- Iklan -
Berita

Anwar tunggu puak mana ambil alih Amanah sebelum umum rombakan Kabinet, pengganti Salahuddin

Perdana menteri memilih untuk menunggu keputusan pemilihan Amanah yang menyaksikan pertembungan dua puak berlainan fahaman.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dikatakan tidak berminat melantik sekutu Mohamad Sabu menggantikan Salahuddin Ayub di sebalik persepsi negatif mengenai prestasi presiden Amanah itu menjelang pemilihan parti bulan ini. Gambar: Facebook
Anwar Ibrahim dikatakan tidak berminat melantik sekutu Mohamad Sabu menggantikan Salahuddin Ayub di sebalik persepsi negatif mengenai prestasi presiden Amanah itu menjelang pemilihan parti bulan ini. Gambar: Facebook

Kegagalan Anwar Ibrahim melantik menteri menguruskan kos sara hidup walaupun selepas lebih empat bulan kematian penyandangnya ada kaitan dengan keputusan beliau menunggu kesudahan perebutan kuasa yang sedang berlaku dalam Amanah, menurut beberapa sumber Pakatan Harapan (PH) yang mendedahkan kepada MalaysiaNow.

Difahamkan Anwar memilih untuk tunggu dan lihat puak mana dalam Amanah akan berkuasa selepas pemilihan parti bulan ini, sebelum menamakan orang yang akan menggalas tugas sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup bagi menggantikan Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Tindakannya untuk menbuat pertimbangan berdasarkan politik dalaman parti telah menyebabkan jawatan penting itu dibiarkan kosong ketika harga makanan dan kos sara hidup semakin naik, iaitu antara sebab pentadbiran Anwar dilihat semakin hilang sokongan.

Ini disahkan dalam kaji selidik oleh Merdeka Center baru-baru ini, yang mendapati isu berkait kos sara hidup sebagai punca utama populariti kerajaan menjunam menjelang ulang tahun pertama pentadbiran Anwar bulan lepas.

'Team Mat Sabu'

Sumber yang rapat dengan presiden dan pengasas Amanah, Mohamad Sabu, berkata soal siapa pengganti Salahuddin sepatutnya sudah lama selesai kalau bukan kerana perdana menteri yang masih enggan mengangkat Adly Zahari sebagai menteri penuh.

"Adly orang kanan Mat Sabu, tetapi dalam keadaan Abang Mat sendiri dikritik hebat dalam isu krisis beras dan lain-lain, Anwar dinasihatkan untuk tidak meneruskan cadangan itu," kata sumber itu yang merupakan antara kenalan rapat Mohamad.

Adly menjadi ketua menteri Melaka ketika pentadbiran PH yang pertama sehingga gabungan itu tumbang pada awal 2020.

Ahli perniagaan itu dikatakan menjadi orang kuat yang banyak membantu Mohamad ketika bekas pemimpin PAS itu kehilangan semua jawatan politik selepas ditewaskan dalam pemilihan parti Islam itu pada 2015.

"Kedua-dua mereka ini berkongsi fahaman sama, iaitu fahaman sama yang menyebabkan puak mereka kalah dalam pemilihan PAS pada 2015," tambah sumber itu, merujuk kekalahan Mohamad kepada Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan timbalan presiden PAS.

"Fahaman" yang dimaksudkan itu dipercayai merujuk kepada persepsi bahawa Amanah terdiri daripada dua kumpulan berasingan, yang bersatu selepas kehilangan jawatan dalam PAS sehingga membawa kepada pembentukan kumpulan serpihan, yang kemudiannya bertukar menjadi sebuah parti politik.

“Mat Sabu mewakili puak Syiah manakala pemimpin seperti Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad mewakili kumpulan Salafi,” kata individu yang rapat dengan seorang pemimpin Amanah di Perak, merujuk kepada dua mazhab Islam yang saling bertentangan.

Ajaran Syiah diharamkan di Malaysia yang rata-rata umat Islamnya menganut mazhab Sunnah, manakala fahaman Salafi yang dicorakkan atas ajaran Wahabi itu sering tidak disenangi pihak berkuasa agama negara ini.

Pemilihan PAS pada 2015 telah membawa kepada pertelingkahan sengit yang antaranya dikaitkan dengan kecenderungan Mohamad kepada fahaman Syiah, tuduhan yang dinafikan beliau.

