- Iklan -
Berita

'Satu...dua...tiga!' Rakaman audio panggilan telefon bongkar saat tiga lelaki ditembak mati polis

Analisis forensik klip audio itu bercanggah dengan dakwaan polis bahawa tiga lelaki itu ditembak kerana menyerang salah seorang pegawai.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Peguam Rajesh Nagarajan menunjukkan laporan berita memetik Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar yang mendakwa ketiga-tiga pemuda ditembak mati pada 24 Nov atas dasar mempertahankan diri.
Peguam Rajesh Nagarajan menunjukkan laporan berita memetik Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar yang mendakwa ketiga-tiga pemuda ditembak mati pada 24 Nov atas dasar mempertahankan diri.

Rakaman audio detik cemas ketika tiga pemuda ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu telah didedahkan peguam hari ini, menjadikannya bukti kritikal yang mencabar dakwaan polis bahawa tembakan dilepaskan atas dasar mempertahankan diri selepas salah seorang lelaki itu menyerang seorang anggota polis.

Rakaman audio kejadian yang dianalisa secara forensik itu didedahkan oleh peguam yang mewakili keluarga Puspanathan Murulitharan, 21, Poonesvaran Tiagarajan, 24, dan Logeswaran Georgie, 29, tiga pemuda yang menurut polis bersenjatakan parang dan merupakan antara penjenayah yang "sangat dikehendaki".

Beberapa jam selepas kejadian itu, Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar memberitahu media bahawa salah seorang anggota polis telah dilibas dengan parang sebelum tembakan dilepaskan.

""Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan tembakan dan ketiga-tiga suspek meninggal dunia di lokasi kejadian," kata Dzulkhairi pada 24 November, sambil menambah polis turut menjumpai tiga bilah parang, satu alat pemotong besi, tiga topeng muka dan tiga sarung tangan.

Ketika kejadian, Logeswaran baru sahaja menelefon isterinya, Jeyasri Manoharan, di mana dia memberitahu tiga kenderaan sedang mengekori kereta mereka ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur di Lebuhraya Utara-Selatan.

Bagaimanapun, panggilan telefon mereka belum ditamatkan, dan Jeyasri mendengar dan merakam selebihnya apa yang berlaku, bermula dari saat polis mengeluarkan mereka dari kereta hingga ketika seorang anggota membuat kiraan sebelum tembakan kedengaran.

Rakaman audio itu berlangsung selama 13 minit dan 53 saat.

Jeyasri Manoharan, balu kepada Logeswaran Georgie, bersama anak mereka pada sidang akhbar di pejabat Lawyers for Liberty, Petaling Jaya.
Jeyasri Manoharan, balu kepada Logeswaran Georgie, bersama anak mereka pada sidang akhbar di pejabat Lawyers for Liberty, Petaling Jaya.

Sebuah organisasi, Hindu Agamam Ani Malaysia, kemudiannya menyerahkan klip rakaman itu kepada sebuah firma siasatan forensik untuk menganalisis audio, meningkatkan kejelasannya, menyalin perbualan, dan menyediakan konteks senario yang dirakam.

"Satu, dua, tiga, tarik, tarik," seorang lelaki yang dipercayai pegawai polis kedengaran berkata dalam klip tersebut, yang dimainkan peguam kepada media hari ini.

"Ah, ini, matikan, matikan, ini evidence (bukti), matikan," menurut suara di penghujung rakaman. 

"Eh, ini Loges punya...Jap, jap, jap, jap."

Sachpreetraj Singh.
Sachpreetraj Singh.

Bercakap kepada pemberita, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh menuntut polis Bukit Aman menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kejadian itu, termasuk menjalankan siasatan pembunuhan.

"Tiada kelewatan yang boleh diterima," kata Sachpreetraj.

Menurutnya, semua pegawai yang terlibat, serta mana-mana pihak yang cuba menutupnya dengan "naratif palsu", perlu digantung tugas dengan serta-merta.

"Tiada pegawai, sama ada berpangkat tinggi atau tidak, yang boleh dilepaskan daripada tanggungjawab."

Sementara Rajesh berkata tidak masuk akal sekiranya polis sendiri menyiasat kejadian itu.

Beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk segera membincangkan kes itu dan menubuhkan siasatan bebas.

"Kami mahu pegawai polis yang melakukan pembunuhan itu didakwa. Mereka mesti diheret ke mahkamah, mereka mesti dihukum penjara. Hanya kerana memakai pakaian seragam polis tidak bermakna mereka berhak membunuh orang awam."

Dakwaan penemuan senjata: 'Tiada tanda kejutan'

Dalam laporan yang merangkumi transkrip rakaman berserta nota sampingan, pakar forensik gagal menemui petanda penemuan senjata seperti yang didakwa oleh polis.

"Tiada reaksi, kejutan, atau perbualan yang jelas menunjukkan senjata ditemui, mahupun perbincangan mengenai barang-barang tersebut, atau sebarang luahan rasa terkejut oleh pegawai apabila dikatakan menemui senjata berbahaya," kata Thistlegorm Forensic MY Sdn Bhd dalam laporannya.

"Audio ini tidak mengesahkan atau menolak kehadiran barang-barang ini; tetapi ia langsung tidak menunjukkan perbincangan yang mencerminkan penemuan itu berlaku dalam tempoh masa yang direkodkan," tambahnya.

Laporan itu juga mempersoalkan dakwaan polis bahawa salah seorang lelaki itu telah melibas seorang pegawai dengan parang, dan mencederakan lengan kirinya.

Ia mengatakan dakwaan itu tidak konsisten dengan suara pemuda-pemuda itu "yang meluahkan ketakutan dan ketidakupayaan", sambil menambah bahawa tiada suara "jeritan kesakitan daripada anggota polis", atau sebarang tanda menunjukkan seseorang pegawai baru telah dicederakan.

Tambahnya, garis masa audio itu mencadangkan bahawa ketiga-tiga mereka "nampaknya telah ditahan hampir sejurus selepas kenderaan mereka tidak terhenti, tanpa urutan yang boleh didengar yang sepadan dengan dakwaan serangan parang".