- Iklan -
Berita

Bekas orang kuat Anwar jelaskan mengapa PM tidak kisah dakwaan nepotisme menjelang pemilihan PKR

Ezam Nor, antara yang paling ke depan dalam gerakan reformasi dipimpin Anwar, berkata perdana menteri bersiap sedia dengan 'masalah' yang bakal mendatang.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Nurul Izzah Anwar, anak sulung Perdana Menteri Anwar Ibrahim, disebut-sebut akan memenangi jawatan timbalan presiden PKR, menjadikan parti tersebut dikuasai keluarga presiden.
Nurul Izzah Anwar, anak sulung Perdana Menteri Anwar Ibrahim, disebut-sebut akan memenangi jawatan timbalan presiden PKR, menjadikan parti tersebut dikuasai keluarga presiden.

Salah seorang bekas penyokong paling setia Anwar Ibrahim yang bertanggungjawab menggerakkan sokongan kepada pemimpin PKR itu di peringkat awal parti tersebut berkata pergelutan untuk jawatan timbalan presiden ketika ini berkait rapat dengan usaha perdana menteri memastikan beliau kekal berkuasa menjelang "masalah" yang akan dihadapinya pada beberapa bulan akan datang.

Ezam Nor, yang merupakan setiausaha politik ketika Anwar menjadi timbalan perdana menteri pada lewat 90-an, memetik perbicaraan saman sivil yang bakal bermula melibatkan Muhammed Yusoff Rawther, seorang bekas staf di pejabat presiden PKR itu.

Pencalonan anak Anwar, Nurul Izzah, dalam berdepan Rafizi Ramli untuk jawatan kedua tertinggi PKR, kini mencetuskan dakwaan baharu nepotisme dalam parti itu.

Ezam Nor berkata Anwar Ibrahim tidak kisah dengan tuduhan nepotisme memandangkan beliau bakal berdepan kebimbangan lebih besar.
Ezam Nor berkata Anwar Ibrahim tidak kisah dengan tuduhan nepotisme memandangkan beliau bakal berdepan kebimbangan lebih besar.

Ezam berkata walaupun Anwar boleh dengan mudah menghalang anaknya menyertai pemilihan itu dan seterusnya mematahkan serangan nepotisme terhadapnya, beliau mempunyai pertimbangan lain yang lebih penting.

Katanya, Anwar sedia maklum tentang kritikan yang semakin meningkat di kalangan akar umbi parti berhubung pencalonan anaknya.

"Dia tak tahu orang akan maki anak dia? Dia tahu semua ni. Tapi mengapa dia buat? Kerana tidak ada pilihan. He has no choice. Sebab apa? Sebab dia banyak masalah. Dia ada banyak masalah. Masalah yang kita nampak. Case Yusoff Rawther, anak kepada kawan dia, guru dia, cucu kepada guru dia, S M Idris," kata Ezam dalam ceramah di majlis anjuran PAS di Terengganu baru-baru ini.

Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal, Allahyarham SM Mohamed Idris, berdepan pertuduhan berkait senjata api dan dadah selepas serbuan kontroversi oleh sepasukan polis tahun lalu, seminggu selepas dia menyerahkan senarai saksi berhubung kes saman serangan seksualnya terhadap Anwar.

Kes tersebut akan dibicarakan pada 16 Jun. Anwar telah menafikan dakwaan terhadapnya.

Anwar yang kini berdepan dakwaan nepotisme bagaimanapun tidak membantah pencalonan anaknya dalam pemilihan parti, yang menyaksikan kebanyakan cabang dan pemimpin kanan menyatakan sokongan kepada beliau.

Keadaan itu menyebabkan ramai menjangkakan Rafizi akan tewas kepada Nurul Izzah.

Kedua-dua mereka kini aktif berkempen hampir setiap malam dalam jelajah ceramah di seluruh negara.

Di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat bahawa politik Malaysia menuju jalan yang tidak sihat apabila parti yang memerintah dikuasai sebuah keluarga, Anwar masih tidak memberikan sebarang respons.

Ezam, individu yang satu masa dulu dianggap seperti ahli keluarga Anwar dan bertanggungjawab membawa masuk Rafizi ke dalam parti, berkata menjadikan Nurul Izzah sebagai timbalan presiden adalah cara Anwar memperkasakan posisi anaknya untuk menerajui parti, seperti mana beliau pernah memastikan isterinya menjadi presiden semasa menjalankan hukuman penjara.

