- Iklan -
Berita

'Memalukan', Ambiga bidas PH teruskan pinda undang-undang kerakyatan

Bekas presiden Majlis Peguam beri amaran kepada kerajaan supaya tidak mengganggu gugat Perlembagaan Persekutuan dengan menafikan hak kerakyatan yang sudah termaktub.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Latheefa Koya, Ambiga Sreenevasan (tiga dari kiri) dan N Surendran (paling kanan) bersama empat individu tanpa kerakyatan pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Latheefa Koya, Ambiga Sreenevasan (tiga dari kiri) dan N Surendran (paling kanan) bersama empat individu tanpa kerakyatan pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Sekumpulan peguam dan aktivis hari ini menyertai bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk membatalkan hak kewarganegaraan bagi bayi dan kanak-kanak terbiar, menjelang pembentangan pindaan perlembagaan yang semakin mendapat kecaman pelbagai pihak.

Mereka mengutuk tindakan Pakatan Harapan (PH) itu sebagai "memalukan" sedangkan sebelum ini mengemukakan pelbagai janji reformasi ketika berada di pihak pembangkang.

Bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan berkata adalah memalukan bagi kerajaan PH meneruskan pindaan sedemikian dan menggesa mereka menumpukan usaha melaksanakan reformasi institusi seperti yang dijanjikan.

"Mereka fikir mereka boleh ubah apa sahaja yang mereka mahu. Mereka mesti dihalang," kata Ambiga, yang pernah mempengrusikan gabungan Bersih, dalam sidang media bersama yang turut dihadiri bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya dan bekas ahli Parlimen PKR, N Surendran.

"Kita semua tunggu pembaharuan yang lain. Tetapi apa yang mereka lakukan? Mereka nak kenakan bayi!" kata Ambiga, merujuk kepada lima daripada cadangan pindaan yang mencetuskan bantahan pelbagai pihak kerana menghapuskan hak kewarganegaraan automatik untuk kanak-kanak terbiar.

Sementara itu, Latheefa menyelar kerajaan kerana meneruskan pindaan itu walaupun sebelum ini berjanji untuk menyelesaikan isu golongan tiada kerakyatan.

"Kerajaan yang ada hari ini bukan sahaja berjanji bahkan mereka turun protes pada 2012 dan 2018 di mana manifesto mereka secara terang-terangan menyentuh isu mengenai golongan tanpa kerakyatan," kata peguam hak asasi itu yang merupakan sebahagian daripada Lawyers for Liberty (LFL) yang memperjuangkan hak orang tanpa kerakyatan.

Latheefa turut mengecam pemimpin kerajaan yang menurutnya cuba mengaitkan raja-raja dalam isu pindaan itu. 

"Jangan cuba desak pindaan ini dengan mengatakan anda berada di bawah tekanan istana. 

"Jangan libatkan raja-raja dalam hal ini," tambahnya.

Apa yang menjadi fokus bantahan ialah cadangan kerajaan meminda  Seksyen 1(b), 1(c) dan Bahagian II Jadual Kedua, yang telah dipakejkan bersama-sama satu lagi pindaan yang dialu-alukan, iaitu memberikan wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing hak sama rata dalam hal kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara. 

Rancangan itu dibantah keras kumpulan hak asasi manusia termasuk yang memperjuangkan hak ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negara ini, yang dinafikan kewarganegaraan walaupun dilahirkan kepada ibu bapa Malaysia.

Jika diluluskan, ia akan menghapuskan pemberian kerakyatan secara automatik kepada bayi terbiar atau anak yatim yang dilahirkan di negara ini, yang ibu atau ibu bapanya tidak dapat dikesan, manakala nasib mereka yang sebelum ini memenuhi syarat mendapat kerakyatan di bawah perlembagaan akan ditempatkan di bawah budi bicara menteri dalam negeri.

Pengkritik berkata walaupun dengan wujudnya peruntukan kewarganegaraan automatik, beribu-ribu orang masih hidup menderita sebagai orang tanpa kerakyatan - dinafikan perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan dan peluang pekerjaan - di samping anak yatim dan anak-anak terbiar, yang sebahagian besar dilahirkan di luar nikah, dijadikan mangsa seumur hidup.

Mereka memberi amaran sekiranya peruntukan kewarganegaraan itu dihapuskan, ia akan mengeluarkan jaringan keselamatan terhadap anak yatim dan kanak-kanak lain yang dinafikan kewarganegaraan, seterusnya mewujudkan sebuah kelas baru golongan tanpa kerakyatan.

'Jangan ganggu gugat perlembagaan'

Ambiga berkata kerajaan supaya berhenti "mengganggu gugat perlembagaan".

"Saya menyeru sekeras-kerasnya mereka menarik balik pindaan ini." 

Latheefa dalam pada itu mempersoalkan sama ada dengan pindaan tersebut mampu mengangkat idea "Madani", slogan cetusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. 

Tambahnya, sehingga kini tiada seorang menteri mahupun ahli Parlimen di pihak kerajaan yang bangkit menolak pindaan tersebut daripada dibentangkan di Parlimen, sedangkan sebelum ini lantang menentang penindasan golongan tiada kerakyatan.