- Iklan -
Berita

Belanjawan Anwar gah pada slogan tapi tak begitu manfaatkan negara, kata badan pemikir

Center for Market Education (CME) berkata naratif dalam belanjawan hanya bersifat populis tanpa sebarang strategi kukuh pembaharuan cukai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditemani isterinya Wan Azizah Wan Ismail keluar dari bangunan Parlimen selepas membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditemani isterinya Wan Azizah Wan Ismail keluar dari bangunan Parlimen selepas membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Februari.

Sebuah badan pemikir ekonomi mengkritik Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula Anwar Ibrahim Jumaat lepas, mengatakan ia cuma sedap didengar tetapi tiada sebarang strategi komprehensif untuk pembaharuan cukai.

Center for Market Education (CME) berkata naratif kerajaan untuk "mencukai orang kaya" dengan meningkatkan kadar cukai serta mengenakan cukai barangan mewah mungkin baik untuk politik tetapi tidak akan memberi apa-apa "manfaat sebenar kepada negara".

Ia juga memberi amaran bahawa kerajaan memindahkan beban mengurangkan hutang kepada syarikat dan individu "dengan cukai baru dan boleh dipersoalkan".

"Kami ingin menegaskan bahawa, tanpa disiplin fiskal kerajaan, negara tidak mungkin bergerak ke arah laluan pertumbuhan yang mampan; tambahan pula, cukai baru 'anti-kaya' atau 'anti-perniagaan' hanya akan menjejaskan ekosistem pelaburan tempatan," kata Carmelo Ferlito dari CME.

CME mempersoalkan pengumuman Anwar mengenai suntikan RM500 ke dalam akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai simpanan kurang RM10,000, melibatkan kira-kira RM1 bilion.

"Walaupun ia merupakan kos keseluruhan kerajaan, namun ia tidak memberikan sebarang manfaat sebenar kepada rakyat.

"Ia hanya bersifat populis."

Dalam ucapan belanjawannya, Anwar antara lain memperkenalkan cukai baru terhadap barangan mewah, serta mengumumkan kenaikan cukai pendapatan daripada 0.5% kepada 2% bagi mereka yang berpendapatan lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

Ferlito bagaimanapun berkata kenaikan cukai itu mungkin tidak memberi sebarang kesan sebenar selain menunjukkan bahawa kerajaan menjangkakan beberapa kumpulan pembayar cukai menyumbang kepada pendapatan apabila "kerajaan sendiri tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan perbelanjaan".

Beliau juga mempersoalkan mengenai pengenalan cukai keuntungan modal (CGT), berkata ia akan menjejaskan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dalam menghadapi persaingan daripada negara jiran.

Ferlito menyifatkan cukai barangan mewah itu bertentangan dengan sistem percukaian yang saksama.

“Tiada usaha sebenar dibuat untuk melanjutkan asas cukai dengan penguatkuasaan yang lebih baik atau langkah berkesan seperti cukai barangan dan perkhidmatan,” katanya merujuk kepada cukai pengguna 6% yang dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pada 2018.

Beliau seterusnya berkata tiada sebarang pakej subsidi bersasar dibentangkan walaupun begitu banyak perbincangan berhubung perkara itu.

"Sebaliknya, jumlah subsidi dan pemberian meningkat, menunjukkan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk bergerak ke arah disiplin fiskal dan belanjawan seimbang, mengalihkan beban mengurangkan hutang kepada syarikat dan individu."