- Iklan -
Berita

Tetapkan definisi 'mewah' sebelum laksana cukai barang mahal, kata pakar

Tanpa definisi tetap, skop cukai mungkin berubah dari semasa ke semasa, menjejaskan lebih banyak barang dan semestinya pengguna, kata mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melintasi paparan iklan digital di Bukit Bintang.
Orang ramai melintasi paparan iklan digital di Bukit Bintang.

Pakar percukaian mahu takrifan barangan mewah diwujudkan sebelum pelaksanaan cukai kemewahan seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini. 

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia Mohd Fairuz A Razak berkata, di negara membangun seperti Malaysia, kemudahan paling asas seperti elektrik, pengangkutan udara dan pakaian tertentu boleh dianggap secara subjektif. 

"Jika cukai mewah mesti diperkenalkan secara mutlak, takrifan atau pengkategorian yang jelas bagi barangan mewah hendaklah diwujudkan. 

“Variasi dan ketidakkonsistenan dalam definisi ‘mewah’ wujud dari negara ke negara," katanya kepada MalaysiaNow.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Beliau sebaliknya mengumumkan cukai kemewahan dan kenaikan cukai pendapatan sebanyak 0.5% sehingga 2% untuk golongan dalam kategori pendapatan RM100,000 hingga RM1 juta.

Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim kemudiannya berkata kenaikan kadar cukai hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memperoleh pendapatan bercukai RM230,000 dan ke atas setahun.

Cukai kemewahan merujuk kepada cukai yang dikenakan terhadap barangan yang dianggap mahal, tidak perlu dan tidak penting. 

Barangan itu termasuklah kereta mahal, jet peribadi, kapal layar dan barang kemas.

Sebagai contoh, katanya di United Kingdom biskut bersalut coklat dianggap sebagai mewah namun pada masa sama, ia juga dianggap sebagai keperluan. 

Manakala di Norway, kereta dan coklat dianggap mewah dan dikenakan cukai mewah. 

"Terdapat juga risiko bahawa dari semasa ke semasa, istilah 'mewah' mungkin berubah, dan barangan yang dahulunya dianggap 'biasa' mungkin dikenakan cukai mewah, mengakibatkan lebih ramai orang terjejas."

Katanya, unjuran cukai itu dianggarkan sekitar 4% ke 5% daripada pendapatan tahun lalu namun data untuk pengguna cukai barangan mewah masih tidak tepat, kerana kategori barangan mewah yang masih menjadi tanda tanya. 

Selari dengan inflasi, katanya lebih ramai orang akan dikenakan cukai itu jika kerajaan perlu menambah pendapatannya.

Sementara itu, pakar ekonomi Carmelo Ferlito dari Centre for Market Education berkata, cukai kemewahan dilihat melanggar prinsip ekuiti horizontal yang merujuk kepada percukaian terhadap pembelian dan bukan jenis produk. 

"Bagaimana kita mentakrifkan barangan mewah? 

“Pihak berkuasa akan cenderung untuk mentakrifkannya sebagai barangan yang melebihi nilai-nilai tertentu, tapi definisinya arbitrari. 

“Tiada sains yang dapat menentukan secara tetap," katanya.

Carmelo sebelum ini menyelar naratif kerajaan untuk mencukai golongan kaya sebagai populis, dan tidak memberi sebarang manfaat kepada negara. 

Fairuz sementara itu berkata, pelaksanaan cukai kemewahan di negara lain ialah dengan memasukkannya dalam cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Ia boleh dibayar oleh vendor yang mungkin menyerahkan kos kepada pengguna. 

Di Amerika Syarikat, katanya Kongres menggubal cukai mewah persekutuan sebanyak 10% pada 1991.

“Ia dikenakan ke atas harga jualan pertama bagi beberapa item yang dijual lebih daripada jumlah tertentu."

Carmelo juga menjangkakan cukai kemewahan akan dilaksanakan dengan menaikkan peratusan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk barangan tertentu.

"Berhubung tabiat pembelian, saya tidak fikir ia akan membawa perubahan radikal dan tabiat penggunaan, tetapi ia akan menghantar isyarat psikologikal yang salah, menjadikan Malaysia lebih populis."