- Iklan -
Berita

Ismail rayu PM Singapura ketika hukuman mati terhadap warga Malaysia semakin hampir

Langkah itu diambil ketika Singapura menolak bantahan terhadap rancangannya untuk melaksanakan hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam pada Rabu.

Our Regional Correspondent
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menulis surat kepada rakan sejawatnya di Singapura untuk merayu kelonggaran diberikan kepada Nagaenthran K Dharmalingam, banduan bilik akhir warga Malaysia yang dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 November selepas ia mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi.

Dalam surat kepada Lee Hsien Loong, Ismail berkata beliau memahami keengganan kerajaan Singapura untuk menghentikan pelaksanaan hukuman itu berdasarkan semua proses perundangan sudah digunakan, namun berharap rayuan mengenai Nagaenthran boleh dipertimbangkan “semata-mata atas dasar kemanusiaan”.

“Saya sendiri sebagai seorang peguam mengetahui sistem perundangan dan kehakiman Malaysia dan Singapura berkongsi banyak persamaan.

“Saya percaya masih ada ruang untuk kerajaan Singapura mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan dan membenarkan petisyen baru untuk pengampunan presiden dalam kes Nagaentran a/l K Dharmalingam,” kata Ismail dalam surat yang dilihat MalaysiaNow.

Kemarahan memuncak berhubung pelaksanaan hukuman pada Rabu depan tersebut adalah berpunca daripada diagnosis mengenai keupayaan mentalnya, termasuk mempunyai IQ 69, di bawah nilai ambang 70 untuk membolehkan seseorang disahkan mempunyai daya intelek normal.

Kumpulan hak asasi manusia melancarkan kempen untuk menyelamatkan nyawa Nagaenthran sejak dua minggu lalu, dengan puluhan aktivis masyarakat sivil berkumpul di luar Parlimen Malaysia minggu lalu bagi mengetengahkan kesnya kepada ahli Parlimen.

Sementara itu, petisyen dalam talian kini mengumpul hampir 60,000 tandatangan bagi menggesa Presiden Singapura Halimah Yacob memberikan pengampunan kepada Nagaenthran, mengatakan dia harus dibebaskan berdasarkan laporan psikiatri yang mengesahkan lelaki itu tidak mempunyai keupayaan bagi memahami akibat daripada tindakannya.

Pengkritik juga mengingatkan kerajaan Singapura tentang kewajipannya untuk mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati bagi orang kurang upaya (OKU) mental atau terencat akal.


 

Singapura ‘di pihak salah’, kata Amnesty berhubung pelaksanaan hukuman mati terhadap OKU mental warga Malaysia

Kumpulan hak asasi bidas kenyataan ‘robotik’ Singapura ketika protes hukuman mati warga Malaysia meningkat

NGO berhimpun di Parlimen ketika tekanan memuncak bagi hentikan hukuman mati Singapura ke atas warga Malaysia cacat mental

Mahkamah Singapura akan putuskan nasib banduan Malaysia 48 jam sebelum pelaksanaan

Kumpulan hak asasi gesa Singapura henti jadi Goebbels ulangi ‘pembohongan’ kes Nagaenthran


Bagaimanapun, Singapura tidak mengendahkan kedua-dua bantahan tersebut, mengatakan Nagaenthran menyedari sepenuhnya perbuatan yang dilakukannya selain mendakwa Nagaenthran memalsukan keadaan mentalnya dengan mengubah kelayakan akademik bagi menunjukkan dia memiliki IQ rendah.

Dakwaan itu mendapat kecaman serta-merta daripada Lawyers for Liberty (LFL), sebuah badan yang lantang terhadap rekod hak asasi manusia di Singapura, khususnya pengendalian banduan hukuman matinya yang disabitkan dengan kesalahan dadah.

“Alasan untuk mempunyai dasar anti-dadah yang keras, tidak membenarkan atau mewajarkan hukuman gantung terhadap OKU mental. Tiada apa-apa yang boleh mewajarkan pelaksanaan hukuman ini atau dapat diterima orang yang berfikiran waras,” kata kumpulan itu.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Singapura bersedia untuk mendengar cabaran perlembagaan esok yang difailkan oleh peguam terkemuka M Ravi.

Ia dilihat sebagai usaha perundangan terakhir yang mungkin menjadi satu-satunya jalan bagi menyelamatkan nyawa Nagaenthran.

Surat Ismail kepada Lee adalah salah satu daripada beberapa contoh kerajaan Malaysia secara rasmi bertindak campur tangan dalam menggesa Singapura menyelamatkan nyawa rakyatnya yang dijatuhi hukuman mati di negara itu.

Pada 2019, Singapura tidak mengendahkan rayuan daripada kerajaan Malaysia serta petisyen untuk pengampunan terhadap pengedar dadah Malaysia Abd Helmi Ab Halim, di mana hukuman mati ke atasnya dijalankan pada November tahun itu.

Kerajaan Singapura sentiasa mempertahankan hukuman mati bagi kesalahan dadah, berbanding Malaysia yang mengenakan moratorium bagi jenayah berkaitan dadah sementara menunggu semakan.

Pengkritik menegaskan ramai yang disabitkan bersalah adalah keldai dadah daripada keluarga miskin, sementara dalang yang menggunakan mereka sering terlepas daripada hukuman.

Berikutan hukuman mati Helmi, Singapura menggesa Malaysia untuk “melakukan lebih banyak usaha untuk membantu menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia” dengan meningkatkan perang terhadap jenayah berkaitan dadah di sempadannya dengan negara itu.