Bagaimanapun, selepas timbalan presiden Umno ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka menuduh Mohamad sebagai pengikut Syiah, Kementerian Dalam Negeri menerbitkan senarai yang dikatakan bukti kaitan Mohamad dengan fahaman Syiah.

"Sama ada dia Syiah atau tidak, terpulang kepada anda untuk membuat rumusan sendiri," kata seorang bekas orang kuat Mohamad ketika dihubungi.

Penggal akhir Mat Sabu

Cakap-cakap sama mengenai fahaman dianuti Mohamad kini berulang kembali menjelang pemilihan pucuk kepimpinan Amanah, yang bakal menyaksikan beliau berdepan cabaran sengit daripada puak yang lebih "konservatif".

"Kalau ikutkan perlembagaan parti, ini penggal ketiga dan terakhir untuk Mat Sabu. Terdapat anggapan bahawa orang yang menjadi antara pengasas parti sudah terlalu lama di tampuk kuasa," kata satu lagi sumber dalaman parti.

Ini ditambah dengan rasa tidak puas hati di kalangan puak yang menentang Mohamad apabila pemimpin mereka diketepikan sejak tahun lalu, bermula dengan pilihan raya umum yang menyaksikan ramai diletakkan untuk bertanding di "kerusi tidak selamat".

“Mereka termasuk Khalid yang tumbang di Titiwangsa, dan Mujahid yang tidak dipindahkan dari Parit Buntar walaupun wujud peralihan sokongan yang besar kepada Perikatan Nasional,” kata sumber yang sama merujuk kepada kekalahan dua pengasas Amanah itu, yang juga pernah menyandang jawatan menteri dalam pentadbiran PH sebelum ini di bawah Dr Mahathir Mohamad.

Prestasi Mat Sabu dan kegagalan Amanah

Selain perbezaan fahaman, mereka yang menentang kepimpinan berterusan Mohamad turut mempersoalkan sejauh mana Amanah berjaya mencapai matlamatnya untuk menggantikan PAS sebagai parti pilihan orang Melayu Islam.

"Tujuh tahun telah berlalu, tetapi sampai sekarang kami dianggap budak suruhan DAP. Anggapan ini dikuatkan lagi apabila presiden kami sendiri terpaksa diberikan kerusi selamat oleh DAP," kata seorang pemimpin Amanah dari Klang.

Mohamad Sabu dikritik hebat atas prestasinya sebagai menteri yang menguruskan keterjaminan makanan di tengah-tengah kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan.
Mohamad Sabu dikritik hebat atas prestasinya sebagai menteri yang menguruskan keterjaminan makanan di tengah-tengah kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan.

Walaupun Mohamad dilihat sebagai seorang pemidato hebat di ceramah-ceramah PAS, sejak 2004 beliau tewas tiga kali bertanding di bawah parti itu di kerusi majoriti Melayu di Kedah dan Terengganu.

Selepas keluar dari PAS, Mohamad diberikan tempat untuk bertanding di Kota Raja, salah sebuah kubu kuat DAP di Selangor pada pilihan raya 2018, yang menyaksikan beliau kembali ke Dewan Rakyat selepas 14 tahun.

Seorang pemimpin Amanah yang mengaku berkecuali berkata semakin ramai yang mula menganggap Mohamad merupakan beban kepada parti itu.

“Semua orang tahu mengenai prestasinya sebagai menteri,” katanya merujuk kepada portfolio Mohamad sebagai menteri pertanian dan keterjaminan makanan.

"Selain gagal membawa apa-apa cadangan bernas ke arah menamatkan kebergantungan kepada import makanan, krisis beras mengesahkan ketidakupayaannya," tambahnya.

Sementara itu, seorang bekas ahli parlimen PKR berkata keengganan Anwar untuk melantik Adly bagi menggantikan Salahuddin memberikan gambaran perdana menteri menyokong puak yang mana dalam Amanah.

"Buat masa ini, bukan menjadi kepentingannya untuk menyokong Mat Sabu. Maka dia memilih sikap tunggu dan lihat puak mana yang akan berkuasa."

Bagaimanapun, wujud spekulasi Mohamad masih mampu mengekalkan jawatan presiden untuk penggal terakhir atas ihsan ahli Amanah, walaupun di sebalik populariti yang merudum.

“Tetapi ada kemungkinan dia bakal dikelilingi mereka yang bukan dalam pasukannya.

"Inilah sebabnya Anwar mahu tunggu dan lihat sebelum membuat rombakan Kabinet yang sudah lama tertangguh," kata bekas ahli Parlimen itu.