- Iklan -
Rencana

Antara PM mencari kekebalan dan Saidina Ali mohon keadilan

Sekiranya mengganggu tugas PM, jalan yang betul adalah berhenti sementara dari jawatan dan hadir di mahkamah sebagai Anwar Ibrahim.

Mohamad Ezam Mohd Nor
2 minit bacaan
Kongsi

Malaysia dikejutkan semalam dengan berita permohonan imuniti oleh seorang perdana menteri.

Permohonan seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan tidak pernah dilakukan oleh kesemua perdana menteri sebelum ini. Ianya jelas menggambarkan perdana menteri ke-10 ini benar-benar lain dari yang lain.

Orang yang sama juga merupakan satu-satunya perdana menteri yang pernah dibicarakan atas kes jenayah liwat. Ini juga luar biasa dan lain dari yang lain.

Saya menggesa Anwar Ibrahim segera menarik balik permohonan imuniti ini. Sebagai presiden sebuah parti bernama Keadilan, apakah beliau belum cukup faham keadilan itu tempatnya di mahkamah?

Sebagai kerajaan Madani, apakah beliau lupa Saidina Ali mencari keadilan peristiwa baju besinya dicuri di mahkamah? Malah beliau mengingatkan hakim agar melayaninya sama dengan yang lawannya, seorang Yahudi!

Di mahkamah, Saidina Ali sendiri menegur hakim memanggilnya khalifah. Beliau hanya mahu dipanggil "Ali". Berbeza sama sekali dengan PM Malaysia yang menggunakan dan memperalatkan jawatan perdana menteri.

Perdana menteri melalui peguam-peguamnya berhujah bahawa sebagai perdana menteri, perbicaraan akan mengganggu tugasnya sebagai PM dan kestabilan negara. Maka jalan yang betul adalah berhenti sementara dari jawatan dan tugas PM dan hadir di mahkamah sebagai seorang Anwar!

Cukuplah mengheret masalah peribadi untuk rakyat biasa menanggungnya. Sejak 1998, kami rakyat biasa diheret untuk menannggung masalah peribadi kamu.

Saya sendiri lalui dua hukuman penjara dan berbelas lokap. Ramai yang seperti saya, menanggung derita kerana kes peribadi seorang ketua seperti kamu.

Hari ini, kamu menjadi ketua negara dan sanggup mengheret seluruh rakyat dan negara dengan menggunakan jawatan perdana menteri untuk lari dari proses keadilan.

Kalau dulu kamu kata mahkamah tidak adil kerana kamu bukan PM dan kerajaan, sekarang kamu seorang PM, apa lagi alasan kamu?

Seorang PM tidak mampu pastikan mahkamah berjalan secara adil? Itulah sebenarnya tugas kamu. 

Berilah jaminan kepada hakim sepertim ana Saidina Ali beri jaminan kepada hakim yang membicarakannya untuk jalankan tugas secara adil walaupun dia seorang khalifah.

Tarik balik permohonan imuniti dan hadirlah di mahkamah sebagai Anwar Ibrahim yang berdepan dengan Yusof Rawther atas sifat dan nilai yang sama sebagai manusia yang mencari keadilan di hadapan seorang hakim.

Ezam Nor ialah bekas setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.