral Management, agensi yang kini terpalit skandal rasuah perlombongan.
Terkini
Polis akan memanggil pengarang portal MalaysiaNow untuk disoal siasat berhubung laporan berita bulan lepas melibatkan Farhash Wafa Salvador, di mana syarikat terkait bekas ahli politik PKR itu yang kini ahli perniagaan jutawan didapati diberikan kelulusan lesen carigali mineral di sebuah kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.
Seorang pegawai polis dari Kota Kinabalu memaklumkan kepada portal berita itu bahawa siasatan berdasarkan laporan polis difailkan oleh Sabah Mineral Management (SMM), agensi kerajaan negeri dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor yang kini terpalit skandal rasuah perlombongan.
"Terdapat satu artikel yang dikeluarkan dalam Malaysianow mengenai SMM yang dikatakan terdapat dokumen sulit yang telah dikeluarkan dalam artikel tersebut," katanya dalam mesej kepada pengarang MalaysiaNow, sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan atas kesalahan "kebocoran dokumen sulit".
Selain itu, polis berkata siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung "penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian", undang-undang yang kerap menyasarkan media dan wartawan yang mengkritik kerajaan.
Perkembangan itu lebih dua minggu selepas MalaysiaNow menerbitkan laporan bagaimana Hajiji memberikan sokongan kuat kepada sebuah syarikat terkait Farhash, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dalam permohonannya untuk menjalankan aktiviti cari gali arang batu di negeri itu.
SMM meluluskan permohonan Bumi Suria Sdn Bhd meliputi kawasan hutan simpan seluas 70,000 hektar – tiga kali ganda keluasan bandar raya Kuala Lumpur.
Bumi Suria dimiliki sepenuhnya oleh Borneo Bumi Sdn Bhd, yang seterusnya dikawal oleh Farhash dan seorang lagi individu bernama Aminuddin Mustapha, masing-masing dengan kepentingan 50%.
Sebagai respons kepada pendedahan itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMM Natasha Sim menafikan mana-mana syarikat dikaitkan dengan Farhash telah dianugerahkan lesen itu, manakala Farhash pula mendakwa laporan itu sebagai "berita palsu".
Dalam laporan yang menyusul selepas itu, MalaysiaNow menerbitkan surat, minit mesyuarat dan petikan rakaman mesyuarat lembaga pengarah SMM dipengerusikan Hajiji, di mana permohonan Bumi Suria dan rakan usaha samanya dari Indonesia, PT Bayan Resources, telah mendapat sokongan sebelum diluluskan.
Farhash dan SMM telah mengancam mengambil tindakan mahkamah terhadap MalaysiaNow.
Portal itu bagaimanapun telah mempertahankan laporannya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
