- Iklan -
Berita

Gabungan hak asasi antarabangsa beri markah rendah kepada kerajaan Anwar

Civicus menyenaraikan siri pencabulan hak menerusi penggunaan pelbagai undang-undang zalim.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis pro-Palestin Harmit Singh ditahan polis atas alasan mendekati bangunan kedutaan AS di Kuala Lumpur pada 24 Feb lalu. Gambar: Facebook
Aktivis pro-Palestin Harmit Singh ditahan polis atas alasan mendekati bangunan kedutaan AS di Kuala Lumpur pada 24 Feb lalu. Gambar: Facebook

Sebuah pakatan global kumpulan masyarakat sivil menyifatkan ruang demokrasi di Malaysia sebagai "terhalang", menyenaraikan beberapa tangkapan dan gangguan oleh pihak berkuasa dengan menggunakan pelbagai undang-undang drakonian, dalam kritikan terkini terhadap kerajaan campuran Anwar Ibrahim.

Civicus, sebuah pakatan antarabangsa yang mengumpulkan kesatuan sekerja, badan keagamaan, persatuan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan, berkata kerajaan Malaysia gagal mempertahankan hak asasi manusia di dalam negara.

Ia memberikan contoh cubaan menutup pandangan berbeza yang dimuat naik dalam talian dan gangguan terhadap aktivis dan penunjuk perasaan aman.

"Laman web dan blog berita yang mengkritik (kerajaan) disekat. Penunjuk perasaan aman terus diheret polis untuk disoal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman. Malaysia juga masih belum meratifikasi Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik," kata kumpulan itu, yang turut memperincikan siri pencabulan hak oleh kerajaan dalam laporannya.

Ia susulan proses Tinjauan Periodik Universal mengenai situasi hak asasi manusia di Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang turut dianggotai Malaysia, yang membuat 348 syor.

Civicus berkata walaupun terdapat gesaan agar negara anggota menambah baik ruang demokrasi, pihak berkuasa di Malaysia telah bertindak menangkap penunjuk perasaan aman, memberikan contoh tangkapan di sebuah perhimpunan pro-Palestin dan perarakan wanita.

Katanya, pihak berkuasa juga menyiasat pembuat filem dan lain-lain dengan mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, di samping mengganggu mereka yang memuat naik komen dalam talian.

Laporan itu menyatakan Akta Hasutan digunakan dalam 28 kes pada 2023, iaitu peningkatan 65% daripada 17 kes pada 2022.

Kumpulan hak asasi manusia tempatan Suaram sebelum ini melaporkan 97 individu telah disiasat, ditangkap, didakwa atau disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia berikutan komen dan siaran yang dibuat dalam talian.

Mereka termasuk penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, bekas ahli Umno Zool Amali Hussin dan ahli akademik Teo Kok Seong yang menjadi sasaran selepas memberikan pandangannya mengenai sekolah jenis kebangsaan.

Laporan Civicus ini diterbitkan tidak lama selepas satu lagi laporan yang membidas rekod hak asasi manusia kerajaan Malaysia.

Awal bulan ini, Human Rights Watch memperincikan layanan terhadap pendatang dan pelarian yang ditahan di pusat tahanan yang disifatkan sebagai bahaya dan kotor, di mana mereka dinafikan keperluan asas dan kadangkala diseksa.

Pakatan Harapan pimpinan Anwar, yang memimpin kerajaan campuran yang ditubuhkan bersama Barisan Nasional, telah dikritik kerana siri pusingan-U mengenai reformasi yang dijanjikan.

Baru-baru ini, kerajaan dikecam pelbagai pihak kerana cubaan menafikan kerakyatan automatik kepada bayi terdampar dan anak tanpa kerakyatan, memaksa Kementerian Dalam Negeri menangguhkan pembentangan rang undang-undang mengenainya.

"Kita semua tunggu pembaharuan yang lain. Tetapi apa yang mereka lakukan? Mereka nak kenakan bayi!," kata aktivis Ambiga Sreenevasan baru-baru ini.

Peguam yang pernah mengetuai protes Bersih menuntut reformasi institusi dengan sokongan pemimpin PH, berkata adalah "memalukan" gabungan itu kini memperkenalkan undang-undang regresif.