Pendedahan: Rakaman mesyuarat SMM lulus hak carigali mineral 70,000 hektar di Sabah kepada syarikat terkait Farhash
Ia selepas MalaysiaNow menolak tuntutan maaf daripada bekas pemimpin PKR itu.
Terkini
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor didapati memuji dan memberikan sokongan kuat kepada syarikat yang terkait dengan bekas pemimpin PKR Farhash Wafa Salvador dalam sebuah mesyuarat membincangkan permohonan beberapa pihak untuk melakukan carigali mineral di negeri itu, menurut rakaman audio yang diberikan kepada MalaysiaNow.
Rakaman itu (klik untuk versi YouTube atau TikTok) merupakan beberapa petikan perjalanan mesyuarat selama lebih dua jam oleh lembaga pengarah Sabah Mineral Management (SMM), agensi negeri yang bertanggungjawab mengenai kekayaan mineral di Sabah dan dipengerusikan oleh Hajiji, pada Mei tahun lalu.
Antara babak menarik rakaman itu termasuk pengakuan bahawa kawasan yang diluluskan kepada Bumi Suria adalah "terlampau luas".
"Tapi kawasan itu terlampau luaslah Datuk Seri, 70,000 hektar," ulas Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong.
"Ya, itu kita atur nanti. Yang penting, kita luluskan dia punya permohonan," jawab Hajiji dalam mesyuarat yang dihadiri 18 orang, termasuk beberapa eksekutif syarikat perlombongan Indonesia.
Pada Isnin, MalaysiaNow mendedahkan langkah SMM meluluskan permohonan melibatkan kawasan hutan simpan seluas 70,000 hektar - tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur - kepada Bumi Suria Sdn Bhd, sebuah syarikat dikuasai Farhash dan seorang lagi individu bernama Aminuddin Mustapha.
Bumi Suria dimiliki sepenuhnya oleh Borneo Bumi Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat milik penuh Farhash dan Amin yang berkongsi saham pada asas 50/50.
Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, kedua-dua mereka dilantik sebagai pengarah Borneo Bumi pada 2 Mei 2024, dan sebagai pengarah Bumi Suria pada 7 Mei 2024.
Ketika penyertaan mereka, Bumi Suria, yang telah menjalinkan usahasama dengan PT Bayan Resources - gergasi perlombongan dari Indonesia milik hartawan dan "raja arang batu" Low Tuck Kwong - masih dalam proses rayuan pembatalan lesen carigali mereka.
Pembatalan itu dilakukan Hajiji pada awal 2024 - iaitu lima bulan sebelum penglibatan Farhash dan Amin - tanpa memberikan sebarang alasan.
Bagaimanapun, pada 14 Mei, mesyuarat SMM sebulat suara menarik balik pembatalan itu.
Apa yang membangkitkan persoalan ialah keputusan tersebut dicapai selang seminggu selepas penyertaan Farhash dan Amin dalam Bumi Suria.
Susulan pendedahan MalaysiaNow, Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, yang turut hadir dan mengendalikan mesyuarat 14 Mei itu selaku ketua pegawai strategi ketika itu, menafikan pihaknya telah meluluskan lesen carigali kepada Bumi Suria mahupun mana-mana syarikat terkait Farhash.
Menurut portal berita Malaysiakini, Natasha "sendiri terpalit dengan kontroversi" selepas tular gambar memaparkannya bersama taikun balak Sabah, Elbert Lim di hadapan sebuah jet peribadi yang dikatakan milik "seorang hartawan arang batu dari Indonesia".
Tuntutan maaf dinafikan
Farhash pula mendakwa pendedahan MalaysiaNow itu sebagai "fake news" (berita palsu).
Bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu turut mengugut akan mengambil tindakan mahkamah terhadap MalaysiaNow sekiranya tidak menarik balik laporannya dan mengeluarkan permohonan maaf.
"Anak guam kami mahupun Bumi Suria Sdn Bhd tidak pernah dianugerahkan sebarang lesen prospektif atau carigali mineral di Sabah," menurut surat peguam Farhash kepada MalaysiaNow.
Dalam jawapannya, MalaysiaNow menolak tuntutan Farhash untuk menarik balik laporan tersebut.
"Artikel yang dirujuk akan kekal diterbitkan, kerana ia merupakan pelaporan yang adil dan tepat mengenai perkara yang berkepentingan awam, disokong oleh bukti kredibel dan boleh disahkan," kata jawapan balas itu.
"Berdasarkan perkara di atas, anak guam anda bebas meneruskan apa jua tindakan undang-undang yang difikirkan sesuai. Sekiranya memilih untuk memulakan prosiding undang-undang, anak guam kami bersedia sepenuhnya untuk melawan bersungguh-sungguh."
Sejak akhir tahun lalu, beberapa klip video didedahkan oleh ahli perniagaan Albert Tei menerusi portal berita Malaysiakini, yang menunjukkan penglibatan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri Sabah membincangkan rasuah berjumlah sehingga jutaan ringgit.
Bimbang akan keselamatan dirinya, Tei merayu Anwar memberikannya perlindungan sebagai pemberi maklumat (whistleblower) untuk meneruskan laporan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan Tei bagaimanapun ditolak perdana menteri, mengundang kritikan aktivis anti-rasuah.
SPRM setakat ini telah membawa pertuduhan rasuah terhadap dua Adun Sabah - Yusof Yacob dan Andi Muhammad Suryady Bandy, di samping Tei sendiri - tindakan yang dikritik pelbagai pihak sebagai pendakwaan terpilih kerana masih gagal menangkap "jerung" sebenar yang dikenal pasti dalam video-video yang didedahkan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