Bagaimanapun, Ezam berkata dalam keadaan PKR kini memegang tampuk kuasa di peringkat persekutuan, negara sedang menuju situasi yang berbahaya.

"Ada yang kata Nurul Izzah itu capable (berkemampuan), dia competent (cekap), dia boleh jadi timbalan presiden, apa masalahnya? 

"Dia jadi timbalan presiden, masalahnya dia anak presiden. Presiden bapa dia, bapa presiden (dan) anak timbalan presiden. Dalam dunia tak pernah berlaku," katanya.

Ezam berkata walaupun wujud pemimpin politik yang digantikan anak mereka, mereka tidak secara rasmi diberikan jawatan nombor dua itu ketika ibubapa mereka masih berkuasa.

Beliau memberi contoh bekas perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong, anak kepada mendiang Lee Kuan Yew, yang tidak dilantik menggantikan bapanya walaupun dilihat sangat berkebolehan ketika itu.

Sebaliknya, Hsien Loong terpaksa menunggu sehingga Goh Chok Tong menamatkan penggalnya.

Ezam turut menolak hujah penyokong setia Anwar bahawa tidak ada salahnya Nurul Izzah menduduki jawatan di samping bapanya kerana beliau memenangi pemilihan.

"Ada yang kata ini bukan nepotisme sebab dia dipilih, bukan dilantik. Macam-macam lah alasan. Saya kata, ya lah dia dipilih. Dia dipilih oleh siapa? Oleh perwakilan mana? Perwakilan PKR. Siapa presiden PKR? Bapa dia. Siapa yang bagi watikah kepada orang PKR yang nak jadi calon? Presiden PKR. Siapa presiden PKR? Bapa Nurul Izzah."

'Siapa berani menentang anak presiden?'

Ezam berkata pemimpin PKR tidak berani menentang Nurul Izzah kerana mengharapkan dapat bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum.

Rafizi Ramli dilihat semakin lantang mengkritik Anwar Ibrahim sejak anak presiden PKR itu mencabarnya untuk jawatan timbalan presiden.
Rafizi Ramli dilihat semakin lantang mengkritik Anwar Ibrahim sejak anak presiden PKR itu mencabarnya untuk jawatan timbalan presiden.

"Sebab yang sign watikah itu bapa Nurul Izzah. Itu nepotisme. Walaupun dia dipilih tapi dia dipilih oleh kelompok mereka yang terbelenggu dengan kepentingan yang dipegang oleh seorang presiden. 

"Jadi tak betul. Tak boleh. Cara apa pun dia menang timbalan presiden, Anwar presiden, dia timbalan presiden, cuba bayangkan. Ada masalah Anwar Izzah pertahankan, pertahankan sebagai siapa? Sebagai timbalan presiden? Sebagai anak presiden? Mana garis pemisahnya?"

Dalam pada itu, seorang pemimpin kanan PKR yang sealiran dengan Rafizi berkata pemilihan dalam PKR kini bukan lagi boleh dianggap urusan dalaman kerana parti tersebut menjadi tonggak kerajaan gabungan di mana pemimpinnya menduduki jawatan penting.

Beliau yang juga sebahagian daripada kerajaan dan seorang ahli Parlimen di sebuah kerusi Lembah Klang membidas apa yang disifatkannya "nepotisme terang-terangan" yang berlaku dalam PKR.

"Tak masuk akal anak kepada presiden bertanding jawatan timbalan presiden, dan kemudian berpura-pura kononnya ia satu proses yang adil," kata pemimpin PKR itu kepada MalaysiaNow, yang tidak mahu namanya disiarkan.

"Semua orang tahu, dalam parti ini, orang yang memutuskan calon di peringkat Parlimen dan DUN adalah presiden, dan presiden sahaja yang menandatangani surat watikah.

"Siapa yang berani menentang anak presiden? Ini adalah nepotisme yang terang-terangan, dan melemahkan asas-asas demokrasi."

Seorang lagi watak penting dalam kem Rafizi memberi amaran bahawa sekiranya Nurul Izzah menjadi timbalan presiden, ia menandakan bibit-bibit permulaan dinasti keluarga yang korup dan zalim".

"Dinasti keluarga yang bercorak kuku besi adalah ciri utama di beberapa negara Asia Selatan, sesuatu yang tidak diperlukan oleh Malaysia," tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.