Keluarga kecam Anwar dijemput rasmikan majlis memperingati datuk Yusoff Rawther
Tiga anak kepada arwah SM Idris menyifatkan penganjur tidak sensitif dengan nasib yang menimpa anak saudara mereka yang kini menyaman perdana menteri atas dakwaan serangan seksual.
Terkini
Keluarga Allahyarham SM Mohamed Idris hari ini melancarkan serangan terhadap pihak yang menjemput Anwar Ibrahim merasmikan sebuah forum memperingati bekas tokoh hak pengguna dari Pulau Pinang itu, sambil menyatakan solidariti kepada cucunya Muhammed Yusoff Rawther yang masih menunggu perbicaraan mahkamah berhubung saman serangan seksual yang difailkan terhadap perdana menteri.
Mereka menyatakan bantahan terhadap kehadiran perdana menteri, di samping menegaskan tidak pernah bersetuju Anwar menukilkan kata pengantar atau terlibat dalam apa jua kapasiti dengam penerbitan sebuah buku mengenai arwah yang dilancarkan hari ini.
"Pihak penganjur bukan sahaja tidak menghormati sensitiviti waris arwah, malah memilih untuk menutup mata terhadap kezaliman yang sedang kita hadapi; sesuatu yang diketahui umum," kata kenyataan bersama Ayisha Idris, Fathima Idris dan Khatija Idris yang dikeluarkan beberapa jam selepas Anwar berucap di forum dan majlis pelancaran buku di Petaling Jaya yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Ketiga-ketiga anak perempuan Idris itu turut menuduh CAP, organisasi yang diasaskan dan dipimpin oleh arwah bapa mereka sehingga kematiannya pada 2019, sebagai mencerminkan "kegagalan moral yang serius" kerana menjemput Anwar, sambil menambah majlis itu bertentangan dengan prinsip yang didukung oleh arwah, termasuk sikapnya tidak mahu merapatkan dirinya dengan ahli politik atau mencari gelaran.
"Tindakan CAP hari ini adalah penyelewengan terhadap prinsip tersebut, memperalatkan nama dan legasi seorang tokoh yang berprinsip demi kepentingan institusi dan politik semasa. Ini bukan penghormatan. Ini perampasan legasi ayah kami," kata mereka.
Selepas kematian Idris, pucuk pimpinan CAP diambil alih oleh adiknya Mohideen Abdul Kader, seorang peguam yang juga penyokong tegar pemimpin PKR itu.
Dalam saman sivilnya terhadap Anwar, Yusoff yang merupakan cucu Idris menerusi anak lelakinya yang juga telah meninggal dunia, menuduh perdana menteri menyerangnya secara seksual tujuh tahun lalu.
Bicara saman itu sepatutnya bermula pada Jun lalu, iaitu beberapa hari selepas Yusoff dibebaskan selepas ditahan reman selama sembilan bulan susulan serbuan kontroversi polis ke atas keretanya pada September 2024.
Polis mendakwa menemui dadah dan senjata api di dalam kereta Yusoff. Bagaimanapun, kes pendakwaan tidak dibantu oleh saksi yang bercanggah keterangan, yang menguatkan andaian bahawa pemuda berusia 32 tahun itu menjadi mangsa perangkap individu berkuasa, seperti yang didakwanya dalam laporan polis yang menamakan Anwar dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador.
Dalam hujahnya, peguam Yusoff mempersoalkan kaedah polis menyerang hendap kereta Yusoff pada 6 September 2024, insiden yang berlaku selang seminggu selepas dia mengemukakan senarai saksi berhubung saman sivil serangan seksual itu.
Anwar bagaimanapun bertindak membuat permohonan imuniti supaya dilindungi daripada sebarang tidakan saman difailkan Yusoff, langkah yang mencetuskan kecaman ahli politik dan peguam, yang menyifatkannya sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini.
Pada 4 Jun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar merujuk beberapa persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan dalam usaha mendapatkan imuniti. Anwar kini sedang dalam proses merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
'Cara hina'
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, ketiga-tiga anak Idris menyeru kepimpinan semasa CAP untuk menghayati prinsip keadilan yang didukung arwah bapa mereka.
"CAP wajib menegakkan prinsip keadilan, bukannya menyokong seorang individu telah memberikan ahli keluarga kami, dan kini, melengahkan proses undang-undang yang sedang berjalan," tegasnya.
Menurut kenyataan itu, mereka telah berulang kali menyatakan bantahan terhadap sebarang penglibatan Anwar dalam majlis memperingati bapa mereka.
"Namun, bantahan kami diabaikan sepenuhnya, malah Anwar tetap diraikan dan diberikan peranan utama sebagai perasmi majlis."
Mereka turut mempersoalkan penggunaan pelbagai simbol dan slogan inisiatif kerajaan dalam poster mempromosikan majlis tersebut, termasuk slogan politik "Malaysia Madani" serta logo beberapa acara rasmi yang tidak berkaitan seperti Sidang Kemuncak Asean dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Arwah ayah kami tidak pernah dikaitkan dengan inisiatif atau organisasi tersebut. Penggunaan logo-logo ini jelas merupakan satu bentuk komodifikasi dan eksploitasi nama dan jasa beliau demi mengukuhkan imej politik Anwar.
"Cara hina untuk mendapatkan keuntungan politik ini adalah amat penting, kerana ia memberikan gambaran palsu bahawa legasi arwah bersetuju atau bersekutu dengan inisiatif semasa yang tiada kaitan dengannya," tambah kenyataan itu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Artikel Berkaitan
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.
