- Iklan -
Berita

Pendedahan: Ahli Parlimen ‘tunggal’ tandatangani SD sokong rampasan kuasa Anwar

Tindakan bekas menteri itu akan mengeruhkan lagi hubungannya yang sedia keruh dengan ketua partinya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Tindakan Maszlee ini akan mengeruhkan lagu hubungan sedia keruhnya dengan Dr Mahathir Mohamad. Gambar: Facebook.
Tindakan Maszlee ini akan mengeruhkan lagu hubungan sedia keruhnya dengan Dr Mahathir Mohamad. Gambar: Facebook.

Salah seorang daripada empat bekas ahli Parlimen Bersatu yang menyokong keenganan Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan pemimpin Umno “terpalit rasuah” menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong rancangan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, MalaysiaNow kini sudah boleh mendedahkan.

Individu itu adalah Ahli Parlimen Simpang Renggan Maszlee Malik, yang meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan atas arahan Mahathir awal tahun ini, kurang tiga bulan sebelum jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Maszlee kini sebahagian daripada Pejuang, parti ditubuhkan Mahathir selepas bekas perdana menteri itu dipecat daripada Bersatu.

“Tindakan Maszlee ini akan mengeruhkan lagi hubungannya dengan Mahathir. Kali terakhir Maszlee kena leter dengan bekas bosnya, beliau meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet,” kata sumber yang rapat dengan Bersatu dan juga kumpulan Mahathir kepada MalaysiaNow.

Pendedahan perubahan sokongan politik Maszlee kepada Anwar ini berlaku sehari selepas beliau menyokong usaha usul undi tidak percaya Mahathir terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ia juga mengukuhkan pendedahan MalaysiaNow semalam bahawa dua bekas pemimpin tertinggi kerajaan yang sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah menulis surat kepada Yang di Pertuan Aging untuk menyatakan sokongan kepada rancangan Anwar menggulingkan kerajaan.

Bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya Ahmad Zahid Hamidi, yang didakwa dengan jumlah keseluruhan 79 pertuduhan rasuah, menulis surat secara bersama kepada Agong bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar tetapi tidak mendedahkan senarai ahli Parlimen Umno lain yang didakwa mengikut mereka.

Anwar dalam surat berasingan kepada Agong mendakwa mempunyai sokongan ahli Parlimen dari PH, Umno dan “sejumlah individu”.

Bagaimanapun, semakan MalaysiaNow mendapati Maszlee merupakan “individu tunggal” yang menandatangi SD untuk mengesahkan sokongannya kepada Anwar.

Apabila dihubungi, Maszlee enggan untuk memberikan komen, sebaliknya meminta MalaysiaNow menghubungi pegawai medianya. MalaysiaNow masih menunggu respons.

Maszlee, 46, menyertai Bersatu dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2008.

Bekas pensyarah itu naik mendadak dalam Kabinet Mahathir sebagai menteri pendidikan. Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu meminta Maszlee meletakkan jawatan awal tahun ini.

Maszlee bagaimanapun berkata, beliau tetap setia kepada Mahathir walaupun diminta meletakkan jawatan.

“Saya dengan taat setia kepada perdana menteri dan parti yakin, apa jua keputusan yang dibuat dan dinasihatkan adalah untuk negara dan kebaikan semua,” katanya ketika mengumumkan peletakan jawatan pada 2 Januari.