- Iklan -
Berita

Ucapan ‘Merry Christmas’ boleh jejaskan penganugerahan sijil halal, kata Jakim

Ia sudah ditulis dalam manual prosedur untuk mendapatkan sijil halal.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ucapan perayaan agama selain Islam pada produk boleh menyebabkan penganugerahan sijil halal tidak sah. Gambar: AFP
Ucapan perayaan agama selain Islam pada produk boleh menyebabkan penganugerahan sijil halal tidak sah. Gambar: AFP

Badan kerajaan yang mengurus pensijilan halal memberitahu ucapan perayaan agama selain Islam pada produk boleh menyebabkan penganugerahan sijil halal tidak sah, satu kenyataan yang berupaya menimbulkan perdebatan mengenai dasar yang dilihat sebagai regresif terhadap identiti Malaysia yang berbilang kaum.

Seorang pegawai kanan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, terdapat syarat tersebut yang perlu diikuti sebelum sesebuah syarikat atau premis makanan dianugerahkan sijil halal.

Hari ini, MalaysiaNow melaporkan sebuah kedai kek menolak permintaan seorang pelanggan untuk menulis ucapan “Merry Christmas” di atas sebiji kek yang dipesan untuk dihantar kepada rakannya, kerana kedai itu dalam proses untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim.

Sebaliknya, ucapan “Selamat Bercuti” ditulis pada kek tersebut.

“Dia (kedai kek) tak salah sebab dah tulis dalam manual domestik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau merujuk kepada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik, Bahagian IV, di bawah perkara No. 6 (C) Pembungkusan, Pelabelan dan Pengiklanan yang menyebut:

“Pelabelan serta pengiklanan produk dan perkhidmatan hendaklah tidak menggunakan pernyataan, lambang, istilah atau nama yang berunsurkan keagamaan dan ketuhanan seperti nama-nama Allah, makanan sunnah, dewa dan sebagainya.”

Ucapan “Merry Christmas” sering kali menjadi subjek perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila segelintir golongan pendakwah melarang orang Islam mengucapnya kerana ia dikatakan memuja agama Kristian.

Tetapi ini adalah pertama kali diketahui ucapan tersebut turut boleh mempengaruhi status halal rasmi sesuatu produk.

Terdahulu, seorang pelangan yang enggan dikenali mengatakan ia merupakan pengalaman pertama beliau apabila berdepan masalah tersebut.

“Tetapi kali ini, pihak pengurusan memohon maaf kepada saya dengan mengatakan ia sebahagian daripada syarat ketika proses audit,” tambahnya.

Jakim merupakan badan tunggal dalam menganugerahkan sijil halal kepada barangan dan makanan serta restoran di seluruh negara.

Pada masa lalu, pengkritik bertindak mempersoalkan beberapa syarat yang ditetapkan Jakim kepada pengeluar makanan dan francais yang ingin memperoleh sijil perakuan halal, termasuk melarang pengunaan nama-nama tertentu pada produk tersebut.

Francais terkemuka Auntie Anne’s dan restoran makanan segera A&W pernah dipaksa menukar nama produk terkenal mereka kerana syarat ditetapkan Jakim melarang pengunaan perkataan seperti “dog” dan “beer” pada menu mereka.

Disebabkan itu, Auntie Anne’s menamakan semula produk “pretzel dog” kepada “pretzel sausage”, manakala A&W terpaksa menukar dua menu popular mereka yang dikenali seluruh dunia: Coney Dog dan Root Beer, menjadi Coney Chicken (atau Beef) dan RB.