Surat, minit mesyuarat, rakaman audio sahkan syarikat berkait Farhash terima lesen carigali arang batu di Sabah
Meskipun dengan kewujudan pelbagai bukti, CEO agensi mineral Sabah menafikan syarikat Bumi Suria terkait dengan bekas pemimpin PKR itu.
Terkini
Dokumen berupa surat, rekod pendaftaran syarikat, minit mesyuarat lembaga pengarah dan rakaman audio akan mengesahkan sebuah syarikat terkait dengan bekas pemimpin PKR Farhash Wafa Salvador dianugerahkan lesen untuk mencari gali simpanan mineral di kawasan hutan simpan luas di Sabah bersempadan Kalimantan.
Dokumen tersebut didedahkan secara eksklusif kepada MalaysiaNow oleh sumber dalaman Sabah Mineral Management Sdn Bhd - agensi pelesenan mineral yang dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor - yang kini terpalit skandal rasuah melibatkan sekumpulan ahli politik kanan Sabah.
Rekod rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (atas) menyatakan Farhash dan seorang lagi ahli perniagaan Aminuddin Mustapha, dilantik sebagai pengarah Bumi Suria Sdn Bhd pada 7 Mei 2024.
Bumi Suria dimiliki sepenuhnya oleh Borneo Bumi Sdn Bhd, yang merupakan syarikat dimiliki 100% oleh kedua-dua Farhash dan Aminudin pada asas 50-50, seterusnya mengesahkan bahawa Bumi Suria adalah milik Farhash dan Aminuddin.
Selang seminggu pelantikan mereka sebagai pengarah Bumi Suria, Hajiji telah mempengerusikan mesyuarat lembaga SMM yang turut dihadiri pegawai-pegawai dan pengarah SMM termasuk CEO ketika itu, Jontih Enggihon, di samping Ketua Pegawai Strategi ketika itu, Natasha Sim Nuo.
Malah mesyuarat itu turut mengundang sekurang-kurangnya empat ahli perniagaan dan eksekutif tertinggi mewakili sebuah syarikat perlombongan gergasi dari Indonesia.
Mesyuarat antara lain meluluskan permohonan Bumi Suria mendapatkan lesen carigali, memberikannya hak eksklusif meneroka simpanan arang batu seluas kira-kira 70,000 hektar di hutan simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan, iaitu kawasan yang hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.
Melalui surat bertarikh 21 Mei tahun lalu, Jontih memaklumkan Bumi Suria mengenai keputusan tersebut. Ia dibalas Farhash melalui surat bertarikh 7 Jun di mana beliau "mengucapkan ribuan terima kasih" kepada SMM kerana meluluskan permohonan Bumi Suria.
Farhash dalam suratnya turut melampirkan memorandum persefahaman antara Bumi Suria dan PT Bayan Resources, sebagai memenuhi syarat usaha carigali arang batu itu perlu dilakukan secara usahasama dengan firma Indonesia itu.
PT Bayan Resources merupakan syarikat perlombongan gergasi yang dimiliki "raja arang batu" Indonesia dan hartawan Low Tuck Kwong. Ia juga memiliki sebuah syarikat di Malaysia bernama Bayan Resources yang diketuai jutawan Malaysia berpangkalan di Indonesia, Lim Chai Hock.
Susulan pendedahan MalaysiaNow hari ini, Natasha, yang kini menggantikan Jontih sebagai CEO SMM, menafikan agensi itu meluluskan lesen kepada mana-mana syarikat yang dikaitkan dengan Farhash.
MalaysiaNow telah menghubungi Natasha untuk mendapatkan maklum balas.
Sementara itu, MalaysiaNow mempunyai sebuah rakaman audio yang boleh mengesahkan laporannya.
Menurut portal berita Malaysiakini, Natasha "sendiri terpalit dengan kontroversi" selepas tular gambar memaparkannya bersama taikun balak Sabah, Elbert Lim di hadapan sebuah jet peribadi yang dikatakan milik "seorang hartawan arang batu dari Indonesia".
Sejak akhir tahun lalu, Malaysiakini telah menerbitkan siri rakaman video yang diperolehnya daripada ahli perniagaan Albert Tei, yang menunjukkan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri Sabah membincangkan rasuaha berjumlah sehingga jutaan ringgit.
Bimbang akan keselamatan dirinya, Tei kemudian meminta perlindungan supaya dapat melaporkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan Tei kepada Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perlindungan sebagai pemberi maklumat bagaimanapun ditolak oleh perdana menteri, tindakan yang mengundang kritikan aktivis anti-rasuah.
SPRM setakat ini telah membawa pertuduhan rasuah terhadap dua Adun Sabah - Yusof Yacob dan Andi Muhammad Suryady Bandy, di samping Tei sendiri - tindakan yang dikritik pelbagai pihak sebagai pendakwaan terpilih kerana masih gagal menangkap "jerung" sebenar yang dikenal pasti dalam video-video yang didedahkan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
