Menjelang bicara saman serangan seksual, Anwar mohon kekebalan dari Mahkamah Persekutuan
Beliau antara lain berhujah kes sivil terhadapnya boleh menjejaskan peranannya dalam menjalankan tugas sebagai perdana menteri lantikan Agong.
Terkini
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membawa soal kekebalannya dari tindakan sivil terhadapnya ke Mahkamah Persekutuan menjelang bicara saman serangan seksual yang akan bermula bulan depan, menurut dokumen yang difailkan di mahkamah.
Peguamnya yang baru dilantik, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, turut memohon penangguhan perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 16 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther, yang pernah bekerja di pejabat banglo Anwar di Petaling Jaya, mendakwa pemimpin PKR itu menyerangnya secara seksual pada Oktober 2018, iaitu beberapa hari sebelum memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.
Yusoff kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh selepas didakwa dengan tuduhan dadah dan senjata api susulan serbuan kontroversi polis ke atas kenderaannya pada September tahun lalu.
Pemuda berusia 33 tahun itu telah berulang kali menafikan tuduhan terhadapnya, dan menyatakan beliau menjadi mangsa mereka yang berkuasa dengan menamakan Anwar dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador sebagai antara pihak yang menyimpan dendam terhadapnya.
Dalam afidavit baharu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, peguam Anwar Megat Munir memohon penangguhan bicara kes saman Yusoff sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan berkenaan beberapa persoalan perlembagaan dan implikasi undang-undang.
Memetik Perkara 39, 40 dan 43 perlembagaan yang berkait dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada "seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan sivil berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya", sambil menambah saman sivil tersebut akan "menjejaskan keupayaan beliau untuk melaksanakan fungsi eksekutif dengan berkesan".
Anwar juga memohon mahkamah memutuskan persoalan sama ada dalam membenarkan sesebuah tindakan saman sivil melibatkan dakwaan terhadapnya sebelum menduduki jawatan akan "menjejaskan kestabilan sebuah institusi teras kerajaan".
Soalan-soalan lain dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan membabitkan kesan terhadap maruahnya di sebalik "litigasi yang menyusahkan yang disusun secara strategik atau diperalatkan secara politik bagi menjejaskan keupayaan beliau untuk mentadbir".
Beliau turut merujuk kepada tanggungjawab mahkamah "melindungi kebebasan dan maruah seorang penyandang jawatan awam daripada tindakan litigasi yang boleh menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan tugas-tugas awam, dalam keadaan tiada jenayah dibuktikan".
Di bawah Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong dan sultan sesebuah negeri yang kebal daripada tindakan sivil atau jenayah atas kapasiti peribadinya, melainkan tindakan itu mendapat kebenaran peguam negara.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.