- Iklan -
Berita

'Dulu kami sokong': Himpunan raksasa gesa Anwar turun serlahkan suara kecewa bekas penyokong

Rata-rata peserta yang hadir berkata orang yang pernah mereka sanjung telah memungkiri janji.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan sebahagian lautan manusia yang membanjiri jalan raya sepanjang Dataran Merdeka, dan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad yang sedang menjalani kerja pembaikan.
Pemandangan sebahagian lautan manusia yang membanjiri jalan raya sepanjang Dataran Merdeka, dan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad yang sedang menjalani kerja pembaikan.

Perhimpunan terbesar membantah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, malah ia dilihat melangkau batas parti politik apabila ahli Umno juga turut hadir dengan pelbagai kain rentang "Turun Anwar".

Perbualan MalaysiaNow dengan peserta mendapati satu pandangan yang hampir seragam: Anwar menyimpang daripada prinsip perjuangan asal, gagal menangani isu kos sara hidup, dan memungkiri janji reformasi institusi.

Kritikan itu meningkat selepas pelaksanaan cukai baharu bermula 1 Julai lalu, yang menyebabkan kenaikan harga lebih 5,000 barangan dan perkhidmatan import termasuk dalam sektor kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan swasta.

Ia ditambah dengan pemotongan subsidi pukal untuk bahan api diesel dan beberapa barangan lain.

Bagi pemilik kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Dil, 54 tahun, semalam adalah kali pertama merasai pengalaman menyertai perhimpunan membantah kerajaan.

Menurutnya, pendapatan semakin merosot selepas kenaikan kadar cukai barang dan perkhidmatan (SST) kepada 8%.

“Dasar kerajaan betul-betul menyekat kami peniaga kecil,” katanya ditemui di perhimpunan semalam yang menyaksikan kehadiran puluhan ribu di beberapa lokasi, sebelum tamat di Dataran Merdeka.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk peningkatan kos sara hidup, pemotongan subsidi, campur tangan dalam institusi kehakiman serta kegagalan melaksanakan janji reformasi.

Penganjur mengisytiharkan perhimpunan itu berjaya mencapai sasaran dengan kehadiran 300,000 orang.

Beberapa laporan media meletakkan jumlah yang hadir di Dataran Merdeka kira-kira 25,000 orang, manakala polis pula mendakwa 15,000 orang.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian MalaysiaNow di beberapa lokasi utama, jumlah yang hadir dianggarkan 100,000 orang.

Sazali Mokhtar, 51, yang mengendalikan sebuah gimnasium, bersetuju.

"Orang tak mampu datang ke gim. Sekarang semua harga naik, jadi mereka utamakan keperluan asas," katanya.

Sebahagian peserta Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai yang menyifatkan diri mereka ahli 'Umno original'.
Sebahagian peserta Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai yang menyifatkan diri mereka ahli 'Umno original'.

Apa yang menarik, mereka berdua menyifatkan diri mereka ahli "Umno original", istilah merujuk kepada ahli atau penyokong Umno yang mendakwa berpegang kepada perjuangan asal parti dan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Anwar adalah bekas banduan. Bagaimana kami boleh terima bekas banduan sebagai perdana menteri kami?" soal Sazali.

Mereka mendakwa ramai lagi ahli "Umno original" menyertai perhimpunan itu. 

TurunAnwar_zulaikhaZulaikha Zaidi, 29, (kiri) dari Muar, Johor, pernah menyertai perhimpunan Bersih 5.0 pada 2016.

Kini, kekecewaan terhadap Anwar mendorongnya menyertai himpunan "Turun Anwar".

"Dulu saya sokong Anwar. Sekarang saya sendiri tak percaya dia orang yang sama. Banyak perkara yang dia kritik kerajaan dahulu, kini dia pula yang lakukan. Bagi saya, ini satu pengkhianatan," katanya.