- Iklan -
Berita

Polis diingatkan jangan tutup siasatan pengiring TMJ serang pemandu OKU

Peguam hak asasi berkata terdapat percanggahan antara dua kenyataan polis berhubung insiden itu.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Hotel St Regis, di mana seorang pengawal peribadi putera Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim didakwa menyerang seorang pemandu e-hailing kurang upaya.
Hotel St Regis, di mana seorang pengawal peribadi putera Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim didakwa menyerang seorang pemandu e-hailing kurang upaya.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) berkata polis terikat di bawah undang-undang untuk menyiasat semua kesalahan jenayah, susulan kenyataan bercanggah dikeluarkan dua pegawai kanan polis mengenai aduan seorang pemandu e-hailing kurang upaya melibatkan seorang pengawal peribadi pemangku sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengesahkan polis memulakan siasatan terhadap aduan lelaki berusia 46 tahun itu. 

Bagaimanapun, ia disusuli kenyataan ketua polis Kuala Lumpur yang memaklumkan kes itu telah "diselesaikan secara baik" dan pihak pengadu tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. 

"Kedua-dua pengumuman polis ini bercanggah antara satu sama lain. Apakah siasatan ini masih berlaku atau tidak? 

"Kenyataan ketua polis KL menunjukkan seolah-olah tidak," kata pengarah LFL, Zaid Malek.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk memastikan tidak akan berlaku apa-apa campur tangan dalam siasatan kes tersebut. 

"Kami menuntut agar polis meneruskan siasatan dalam kes ini. 

"Ia mestilah siasatan yang menyeluruh, tidak berat sebelah dan bebas. Perkara ini melibatkan kepentingan orang awam," katanya. 

Zaid membandingkan sikap polis ketika menyiasat kes terhadap individu yang dituduh menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja), di mana tangkapan dilakukan dengan segera terhadap beberapa individu.

"Sukar untuk tidak membuat perbandingan dan mempersoalkan mengapa pihak polis tidak menunjukkan semangat yang sama dalam kes ini."

Pada Selasa, seorang pemandu e-hailing membuat laporan polis mendakwa dipukul pengawal peribadi TMJ ketika menunggu penumpang di Hotel St Regis, Kuala Lumpur. 

Dia mendakwa ditumbuk di kepala selepas diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Polis turut merampas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan dan kamera dashcam dari kereta mangsa.

Semalam, Pengarah JSJ Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pada hari yang sama, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa memaklumkan pengadu membuat laporan polis kedua untuk menyatakan bahawa dia tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.

Sehingga kini, tiada perkembangan terbaru dari pihak polis sama ada siasatan kes tersebut digugurkan atau tangkapan dibuat. 

Ia mengundang kenyataan daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, mengingatkan polis bertanggungjawab meneruskan siasatan tanpa mengira sama ada mangsa menarik balik laporannya atau tidak. 

"Tidak kira yang menyerang itu orang atasan atau pegawai peribadi orang atasan hatta bertugas sebagai pegawai atau pengawal peribadi kaum kerabat raja hatta bertugas dengan raja atau Sultan memerintah negeri atau Yang Di-Pertuan Agung sekalipun maka kesalahan jenayah terhadap rakyat biasa lebih-lebih golongan lemah OKU tidak boleh dipandang ringan," kata Hassan.

Sementara itu, Zaid mempersoalkan alasan di sebalik kenyataan polis mengenai laporan kedua oleh mangsa berkenaan.  

"Adakah ianya dikeluarkan untuk mewajarkan pemberhentian siasatan terhadap kes itu?"

Beliau berkata pihak yang terlibat dalam kes jenayah tidak boleh menutup kes hanya kerana “penyelesaian” mereka.

"Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 mempertanggungjawabkan PDRM memelihara keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan jenayah serta menangkap dan mendakwa pesalah."

Ujarnya lagi, jika siasatan terhadap kesalahan jenayah boleh digugurkan hanya kerana mangsa menarik balik laporan, ia akan membolehkan mereka yang berkuasa memaksa rakyat biasa menarik balik sesuatu laporan. 

"Ia akan membawa kepada kerosakan sistem keadilan jenayah kita, menjadikan undang-undang jenayah sebagai sandiwara semata-mata."

Ia bukan kes pertama melibatkan pengawal peribadi TMJ.

Pada 2012, seorang anggota pasukan keselamatan TMJ didenda RM10,000 selepas didapati bersalah memeras ugut RM40,000 daripada seorang ahli perniagaan.