- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi gesa Hamzah tidak lepas tangan isu kerakyatan

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty berkata tindakan menafikan kerakyatan mana-mana kelahiran daripada pasangan yang salah seorangnya warga Malaysia semata-mata kerana perkahwinan mereka tidak didaftarkan adalah bercanggah dengan undang-undang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Lawyers for Liberty berkata kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan mereka yang layak diberikan kerakyatan. Gambar: Bernama
Lawyers for Liberty berkata kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan mereka yang layak diberikan kerakyatan. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berhubung kenyataannya baru-baru ini berhubung kerakyatan, mengatakan kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan mereka yang mempunyai kelayakan didaftarkan sebagai warganegara Malaysia.

Pada 15 Julai, Hamzah berkata masih terdapat rakyat Malaysia yang tidak memahami kepentingan mendaftarkan perkahwinan bagi memastikan anak-anak mereka diberi kerakyatan.

Mengulas perkara itu, LFL berkata tindakan menafikan kerakyatan mana-mana kelahiran daripada pasangan yang salah seorangnya warga Malaysia semata-mata kerana perkahwinan tidak didaftarkan adalah bercanggah dengan undang-undang.

Dalam kenyataannya, Pengarah LFL Zaid Malek menyifatkan ulasan Hamzah tersebut sebagai “satu percubaan yang menunjukkan kejahilan, tidak sensitif dan tidak berperikemanusiaan" bagi “mengalihkan tanggungjawab untuk memastikan mereka yang berhak mendapat kewarganegaraan kepada orang awam”.

“Setiap kanak-kanak yang berhak mendapat kewarganegaraan namun kekal berstatus tanpa kerakyatan, kesalahan itu menjadi tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri, bukannya ibu bapa," katanya.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan setiap orang yang mempunyai kelayakan didaftarkan sebagai warganegara dan diberikan dokumen pengenalan diri yang diperlukan. 

“Inilah sebabnya kita bayar cukai dan Kementerian Dalam Negeri diberikan peruntukan dana yang begitu besar di seluruh negara.”

Beliau menambah Perkara 14 dalam Perlembagaan Persekutuan turut menjamin kewarganegaraan bagi mereka yang memenuhi kriteria di bawah Bahagian II Jadual Kedua.

“Ia adalah hak, bukan keistimewaan untuk ‘dianugerahkan’ mengikut budi bicara kerajaan seperti yang didakwa Hamzah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan isu berkait pendaftaran perkahwinan adalah “hanya masalah pengurusan pentadbiran" dan mengatakan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberikan kewarganegaraan seorang kanak-kanak yang layak.

“Daripada hanya menyalahkan orang ramai, sepatutnya menteri dalam negeri memastikan pendaftaran perkahwinan dipermudahkan, dan sebarang isu yang timbul segera diselesaikan.

“Garis panduan yang rapi perlu dilaksanakan supaya maklumat yang betul boleh diakses orang ramai,” katanya.

“Kami menggesa menteri dalam negeri untuk meneliti SOP dan garis panduan di Jabatan Pendaftaran Negara dan memastikan ia mematuhi Perlembagaan dan mematuhi keputusan terbaru mahkamah mengenai isu kewarganegaraan, dan bukan menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang awam secara tidak bertanggungjawab.”